Julai 05, 2013

TAIB KASSIM



Pembaca Coretan:                    Dicadangkan Abd Rahman Ismail.
Muzik latarbelakang:               Madu Tiga (kalau ada).

Hai senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Seperti dunia
Hai ana yang punya...

Aku tak pandai membohong
Mestilah berterus terang
Di dalam, ADILA
Menggamit Kenangan
(Dipadankan filem Madu Tiga, tapi Rahman kena nyanyi)


            Senikata lagu filem madu Tiga menerjah kotak memoriku yang sudah lapuk.  Aku mengunci bilik untuk menambahkan ‘felling’ lagi.  Sambil mengoyangkan-goyangkan badan, aku terduduk di bucu katil kerana pinggangku rasa nak patah semasa berjoget.  Sumpah, aku tak pandai bohong dan temberang.  Aku tak cakap sahaja dengan orang tuaku, yang aku sudah berkahwin.  Takut orang tuaku merajuk panjang.  Dia kepingin juga mendirikan balai dan penanggah.  Takkan nak makan nasi minyak orang sahaja.  Sekali-sekali nak jamu orang kampung makan nasi minyak, sambil duduk bersila atas balai.  Aku tak mainlah macam filem Madu Tiga... 
Seorang lelaki berusia 60 tahun menjilat tubuhku dari rambut sampai ke kaki.  Dia menghimpitku kerana mahu mencoretkan cerita.  Orang kacak macam aku ni boleh empat orang.  Gigi masih ada.  Rambut hitam lagi.  Ganteng macam orang muda, kata orang Jawa.  Dia senyum melihat aku semasa keluar dari masjid selalu.  Aku balas senyumnya tanpa mengetahui maksudnya yang tersirat.  Seorang isteripun dah rebeh bahu sebelah.  Kalau empat orang dah tentu jadi macam orang sakit ‘parkinson’.  Kalau dah ramai  ibu, tentulah ramai juga anak-anakku.  Dah jadi dua team bola sepak.  Marah anak-anak, kalau aku tidak dapat memanggil nama-nama cucuku.
            Terdengar suara S M Salim aku tersedak-sedak dibuatnya.  Perempuanku yang pertama digantikan dengan perkataan isteriku yang pertama.  Aku telah merantau ke utara demi memulakan tugas semasa umurku 21 tahun.  Aku tersenyum semasa mendengar DJ Radio Klasik mengatakan orang-orang utara baik-baik belaka.  Yalah dulu tak baik,  Sekarang ni dah baik.  Jamin baik macam orang jual durian tepi jalan.  Kalau tak baik, boleh pulang semula.  Adakah isteri-isteriku sama seperti durian.
            Cinta pandang pertamaku hanyut perlahan-lahan di Sungai Perak.  Aku tak dapat menceritakan, nikmatnya seseorang yang jatuh cinta.  Makan tak kenyang.  Mandi tak basah.  Tidurpun tak lena.  Nampak bumbung cukuplah, mengubati jiwa yang diamuk cinta.  Aku dan kawan-kawan berpura-pura mencari tempat untuk menyelamatkan kami yang masih bujang.  Kami terjaga makan minum dan sentiasa berjumpa anak dara Wak Ali.  Percintaan rahsia itu terbongkar sehingga menimbulkan pertanyaan Wak Ali kepadaku.  Aku memang cinta dengan anaknya tapi duitku tak cukup.  Wak Ali tidak mahu melambat-lambatkan maksudku yang baik itu.  Kami dinikahkan secara mengejut tanpa berunding dengan keluargaku di kampung.  Kehidupan kami bahagia dan terasa seronoknya menyambung cinta selepas kahwin.  Satu hari penjual ubat bukan Melayu beragama Islam berkunjung ke barekku semasa aku bertugas.  Dalam telekkannya, kami suami isteri tidak serasi dan akan berlaku pencerian.  Isteriku yang sedang berbadan dua termakan kata penjual ubat itu macam sudah terkena minyak senyoyong.  Akhirnya aku terpaksa melepaskannya dengan talak satu selepas ia melahirkan anak lelakiku yang meninggal dunia.
            Aku merasakan satu kehilangan yang sukar dicari ganti.  Urusan hidupku tidak dapat diatur dengan kemas.  Uniform polisku tidak bergosok seperti kebiasaan.  Aku mesti berhijrah.  Makin jauh dari kampung makin baik.  Biar orang kampung tidak tahu ceritaku. Pulau Pinang berbayang-bayang dalam penglihatanku.  Permohonan pertukaranku berjaya.  Perangai yang tak menentu, terbawa-bawa di Pulau Pinang.  Kehidupanku di tengah bandar menjinakkanku dengan kelab malam.  Pantang kalau tidak bertugas sebelah malam.  9.00 malam sudah tercatuk di meja bulat dikelilingi wanita cantik. Sambil minum air dan kacang, aku berseronok hingga tengah malam.  Air oren atau sirap sudah tidak lagi melegakan tekakku.  Aku teringin air yang membawa aku ke alam fantasi.  Aku ingin melupakan cinta pandang pertama yang cukup dahsyat.  Aku ingin melupakan rumahtanggaku yang runtuh diserang tsunami di Sungai Perak.  Hubunganku dengan wanita keberet berakhir dengan berumahtangga.
            Di sinilah taubat aku berputik.  Aku hendak rumahtanggaku teguh seperti Taj Mahal, bukan seperti kelab malam yang sentiasa menyilaukan mata.  Hujan atau tak hujan aku tetap berada di barek kalau tak bekerja.  Kadang-kadang aku ke dapur membasuh pinggan mangkuk dan memasak mee mamak.  Kadang-kadang aku menutup sahaja maknan dengan tudung saji.  Makan tak lalu dan tidur tak lena lagi.  Mana tak lalu kalau menghadap makanan seorang diri?  Mana tak lena kalau aku dikejutkan oleh igauan, isteri balik dari kelab malam.  Seminggu dua aku dapat bertahan diri.  Lepas itu aku mula bertanyakan diri sendiri. MasyaAllah,  apakah yang KAU uji kepada diriku ini?  Aku dah tak tahan lagi dengan ujianMU. ENGKAU telah menguji aku sejak dulu lagi.  Tunjukkanlah aku ke jalan yang benar.
            Satu hari, aku menunggu isteriku pulang dari kebiasaan.  Jam tanganku menunjukkan pukul 4.00 pagi.  ‘ Baru balik.  Pukul berapa sekarang?, kataku sambil tersangap.  ‘ Ramai pelanggan hari ini.  Tak layan dia cabut ke kelab malam lain.  Tauke suruh saya layan ‘, katanya sambil membuka baju. ‘ Macam mana suamimu di rumah?, kataku pendek.  ‘ Abang marah.  Abang cemburu.  Saya ni kan pelayan kelab malam’, sambil menyarung baju tidur.  ‘ Kaukan sekarang isteri abang. Abang tak mahu kau pulang ke lubuk atau lumpur.  Yang sudah, sudahlah. Gaji abang dah cukup makan kita berdua ‘ sambil mengusap-usap belakangnya melembutkan hatinya. ‘ Saya nak tidur,  Saya tak mahu dengar semuanya.  Biarah saya masuk neraka ‘, katanya sambil berselibung selimut.
Aku mengucap panjang.  Jawapan isteriku macam orang yang tak beriman.  Macam mana kiranya jawapn itu diputarkan semula semasa dia menghadap Allah.  Aku terus mengambil air sembahyang dan membentang sejadah. Aku menunaikan sembahyang isytiharah supaya Allah menunjukkanku jalan yang lurus.  Aku menyapu dua belah tapak tangan sambil mengingati kata kawan-kawanku.  ‘ Tak isterikau balik ke pangkal jalan atau engkau turut sama terjun lubuk ‘, nasihat kawan-kawanku semasa aku mengkhabarkan kepada mereka bahawa aku akan berkahwin. Pertalian anak, antara aku dan dia belum diberikan Allah. Dia memang tidak mahu beranak.  Setelah berfikir semasak-masaknya, maka aku melepaskannya terbang sebebas-bebasnya dalam usia perkahwinanku tiga bulan.
            Gelagatku diperhatikan oleh abah dan mak.  Mereka telah terhidu bauku di Perak dan Pulau Pinang.  Abah dan mak mana yang tak sayangkan  anak, walaupun dah besar panjang.  Sudah tiga tahun aku tidak menjenguk mereka. Tinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.  Mereka selalu memerhatikan aku termenung jauh. Istana pasirku berselerak disapu angin.  ‘ Ikutlah kata abah dan mak.  Istana yang kau dirikan akan dikunjung orang selama-lamanya.  Tidak ada mak dan abah yang suka melihat anaknya bersedih.  Mahukah kau menerima si dia sebagai pilihan mak dan abah untuk menggantikan mereka yang telah pergi.  Mak dan abah percaya si dia akan menerima kau, walaupun dia hanya budak kampung sahaja ‘, kata ibuku dengan linangan air nata.  Aku mengangguk sahaja sebagai menuruti kata ibu.  Perkhwinanku kali ini dikurniakan anak seramai tujuh orang.  Sesungguhnya,
Radio Klasik sungguh menggamit kenangan.  Aku menutup perbualanku semasa diwawancara. Biar tiga sahaja dan tak mungkin empat.
           
Taib Kassim
Johor

A Rahman       -           Oh Mariam
R Azmi             -           Zubaidah
Jasni                -           Rohaida

Tiada ulasan:

Catat Ulasan