Aku tahu, tapiii sebenarnya
aku tidak tahu. Kalaulah aku sebenarnya
tidak tahu, maka sememangnya aku tidak tahu.
Tahu dan tak tahu itu adalah konflik dalam diriku. Adakah konflik itu, patut aku humbankan jauh
sebagai mencari jalan penyelesaian? Kalau
malas berfikir, aku benamkan sahaja konflik itu dalam sejarah hidupku? Tapi, rakan-rakanku pula mengesyorkan bahawa
konflik diriku patut dititipkan dalam Warkah Lukisan Qalbu, sebelum diriku berakhir
dengan kematian. Perasaan diriku tidak lega lagi, kalau konflik berlapis-lapis
dalam kehidupanku. Qalbu akan berkecamuk dengan satu keputusan yang dibuat
kurang maklumat. Kita boleh menuju ke
satu destinasi, tetapi maklumat biasanya memimpin matlamatku dengan lebih jelas.
Aku sentiasa berdiri, memuji
kebesaran Allah dengan Al-Fatihah. Siang
dan malam yang kuhirup adalah kepunyaanNya.
Aku hanya menemuiNya pada waktu siang dan malam, apabila mendengar
laungan suara mengajak semua menuju kejayaan.
Adatlah menjadi tetamu dunia dalam masa yang
ditentukan. Buah tangan yang
bergugusan di tanganku, akan diunjukberi kepada saudara-mara dan sahabat-handai
untuk dibawa balik. Tapi, sumbangsih
untuk diriku sendiri, adalah makananku sendiri buat selama-lamanya di sana. Inilah Warkah Lukisan Qalbu yang menjadi
konflik di jiwaku. Aku tetap berdoa dan
membaca tulisanNya yang tidak akan padam sehingga hari khiamat supaya jiwaku bersatu
denganNya. Walaupun begitu, naluri cintaku
tidak dapat diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa yang mudah difaham.
Aku mendongak ke
langit dan tunduk ke bumi. Itulah dalil
hakiki KeagunganNya mencipta langit dan bumi.
Kehadiran aku di bumiNya ini hanyalah seekor hama saja, yang merayap-rayap
di bumi ini. Tak sedar bahawa NurNya
melimpah dalam lautan mindaku. Pengakuanku
itu telah berkumandang sebelum aku membaca Al-Fatihah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku
dan matiku hanya aku serahkan kepadaNya. Segala pujian dan doaku kepadaNya, sentiasa
berdiri teguh berpaksikan keimanan. Tapi,
sampai bilakah ianya dapat berpusing ligat seperti gasing? Apakah yang membuatkan gasing itu berpusing
lama atau cepat bergolek mati? Adakah
tali yang dililitkan itu sebagai penentu yang mutlak? Itulah topik yang menikam
mindaku yang sedang bergelut dalam penantian.
Dengarkanlah, qalbuku
yang sedang menggelegak dan berbuih-buih ini.
Aku lantas terus berdiri memujiMu, wahai Tuhan yang memelihara dan
mentadbir sekelian alam. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah dan Mengasihani
hambaMu. Aku benar-benar takut ya Allah,
seperti mana yang dibayangkan dalam peristiwa Nabi Muhamad Isra’ dan Mikraj. Hari pembelasanMu itu benar dan telah Kau
ingatkan beberapa kali tanpa jemu. Sekali
lagi ingatanMu itu dibacakan oleh Tuan Iman semasa membaca talqidalam satu
kematian insan. Oleh itu, hanya Engkau sahaja yang aku sembah dan memohon
pertolongan walaupun aku sedang berada di hutan rimba semasa berburu. Tunjukkanlah aku jalan yang lurus, sepertimana
yang Engkau telah berikan nikmat kepada manusia-manusia yang terdahulu
daripadaku. Aku tidak mahu sesat
sepertimana aku selalu sesat dalam mencari jalan pulang dalam hutan.
Aku memujiMu kerana
aku telah bertemuMu. Pertemuanku denganMu
dalam masa yang tidak lama sahaja. Hanya
bibir sahaja yang bergerak-gerak. Aku menyahjakan
dengan hatiku di dalam kamar rinduku yang sengaja aku berkurung diri. Lazatnya tidak dapatku gambarkan dengan
lidah. Segala pujianku hanya
untukMu. Kau telah mendengar puji-pujianku
yang bergetar-getar melalui mulutku yang datang daripada hati. Sesungguhnya Kau telah mendengar, aku sedang memuji-mujiMu. Engkaulah yang sepatutnya menerima pujian
daripada hamba-hambaMu setelah mereka merasakan nikmat-nikmat hidup di dunia
ini sebagai menterjemahkan rasa kesyukuran kepadaMu.
Ketidakpuasan
hatiku seolah-olah menyelibungi diriku dalam selimut yang sentiasa sejuk. Aku juga masih lagi tidak merasakan kepuasan
meneguk air di musim salji. Tak haus,
tapi kurasakan masih dahaga. Aku dahaga kerana
mengikuti dunia yang sentiasa berpusing siang dan malam. Daun-daun doa berguguran jatuh semasa aku memanjangkan doa ketika sujud dalam
rukaat terakhir. Ianya menutup dosa-dosaku
bagi menyembunyikan keaibanku. Aku tetap terhidu wanginya bunga-bungaan itu di
taman qalbuku. Hidup kita, memang sentiasa
dikelilingi oleh dosa-dosa dalam dunia yang berkabus menutup kelemahan
manusia. Aku berdoa dan bertaubat supaya
kabus itu akan berundur diri. Sejuknya
amat terasa semasa Kau berdamping denganku dan semasa aku menghadapkan wajahku
kepadaMu.
Doaku
kepadaMu bukanlah sesuatu permintaan yang luar biasa. Engkau pasti akan memakbulkan permintaanku
semasa aku dalam kealpaan. Doa yang
khusus dan huraian yang panjang lebar cubaku elakkan. ‘ Ya Allah, ampunilah
aku, sayangilah aku, tutupilah keaiban
aku, angkatkah darjat aku, berikanlah aku rezeki yang halal, berikanlah aku
petunjuk, sihatkan tubuh badanku dan maafkan aku sama ada nampak dan tidak
nampak. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan
yang bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim ‘.
Dalam aku rasah
gelisah ini, tiba-tiba muncul Imam Al-Ghazali
mengingatkan aku pula. Bukunya masih
terbuka kerana pembacaanku belum berakhir.
Aku masih lagi tidak berjumpa hati, sepertimana yang dijelaskan oleh sebuah
hadis. ‘ Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada segumpal daging, jika ianya
baik, maka baiklah manusia itu. Jika daging itu tidak baik maka rosaklah
manusia itu. Daging itu sebenarnya adalah hati ‘. Iman Al-Ghazali menyuruh aku mencari hati. ‘ Carilah hatimu pada tiga
tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. JIka kau tidak
temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari
hatimu ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka
berdoalah kepada Allah SWT. Pintalah hati yang baru kerana pada hakikatnya, ketika
itu kau tidak mempunyai hati.” Kata-kata Imam Ghazali, menjadikan aku betul-betul buta mata dan
hati.
‘
Ya Allah, aku bermohon hati yang sihat dan ceria. Aku tidak mahu hati orang-orang fasik yang
sentiasa sakit dan resah gelisah. Kegelisahan dalam diri orang-orang yang fasik
itu satu perlambangan dosa kepada Allah dan manusia. Aku tidak bersetuju menentang fitrah manusia
semasa keluar daripada perut ibu. Mungkin
fitrah
ini telah dikotori, menyebabkan aku seolah-olah menentang hati kecilku
sendiri. Aku sentiasa rasa bersalah,
rimas, seksa dan sentiasa berperang dengan diriku sendiri. Berikanlah aku kesungguhan dengan berkaki
ayam sahaja, ketika menuju ke Jalan Mujahadah supaya aku sentiasa taat kepadaMu
‘. Memanglah aku disuruh menyebutMu
dalam bahasa yang aku tidak fahami,
Tapi, tak salah kalau aku memahamiMu dalam bahasa aku sendiri. Sungguh tepat sekali keunggulan Al-Quran
sebagai petunjuk, memberi rahmat dan penawar kepada manusia yang beriman.
Kiralah
dengan jari tangan yang berjumlah sepuluh ini.
Berapa banyakkah kita berselawat, bertasbih, bertakbir, bertahlil dan
bertahmid semasa kita menjadi Tetamu Allah.
Gelombang Kecintaan Kepada Allah sebenarnya telah beralun semenjak di
sana. Marilah kita makmurkan qalbu kita
menjadi banjir keimanan pula di sini. Kita
tidak akan karam, selagi kita tidak tenggelam.
Sesungguhnya hati ini tergamit dengan sendirinya, sepertimana sebaris
sabda Baginda Rasullah SAW:
“Orang yang paling cerdik, ialah mereka yang
banyak mengingati mati”
(Riwayat al-Baihaqi).
ALI TENANG ( ALI
DAUD )
JOHOR
Dibacakan oleh Penerbit sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan