April 18, 2014

HANA JIMI - ABAH



            Dia adalah seorang seniman.  Fikirannya sentiasa menyuluh alam semakin terang.  Justeru itu, aku tak jadi bermimpi di siang hari. Gambar-gambar kirimannya adalah realiti masyarakatku yang pincang.  Seisi alam, mungkin ketawa menyerikan lagi gambar-gambarnya.  Aku tersedu menatapi gambarnya dengan air mata.  Mungkin, dia juga tidak dapat menerimanya keriuhan dekahan manusia.  Memang, hati gajah yang diburunya lebih besar daripada hatiku yang bergelar insan.  Maklumlah, aku baru sahaja menjenguk kedewasaan, apabila aku merenung tajam hutan rimba qalbunya dalam FB.

            Dulu dan sekarang, dia masih menjadi pemburu di hutan belantara.  Tapi kini, aku pula memburuinya hidup-hidup supaya dia dapat memuntahkan pengalamannya menjadi pemburu.  Tentu dia ingat lagi, agas dan nyamuk, pacat dan lintah berdengkur-dengkur menghinggap tubuhnya yang masih tiada berkematu lagi.  Manakala ngauman sang harimau pula telah memecahkan kesunyian hutan belantara yang digembar-gemburkan oleh penulis puisi. Ramai penyajak mengesahkan kata-kata orang yang suka bersunyi diri.  Di situlah saja, kita merasai kebebasan yang mutlak.  Maka terlolong-terlalaklah suara binatang-binatang mendendangkan alam yang belum diceobohi lagi terlena sementara.  Selaras itu, senapangnya hanya bergayut di bahunya saja, sekiranya ada binatang yang tersentak dan terlatah menyambut kedatangan yang tanpa diduga.
            Aku menatap gambar-gambar kirimannya dengan mata dan hati.  Seorang ibu sedang menyusukan anak seekor pelanduk di samping anak kecil yang didukunginya.  Begitukah hati manusia hari ini?  Kemurahan hatinya yang kecil, telah diagih-agihkan kepada sesiapa sahaja.  Biar mati anak dan jangan mati haiwan yang mula pupus di dunia.  Generasi muda tidak akan mengenali saekor landak yang dibesarkan dalam satu ilusinya. Wajah anak boleh ada di mana-mana, asalkan ibu bapa sentiasa merasakan kebahagiaan dalam hidup.  Kebahagian serta kemesraan ibu dan bapalah yang menyebabkan terpaculnya anak-anak  untuk mengenal dunia.
            Persoalan hatiku dijawab oleh kanak-kanak yang sedang menghisap rokok dengan rakusnya.  Dunia telah tidak ada sempadan lagi.  Kanak-kanak gila mendewasakan diri mereka, walaupun mereka masih bertelanjang bulat lagi.  Keghairahan mereka dijelmakan dalam kepulan-kepulan asap keretapi ke Tenang.    Ketiga-tiganya menunjukkan manusia yang sarat dengan pengalaman melalui kepalanya yang bercukur licin.  Inikah generasi muda 2020 yang memikul tugas menjadikan negara berteknologi tinggi?  Memang rimas aku membayangkan masyarakat yang digambarkannya.  Kalut sungguh rupanya masyarakatku, jika dibandingkan dengan binatang-binatang dalam hutan yang tidak menjamah sekolah.   Lantaran itu, binatang-binatang dalam hutan berkokok-sakan menyambut kedatangan subuh tanpa pemburu.  Aku pula mencapai komputer mengejutkannya dalam peti masuk supaya dia lantas bangun segera walaupun malam bukan untuknya.  Cahaya pagi mula memburunya untuk mendengar cerita semalam. Peluhku bergurai dalam kesejukan hujan malam mendengar ceritanya.
            Tiba-tiba tubuhku ngeri dan ketakutan bila dia menampilan mulut manusia yang berdarah.  Hari ini, manusia makan manusia.  Tak dengar lagi manusia dibaham oleh harimau dan singa.  Manusia bukan sahaja meratah daging manusia.  Manusia golojah menyonyot tulang manusia hingga som-somnya.  Manusia tidak lagi berhati manusia. Haram dan halal sama saja untuk disumbat ke mulut yang sentiasa ternganga.  Mereka lupa bahawa darah dan dagingnya diidam-idamkan oleh api neraka.  Memang tajam dia melihat manusia.  Akalku tidak tercapai memeluk belantara yang selalu disinggahinya.  Manusia masih lagi ada hati, tegasnya.  Rasalah dada kalau tidak percaya.  Dia masih lagi meramas qalbuku. Hatiku bergamit-gamit dalam qalbunya. Ketelusan hatinya digambarkan pula anak-anak kera yang bergayutan menyanyikan lagu kasih sayang.  Kesamaran kita mengenai sebuah kehidupan, diperjelaskan lagi dengan ayam dan itik yang tolong-menolong di dalam tasik.  Itik sememang tidak akan mati di dalam air.  Ayam pula merasakan selamat dibawa itik ke mana-mana.  Sungguh halus benangnya yang menjahit sebuah kasih sayang dalam kiasanya supaya tidak terburai.  Kasih sayang tersebut tidak membatasi manusia mengenal erti cinta.  Hisaplah manisannya hingga embun pagi masih berderai lagi.
            Aku masih tidak perasaan juga bebayangnya dalam kegelapan qalbu.  Dalam terang, bebayangnya hanyalah seorang pemburu sahaja.  Namun, wajahnya masih ada di mana-mana dalam Fbnya, di mana ia berkongsi rasa.  Semakin hari hatiku semakin sayang dan mencarinya.  Begitulah rinduku kepadanya sudah tidak terkira lagi.  Rindu seorang anak kepada bapa yang banyak mengajar erti kehidupan dari jauh.  Sesungguhnya, dia dekat di hatiku untuk membariskan pengalamannya yang sedang meniti usia tua.  Sementara itu, keretapi meluncur laju membawa ilusiku.  Dia termenung duduk mendengar Warkah Lukisan Qalbuku.  Dahinya yang luas memenuhi seribu kenangan hutan belantara yang tidak menjemput sesiapa.  Tiada siapa yang cuba mendandankannya, kerana rambut-rambut di kepalanya mula menemui musim luruh.  Harimau, gajah dan haiwan lain sudah tiada lagi menyorokkan diri.  Segala-galanya yang ada diterjemahkan dalam gambar-gambarnya yang tidak dapat diterima akal dan berbau sinis.
            Di pertengahan perjalanan, kereta api ke Selatan berhenti menurunkan penumpang-penumpangnya.  Aku turun mencebet buah rindu yang akan kuberikan kepadanya.  Perkenalanku dengannya hanya terukir dalam FB sahaja.  Aku hanya mengenali rupanya yang seiras dengan bapaku yang telah tiada. Tetapi, tidak ada sebatang tubuh tua yang terpacak berdiri menungguku.  Kedatanganku hanya sebuah ilusi sahaja.  Tidak perlu aku memberitahunya kalau hajatku nanti gugur di landasan kereta api. Kesayuan hatinya, tentu tersangkut di sepanjang perjalanan ilusiku di depan komputer.  Memang dia tidak banyak cakap. Percakapanku hanya dianggokkan sahaja bersama papan kekunci komputerku.
            Dalam aku mengumpulkan kenangannya yang bersepah-sepah di celah minda, komputerku merah menyala.  Ada mesej masuk daripadanya.  Seekor burung  meneduhkan kasih sayang kepada anak-anaknya dengan menggembangkan sayap.  Satu persoalan meloncat-loncat menagih jawapan yang hanya diketahuinya sahaja.  Burung betina sudah biasa menjadi lumrah dunia membesarkan anak-anak selepas kematian suami. Apa kata kalau burung itu jantan?  Itulah satu pengorbanan bapa menggantikan ibu yang telah pergi meninggalkan semua tanpa dicari ganti.  Soal cinta tidak lagi menjadi igauannya.  Mimpinya tentang semalam menjadikan kehidupan anak-anaknya segar menikmati satu kebahagiaan daripadanya.
            Sebelum aku memanjangkan Warkah Lukisan Qalbu ini, manik-manik putih cintanya berjurai terlucut dari ikatan. Sebuah kasih sayang antara suami dan isteri terombang-ambing di lautan berahi.  Aku pujuknya mencampakkan malu di landasan keretapi.  Biarlah Warkah Lukisan Qalbunya dapat dibacakan oleh dirinya sendiri.  Dalam segan-silu, qalbunya menyelinap masuk di celah-celah peti masuk FBku.  Sesungguhnya, aku tidak terperanjat kerana gerabak-gerabak hatinya di setiap epsiod kehidupan, telah kuramalkan daripada kepulan-kepulan asap keretapi yang tinggal mencemarkan alam.  Aku terus berdoa kesejahteraannya. Aku berharap gambar-gambar selorohnya akan dikirimkan lagi, supaya aku terus berdayung menyusuri qalbunya. Dia seakan-akan bapaku yang sedang terlentang bermimpi di pantai hatiku, sementara menunggu air pasang yang akan tiba.

QALBU HANA (Hana Jimi)
Bangi

DIBACAKAN OLEH                               -           NORSHELA BAHARUDDIN

 

WAJAHMU DI MANA-MANA               -           AZLINA AZIZ

UJI RASHID                                          -           SEMAKIN HARI SEMAKIN SAYANG

RINDU HATIKU TIDAK TERKIRA           -           LIZA HANIM

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan