Dua tahun aku berjalan ke
tempat biasa setiap hari mencari-cari identitiku. Wajahku kelam walaupun dalam terang. Aku nampak jerawat di mukaku, tapi aku masih
samar memahami identitiku. Mungkin aku silau dalam matahari yang menyelinap
setiap sudut diriku. Bebola matahari yang
bersinar merah bukan setakat menggantikan malam dengan siang. Matahari yang segan silu itu, memancarkan
dengan tepat pada setiap inci tubuhku, mendedahkan kopeng-kopeng kudis yang lama
dan baru untuk diubati segera. Lantaran itu, aku membiarkan senjakala yang lewat
menebarkan kemerahan cahayanya tetekala hari mula malam.
Aku memulakan perjalanan
dalam gelap yang masih pekat, ketika azan subuh telah mengejutkanku. Lampu-lampu di rumah sayu kupandang dalam merayakan
kehadiran subuh. Penghuni-penghuninya turut bungkam bangun tanpa terpisat. Dalam perjalanan, aku mendongak ke langit
memerhatikan bintang dan bulan yang masih berkelip-kelip dan bercahaya. Adakah kelipan dan cahayanya itu satu tangisan
objek-objek tersebut yang terpaksa bercerai dengan malam? Sedangkan pada waktu malamlah, makhluk
mengambil kesempatan sujud sekali lagi pada
kebesaran Allah SAW dalam suasana yang sunyi sepi. Kesyahduan dan taubat mereka mengalir di
beberapa batang sungai yang membawa ke laut.
Dan begitulah yang kelihatan agaknya, di langit hitam oleh mahluk-mahkluk
di sana.
Jam 1, aku bersiap sedia
memulakan perjalanan lagi. Buku-buku
bergelempangan terdedah bagi memudahkan aku menyambung pembacaan. Ada sebuah dua buku terpaksa kututup supaya
tidak dibaca oleh sesiapa. Segala
pembacaanku ini mesti dirujuk kepada buku ini supaya perjalananku ini sahih dan
lurus. Aku hanya menyerahkan diri kepada
Allah SWA. Teman-teman mungkin serupa
sahaja pada waktu ini semasa aku bertemu.
Ada yang sudah berkerepot menunggu rebah. Ada juga yang muda belia, cuba mengenegah dan
memanjangkan kepada teman-teman baru untuk berkongsi hidup. Aku mendengar kata-kata orang muda tadi dengan tiada menokok tambah. Kata-kata mereka perlu dihalusi macam
mencucuk benang di pangkal jarum halus.
Benang biar dapat meluncur ke lubung jarum supaya kita dapat memulakan
jahitan. Jangan sangka dah tua ni
pakaian tidak koyak-rabak.
Cermin-cerminlah diri supaya pakaian yang koyak-rabak itu dapat ditampal
sebelum mata tertutup rapat.
Murid-murid sekolah di
situ memerhatikan aku. Mereka meramaikan
manusia bertemu dengan Tuhannya, selepas berselerak mengerjakan aktiviti
masing-masing. Aku melemparkan senyuman
kepada budak-budak sekolah sambil menganggukkan kepala. Zaman telah berubah sederas sungai di hulu
yang mengalir. Walaupun derasnya air
mengalir, tetapi lumut tetap hijau tumbuh di celah-celah batu. Lama kelamaan lumut-lumut itu dapat juga
mengumpulkan lumut-lumut yang lain bagi menghijaukan lagi batu-batu yang
berendam di dalam air. ‘ Baguslah jika ilmu
dikelek tidak terburai semasa berjalan menuju ke rumah. Agama tetap dijunjung di atas kepala supaya
ilmu yang diperolehi mendapat keberkatan ‘, bisikku dalam hati. Dalam pada masa itu, aku terkial-kial
mengenakan capal hendak meneruskan perjalanan.
Budak sekolah tersebut memerhatikan dengan tajam, macam merenung muka cikgunya
yang sedang mengajar. Dia mengambil capalku dan meletakkan
kedua-dua belah untuk aku menyarungnya. Mataku memandang ke atas memerhatikan
tingkah-laku budak itu. ‘ Pakcik dah tua
nak. Terima kasih menyarungkan capal
pakcik. Pakai capalpun masih salah lagi
‘, kataku dengan senyum.
`Jam 4.00 petang mengejutkan
aku selepas bertebaran melata mencari kebenaran dan keinsafan. Sebelum meneruskan perjalanan, aku sempat
menyucikan diriku dan memanjangkan doa kepada Allah. Matahari petang yang masih terik mengiringi
perjalananku. Perjalananku dengan
budak-budak sekolah agama adalah sama tapi tidak serupa. Aku mengatur langkah yang panjang tapi lambat
sampai ke tempat destinasiku. Sebaliknya,
langkah kanak-kanak itu pendek sahaja, tetapi telah meninggalkan aku jauh ke
belakang. Aku menadah syukur ke hadrat Ilahi
kerana mereka sejak kecil lagi, telah
diberikan khudrat oleh Allah SWA lebih baik daripada orang-orang tua seperti
aku.
Rembang petang menguji aku
dengan memayungkan diriku meneruskan perjalanan. Jaraknya beberapa meter sahaja, tapi badanku terasa
berpeluh. Aku berhenti sebentar untuk
berehat sebentar mengipas-ngipas peluh.
Parit besar yang mengaruskan alir ke kuala mengalirkan air dengan deras. Manusia leka dan tidak sedar bahawa air
tersebut membawa usia mereka dengan begitu cepat. Rumput-rumput liar semuanya melintuk ke kuala
dan telah mati. Aku membalingkan seketul
batu pada bayangku ke dalam air.
Bayang-bayangku menjadi riak-riak kecil yang bergelombang dan bersatu
semula menjelaskan imej diriku. ‘ Apa maknanya penyatuan bebayangku itu? ‘,
bisikanku dalam hati. Pertanyaanku itu
tidak dapat dijawab oleh sang matahari yang bersembunyi di celah-celah pohon
yang sedang menyapa kehadiran malam.
Esok aku akan bertanya lagi supaya langkah perjalananku serupa dengan
budak-budak sekolah agama yang hendak sampai ke rumah. Mereka ingin cepat mengisi masa mudanya. Manakala aku pula, lemas mengisi masa tuaku
yang masih berbelit-belit.
Semasa aku di rumah pada
esok paginya, dering telefon bimbitku berbunyi.
Aku sedang bersarapan soto di rumah sahabatku di Semenanjung Malaysia. “ Saya beritahu sahaja. Pak Usu Bahari meninggal. Kebumikan pada pukul 11 pagi ‘, kata sepupuku
terus meletakkan telefon. Aku menjawabnya
dengan kalimah Innalillahirojiun.
Pemergian Pak Usu Bahari hampir melengkapkan coretanku. Perjalanan
hidupku juga akan berhenti nanti pada titik-titik kehidupan yang berlegar-legar
dalam satu pusingan yang entah bila. Jam 10 pagi, aku tiba di rumah Allahyarham. Manusia berlonggok-longgok macam sampah yang hendak
dihanyutkan. Aku terus masuk ke dalam
rumah dan mensedekahkan bacaan Yasin dan Tahlil.
Ada juga sahabat yang
mengenaliku dan bertanyakan khabar berita di Kota Samarahan, setelah lama aku
meninggalkan kampung. Setelah selesai
menguruskan mayat sehingga pengkebumian, aku terus pulang ke rumah sahabatku. Aku terpukau lagi dan menggucapkan
Innalillahirojiun, setelah mendengar perkhabaran berita daripada jiran sebelah
rumah pula. ‘ Bekas Ketua Kampung telah meninggal
dunia pada jam 12.00 tengah hari.
Insyaallah mayatnya akan dikebumikan selepas Asar ‘. Aku memandang jauh berdepa-depa kerana
coretanku telah menjadi lengkap. Sekonyong-konyong
pula aku diberitahu oleh seorang sahabat klasik tentang kepulangan ke Rahmatullah seorang penyanyi
wanita. Pandanganku tertumpu ke satu arah zaman mudaku. Aku terngiang-ngiang lagu ‘Syurga Idaman’
yang dipadukan oleh gisikkan biola yang tidak bertali lagi, dengan iramanya yang
mendayu tidak seperti biasa. Lagu itu berkumandang
di corong-corong radio di kampungku semasa aku mengenali zaman muda. Walaupun begitu, aku meneruskan perjalanan
dengan memberanikan diri untuk menunggu hari esok.
PINGGIRAN CINTA
KOTA SAMARAHAN
SARAWAK
RAMLI SARIP - PERJALANAN (lagu awal coretan)
AHMAD JAIS - PINTU TAUBAT (lagu tengah coretan)
RAMLI AHMAD - MENAMBAT RAKIT (lagu akhir/utama coretan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan