Tarikh masanya telah luput. Geli-geman rasanya, bila terdengar orang tua
menggamitkan kisah cintanya dalam ruangan ADILA atau Warkah Lukisan Qalbu. Masaku bersama suami telah hampir 50 tahun. 50 tahun tentu berbakul-bakul pengalaman yang
boleh dicurahkan. Lidah dan gigi
biasalah tergigit. Sakitnya sekejap sahaja.
Makanlah benda-benda yang lembut supaya gigi dapat mengunyah semula. Orang
tua macamku memang dah patut banyak berehat dan menimba agama yang masih cetek
lagi. Aku menjatuhkan sauh diriku melabuhkan
pada masa-masa yang terluang dengan kitab.
Begitulah bila dah tua, sauh qalbu diturunkan pelahan-lahan supaya air
tidak terpercik. Air mata, sudah cukup
membasahi lengan bajuku yang telah udam sehingga mati nanti. Segala-galanya dirasakan sudah malas. Biarkanlah aku mencari mimpi pada tanah, air,
api dan angin yang terbiar. Kebetulan sekarang
musim panas pula. Angin panas sentiasa meraba
qalbuku yang masih berdarah lagi.
Perasaanku tiba-tiba terhumban
jauh di Tanah Suci. Manusia sentiasa melengkari
Kaabah setiap masa. Ramai mengucup tapak
tangan dan melambai-lambai di penjuru Kaabah yang ditentukan sebanyak tujuh
pusingan itu. Aku juga ingin merasakan
nikmat Allah bertawaq pada masa-masa selepas subuh, tengah hari, petang dan
malam. Sama sahaja buat hambanya yang
menjadi Tetamu Allah. Sesekali angin panas dan kering menguji keimanan dan
keredhaanku. Peristiwa Nabi Ibrahim pula
menjelma di fikiranku menawarkan kepanasan menjadi redup memayaungiku. Jemaah
dari Malaysia tentu terperanjat dengan cuaca begitu. Aku cuba membayangkan semasa matahari
sejengkal di atas kepala di akhirat nanti.
Perkataan MasyaAllah, hanya mampu terucap di bibirku semasa balik dari
masjid. Aku benar-benar takut dengan
azab Allah kepada manusia yang ingkar suruhanNya. Lantaran itu, aku menghulurkan tangan berdoa
semoga semua perbuatanku di dunia mendapat petunjuk.
Cerita tentang kepanasan itu
terbawa-bawa di hotel pula. Angin kering
di Bandaraya Mekah Al-Mukaranah masih terasa menjejeskan peluhku di sana. Air limau
berais sahaja, yang dapat menyejukkan tekak dan badanku yang berjalan sejauh
kira-kira 200 meter. Aku adalah Tetamu
Allah yang sepatutnya menjaga akhlak dan bersopan-santun. Menjadi Tetamu Allah juga
mesti diuji kesabarannya. Semua
pintu-pintu akhirat terbuka luas di Masjid Haram Al-Mukaramah untuk menerima
kemasukan insan sama ada hendak ke syurga atau neraka. Aku dapat merasakan kehidupan di akhirat itu dari
celah-celah pintu masjid yang banyak itu.
Memang ada roh manusia yang telah mati berbisik kepadaku dan berdoa
kepada Allah supaya dihidupkan semula.
Mereka berjanji akan patuh kepada suruhan Allah sebelum mereka dimatikan
semula. Nasi yang ditanak telah menjadi bubur.
Di sini, barulah kita dapat mengukur siapakah yang lebih besar daripada
Allah SWA. Kerasionalan yang menyarung
diri tidak cukup meliputi pakaian kita di akhirat. Ianya hanya disarung bagi meletakkan
kewajaran diri terus menyimpang. Bertaubatlah,
bahawa Allah Yang Maha Besar sebelum terlambat.
Dalam ketika itu, aku sebenarnya
sedang diuji meniti hari tua. Aku telah menjamah pelawaan anak-anakku beralih
angin di luar negeri. Aku mengikut sahaja untuk menjaga hati anak-anak.
Sejuknya sungguh menjilat tubuhku ke tulang, semasa aku berada di Negara
Matahari Terbit. Mengapakah mereka
membawa aku ke sana pada musim sejuk begini?
Adakah ianya satu pembalasan jasa oleh anak-anakku di dunia ini? Amat
terasa sekali bahawa pengalaman hidupku juga, terikut-ikut beku bersama-sama salji
yang menjadi hamparan bumi di Negara Matahari Terbit. Biasanya, aku diusap-usap
seperti kanak-kanak, semasa tiba di muka
pintu hotel dengan dengan nafas yang tercungap-cungap dijilat oleh angin kering
semasa balik mengerjakan tawaf.
Angin kering dan panas Kota
Mekah Al-Mukaramah telah berpadu dengan angin sejuk Negara Matahari Terbit itu,
sebagai kayu pengukur aku menikmati angin daripada Allah SAW. Aku dah jadi tak keruan lagi untuk menggapai pengalaman-pengalamanku
yang lepas bila cuaca sengaja berubah rupa.
Hanya Radio Klasik sahaja yang masih lagi boleh Menggamit Kenangan. Tapi
aku tak bisa menggamit kenangan lagi.
Mungkin aku dikelilingi oleh anak-anak dan cucu-cucuku semasa itu. Aku tidak lagi terbiar keseorangan, seperti
mana aku tinggal di kediamanku. Mungkin
suara anak-anak dan cucu-cucuku telah menakutkan salji yang sedia membukukan
diri sementara? Atau, adakah ini ujian
Allah yang sengaja menempatkan aku di bumi yang panas dan sejuk? Sesungguhnya, aku terima dengan redha, kalau
itulah ujian bagiku sebelum berada di akhirat nanti.
Persinggahanku yang sementara
waktu di negara sebelah Timur Tengah dan Timur, membuaikan rumah pusakaku di
kampung, ditiup oleh angin ilusiku. Aku menutup
tingkap rumah supaya hujan tidak tempias membasahi dalam rumah. Pokok-pokok
kelapa melentur-lentur dipulas oleh angin semasa aku menutup tingkap. Dunia belum kiamat lagi, bisik hati kecilku. Beberapa naskah Al-Quran, masih ada berbaris di
para rumahku tanpa hilang tulisannya.
Itulah peninggalan Nabi Muhammad SAW yang sedang dibaca menjadi panduan umatnya
sehingga khiamat. Ayahku pula terbayang masih
mengaji lagi memohon doa supaya ribut taufan bertambah reda. Tiba-tiba seekor kucing
di hotel penginapanku menjilat-jilat kakiku, menyebabkan aku tersadar dari
lamunan. Memang manusia masih lapar lagi, walaupun rezeki telah diberikan
oleh Tuhan. Macam kucing tadi juga yang
masih mengiau-mengiau, setelah aku memberikan sekeping roti dan sardin yang kubawa
dari tanahair. Manusia rakus mahukan
rezeki yang diberikan oleh Allah mengikut seleranya. Bersyukurlah dahulu sebelum makan. Anda mungkin akan berselera nanti apabila
makanan tersebut mula terasa.
Kata-kataku ini berdasarkan pengalamanku yang ditiup oleh angin kering,
panas, sejuk dan ribut.
Di Negara Matahari Terbit, aku
telah dihujani emas di negera orang dan hujan batu di negara sendiri. Sementara itu, aku tak mudah lupa dengan rumahku
sendiri. Rumahku tetap Duniaku sampai menutup
mata. Rumah yang telah menggamit
kenangan apabila anak-anakku telah berumahtangga dan mempunyai rumah
sendiri. Angin yang sejuk dan
sepoi-sepoi bahasa meraba-raba diriku yang tinggal keseorangan. Kesedihan amat kurasakan apabila sinar maghrib
tidak berbayang lagi. Aku menutup pintu
rumah dan bersedia mendengar azan maghrib sebelum menunaikan sembahyang. Tak
mudah rasanya jika kita tinggal keseorangan di rumah yang sentiasa melayan
fikiran yang datang dan pergi. Dulu aku cuma
berdua dan bertambah pula menjadi enam orang.
Selepas itu, kami tinggal berdua sahaja.
Kini aku tinggal keseorangan sahaja dan terus keseorangan akhirnya. Segala-galanya itu, telah menjadi sifir hidupku
memahami erti hidup dan menyelesaikan makna kehidupan yang bertali arus.
ATIKA JOHARI
Pasir Gudang
Johor Baharu
Pembacanya Dicadangkan -
SHELA BAHARUDDIN
IN-TEAM - JANGAN KITA LUPA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan