Aku menutup novel ‘Snow
Country’ oleh Yasunari
Kawabata (1899-1972). Terpikat sungguh
ia menggarabkan unsur psikologi begitu baik sekali. Betul atau tidak, ia cuba memaparkan
kemurungan, kesedihan dan kehibaan Masyarakat Negara Matahari Terbit di kalanganan
orang tua. Cerita ini menyebabkan aku tertoleh semula wajah bapa saudaraku Pak
Hitam.
Pak Hitam dan basikal
tuanya tersandar di kerusi batu tepi jalan.
Dia terpaksa bersongkok yang sudah perang bagi menutup uban di kepalanya
yang telah penuh. Jauh lagi, aku telah
terpandang senyum Pak Hitam, semasa balik dari sekolah agama. Dia menampilkan gusi merahnya yang tidak
dipagari oleh gigi lagi. Kemejanya pula,
sengaja tidak dikenakan butang baju.
Buat apa lagi berbutang, kalau ia sudah tua dan tidak menjadi bahan
tarikan.
Setelah menghulurkan aku
wang sepuluh sen, barulah ia balik ke rumah.
Tapi, siapa yang ada di rumah?
Bukankah Mak Itam telah meninggal dunia?
Bukankah anak-anak Pak Hitam sudah berumah tangga dan beranak-pinak? Di sinilah persoalanku mula terjawab. Mimpi Pak
Hitam memang tak habis-habis. Malam
bermimpi. Siang mengegau. Mimpinya satu sahaja. Mimpi orang tua yang sarat berumur hampir 80
tahun?
Kita tak boleh salahkan
anak-anak Pak Hitam. Semua ajak Pak
Hitam tinggal di rumahnya. Pilih saja
mana-mana tempat yang disukai oleh Pak Hitam, sama ada di Singapura, Johor
Baharu atau Seremban. Pak Hitam tetap
menolak. Di sinilah dia dan Mak Itam sentiasa
mengelilingi pelita sebelum masuk tidur.
Mereka mengenangkan nasib diri sendiri apabila ketuaan menjenguk umur
mereka. Lebih-lebih lagi apabila tinggal
seorang diri. Dapur tak berasap. Tetamupun pula tak datang berbual-bual dengan
Pak Hitam.
Kelesuan hidup Pak Hitam,
telah dapat aku ramalkan semasa jenazah Mak Itam diusung untuk dikebumikan. Masa itu Pak Hitam memelukku yang sedang
berdiri semasa mayat diturunkan dari rumah.
Kehilangan Mak Itam memadamkan semua harapan Pak Hitam yang berbaki
lagi. Beberapa batang pohon kelapa di depan rumah tidak diusahakan. Buah-buah kelapa melambak gugur dan bertunas
di bawah pohon kelapa tersebut. Biasanya,
Pak Hitam dan aruah Mak Itam akan bertungkus-lumus memarut kelapa untuk
dijadikan minyak kelapa.
Begitulah Pak Hitam duduk
di rumah seorang diri. Lebih baik baring
dan tidur untuk mengusahakan buah-buahan.
Adapun rambutan, pulasan dan manggis, kering di pokok. Tidak ada siapa yang nak petik. Harga di pasaran pula tidak
menguntungkan. Lawa jiran-jiran makanpun
tak berdeku. Lebih baiklah kering atas
pokok. Manakala durian pula menerima
nasib yang sama. Tapi lebih baik
sedikit. Buah-buah durian di belakang
rumah selalu menjadi santapan tupai-tupai yang terhidu keharuman buah durian.
Tak salah kalau aku
katakan Pak Hitam adalah Kawabata dan Kawabata adalah Pak Hitam. Dunia orang
tuanya aku singkap pelahan-lahan. Orang
tua itu memendamkan rasa sedih apabila ketuaan menjelma dan ditinggalkan oleh
anak-anak. Keadaannya lebih mencemaskan
apabila Mak Itam dijemput pergi oleh Ilahi.
Kasih mereka telah dipisahkan oleh cangkul sahaja. Nak kahwin lagi? Hatinya, sudah tidak berdetik lagi. Tidak ada siapa yang sanggup memikul mayat
hidup. Mungkin benar terjadi pada Pak
Hitam, sekiranya ia bergelar jutawan.
Tapi, macam mana kalau Pak Hitam kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang?
Keadaan Pak Hitam sebegini
menyebabkan abah dan emak simpati kepada abangnya. Aku dikerahkan oleh abah tinggal di rumah Pak
Hitam semasa hari Jumaat dan Sabtu. Hari
Ahad hingga Khamis, aku mesti meneruskan persekolahan. Masa itulah dapur rumah Pak Hitam berasap
kembali. Pak Hitam meminta aku membaca
buku dan membuat kerja sekolah. Pak Hitam sendiri masak nasi berlaukkan asam
pedas dan sayur-sayuran belakang rumah.
Aku terasa Pak Hitam berselera sangat apabila aku makan bersamanya. Pak Hitam dan aku pula saling tambah
menambah. Di sinilah aku menyeluk
perasaan Pak Hitam sedalam-dalamnya.
Di rumah Pak Hitam, memang
tiada bekalan air paip. Kami mandi
bersama di kolam, baik pagi ataupun malam.
Pak Hitam takut aku lemas di kolam yang dalam itu. Dia membiarkan sahaja aku menyembah air di
badannya. Sesekali aku meyapu sabun di
badan Pak Hitam. Pak Hitam tersenyum
dengan gelagatku. Kerahsiaan Pak Hitam
mula terbongkar. Dia membisikkan di
telingaku semasa kami bersama di kolam.
Air mataku jatuh ke kolam yang mula tenang setelah kami selesai
mandi. Rupa-rupanya orang tua perlu
dibelai oleh anak-anak. Bagiku
sepatutnya anak cucunya buat begitu. Dia telah memanjakan anak-anaknya ketika
muda dulu. Tapi putaran dunia tidaak
berlaku.
Selesai Insya, aku menghabiskan
kerja sekolah yang belum siap. Pak Hitam
membasuh pinggan mangkuk di pelantar rumah.
Sekali-kali kendengaran dia menceduk air dalam tempayan. Radio transistor dimainkan oleh Pak Hitam
sebelum tidur. Pak Hitam nak dengar lagu-lagu ghazal. Dulu Pak Hitam dan Mak Itam dengar lagu
ghazal sebelum masuk tidur. Lagu Aslipun
sedap juga. Dia adik beradik memang suka
lagu ghazal. Itulah lagu masa Pak Hitam
masa kanak-kanak lagi.
Lampu bercemeni dikecilkan
oleh Pak Hitam setelah racangan radio tamat.
Aku dan Pak Hitam baring bersebelahan masing-masing. Kami
saling bercerita tentang kisah lama sebelum mata terlelap. Tiba-tiba Pak Hitam mula terbatuk-batuk. Batuknya semakin gagah dan kuat. Aku kesian melihat keadaan Pak Hitam. Aku bangun sambil mengambil minyak di para
rumah. Dada Pak Hitam kuurut pelahan
sambil meyapu minyak. Pak Hitam
geli-geman bila tanganku menyentuh dadanya.
Tiba-tiba dia bungkas bangun dan menciumku sambil mengucapkan terima
kasih.
Air mata Pak Hitam
membasahi pipi tuanya. Adakah dia
menahan batuk yang berpanjangan? Adakah
Pak Hitam sedih atas perlakuanku menyapukan minyak? Persoalanku hanya boleh dijawab oleh Pak
Hitam sendiri. Aku buat kerana
Allah. Bapaku selalu menasihatkan aku
selalu berbuat baik kepada orang tua.
Pak Hitam adalah bapa saudaraku. Siapa
lagi yang diharapkan oleh Pak Hitam? Mak
Itam sudah lama meninggal dunia. Aku
memujuk Pak Hitam sambil memeluknya. Pak
Hitam ni kena pakai baju semasa tidur.
Jangan tidur melenggeng. Tak baik
bagi orang tua. Nanti dada boleh masuk
angin. Kata-kataku ini kerana masih
terdengar pesanan Mak Itam. Pak Hitam
memang mudah mendapat lelah dan semput.
Setelah selesai mandi, aku
duduk memerhatikan Pak Hitam mengangkat periuk.
Dia membubuh pisang nangka rebus dalam pinggan. Asap pisang rebus berwap-wap semasa Pak Hitam
meraciknya kecil-kecil. Pak Hitam rebus
sahaja kerana kehabisan minyak kelapa.
Dia mengeluarkan kelapa parut yang digaul gula tebu dalam tudung saji. Itulah warisan Mak Itam kepada Pak Hitam sejak
dulu lagi. Selepas sarapan, aku dan Pak
Hitam berpeluk-pelukan menuju ke rumahku kerana terpaksa menyambung persekolahan
semula. Rutin hidupku bersama Pak Hitam
tidak bertahan lama. Pak Hitam pergi
buat selama-lamanya setelah meninggalkan aku sepiring juadah tentang nasib
orang tua yang akan aku telan nanti.
KHAIRUDDIN ALADDIN
Ledang, Johor
Lagu-lagu Pilihan
RAHIM JANTAN - MUSALMAH MANIS
S M SALIM - BUNGA TANJUNG
AHMAD JAIS - SELAMAT TINGGAL BUNGAKU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan