Tak
mungkin… Tak mungkin aku berundur semula. Biarlah perjalananku meninggalkan
kesan dua tapak kakiku. Mungkin kesan sejarah itu akan disusuri oleh
cucu-cucuku nanti. Bahawasanya atuknya dulu berasal daripada BUDAK KAMPUNG. Membesar
juga sebagai anak kampung. Dah tua pula sebagai orang kampung. Sejak dula lagi
bila menguak daripada perut ibu, aku telah dibesarkan menghadapi DILEMA BUDAK
KAMPUNG. Payah menjadi BUDAK KAMPUNG. Hidupku sentiasa dibatasi dengan
pagar-pagar buatan manusia. Mereka terlupa bahawa kejadianku ini adalah sebagai
ujian daripada Allah. Sesampainya pula aku di pusat pengajian tinggi,
terbuktilah bahawa aku adalah BUDAK KAMPUNG. Kawan-kawan dan pelajar-pelajar
seniorku lebih mesra memanggil aku, BUDAK KAMPUNG.
Aku
dan kakak membetis pulang ke rumah yang jaraknya setengah batu pergi dan
balik. Aku masih ingat lagi kawan-kawan
yang bersama-sama aku berdedai pulang ke rumah.
Yusuf ceme, Ahmad bopeng, Sarah kerengga dan Taib tak cukup bulan. Kereta pada masa itu berlawanan hala kami berjalan
lebih kurang sepuluh minit sekali. Bila
cahaya api kereta melintasi, kami semua akan melompat keriangan sambil
ketawa. Dalam pada itu, aku terpandang
anak-anak atuk yang mengajar kami mengaji apabila atuk mengalami sakit
tua. Pak Hitam Rahim yang seiras dengan
atuk memperlihatkan kebengisan wajahnya.
Pak Acik Dolah sentiasa tersenyum bila kami tersalah membaca Muqaddam
dan Al-Quran. Kak Dah pula adalah
lambang serang ibu. Dalam kami
mengingati mereka semasa perjalanan pulang, tiba-tiba kami dahpun sampai
rumah. Lampu minyak tanah
melambai-lambai ditiup angin menunggu kepulangan kami. Kenapa kami teringatkan mereka? Kenapa mereka dicari bila mereka tiada? Aku
tak sabar menunggu hari esok atau mendatang, untuk bertemu semula atuk, Pak
Hitam, Pak Cik dan Kak Dah.
Sejak
atuk meninggal dunia, kami tidak mengaji lagi.
Kakak-kakakku telah khatam Al-Quran lebih awal. Pada masa itu umurku baru merangkak sembilan
tahun. Aku meneruskan pembacaan Al-Quran di rumah sahaja. Rupa-rupanya, telatah kakakku lebih bengis
daripada atuk. Di mana kuah nak tumpah,
kalau tidak ke nasi. Khatamlah juga aku
sebelum meneruskan tingkatan satu. Abah
buat majlis kenduri dan jemput orang kampung.
Abah meminta aku berkhatam Al-Quran bersama sepupuku yang lebih muda setahun. Esok paginya, aku dikhatankan secara kampung
sebagai memenuhi kehendak agama Islam kepada budak-budak lelaki. Abah memberanikan diriku. Pijak semutpun tak mati. Sakit sekejap sahaja. Aku akan cepat sembuh jika berpantang makan
dan mengikut nasihat orang tua. Dua tiga
hari saja dah boleh naik basikal abah. Jam 4 pagi lagi, abah mengejutkanku
mandi. Abah menyuruh aku berendam dalam
kolam. Aku menurutnya sahaja. Emak pula
memberikan aku sehelai kain batik baru, sehelai baju Melayu dan sebutir
songkok. Aku duduk dicelah kelengkang
abah yang duduk di sebuah kerusi.
Kedua-dua tangannya menutup mataku.
Tok mudim mengejutkan aku yang dalam ketakutan. ‘ Dah selesai. Pantang ya supaya lekas sembuh ‘, sambil
menepuk bahuku. Darah terus menitis di
atas abu yang diisikan dalam dulang kecil.
Janji
abah tetap ditunaikan. Abah tak mungkir
janji bila sudah berjanji. Dia mengira
duit pemberian orang kampung semasa mengadakan Majlis Khatam Dan Khatan. ‘ Nanti abah belikan kau radio kecil. Kita
sekeluarga boleh dengar rancangan yang engkau suka. Tak payah lagi pergi rumah Pak Andak hari
Jumaat ‘, kata abah dengan melemparkan senyum yang tanpa berpagar lagi. Ketika abah balik dari kedai, radio transistor diberikan kepadaku. Budak Kampung memang tak faham arahannya,
kerana menggunakan bukan Bahasa Melayu. Jadi,
abahlah yang melakukannya seperti yang diajar oleh taukeh kedai. Aku jarang mendengar rancangan lain kerana
takut keluputan bateri. Mana nak cari
duit kalau baterinya habis. Tepat
masanya aku membuka radio. Dia memulakan
Racangan Muqaddam dengan doa atau nasyid ‘Kalamun
Qadim’. Semua kelurgamu mendengar
radio kecil dengan khyusuk. Hukum Tajwid
semasa rancangan itu dikupasnya dengan jelas.
Manakala anak-anak muridnya, seperti Khatijah, Mastura dan lain-lain
(nama yangku ingat) membaca Muqaddam untuk menjelaskan lagi penerangannya. Abah tersenyum bila aku beredar sekejap
mengambil Muqaddam. Kadang-kadang
tersasul juga aku membacanya dengan kuat sehingga mengganggu kekhusukan
kakak-kakakku. Dari sinilah aku
melancarkan pembacaan Muqaddam di sekolah agama. Cikgu Bardan (Guru Besar) mengarahkan aku melangkah
darjah dua. Aku tak layak lagi duduk di
darjah satu kerana aku sudah boleh membaca Al-Quran dengan baik.
Beberapa
prenggan coretan di atas ini, hanya imbasan belakang sahaja. Segala-galanya berpaksi di sini apabila aku
menyelak halaman muka bukuku. Wajahnya
aku gagah-gagahkan merenungnya tanpa berkelip-kelip. Semasa itu doa atau nasyid yang dilagukannya
semasa Rancangan Muqaddam di RTM bertempiaran mengisi dalam mindaku. Aku hampir rebah apabila melihat wajahnya
yang telah diratah oleh usia. Mungkin
seorang anaknya berada di sisinya yang sedang menghadapi masalah jantung. Mulutku
berkomat-kamit tanpa suara dengan lancar melagu atau mendoakan ‘Kalamun Qadim’. Doa atau nasyid itu masih kuingat dengan
sendirinya, walaupun telah berlalu 50 tahun lamanya. Mana tidak ingat, kalau aku dulu bercita-cita
menjadi ustad. Telingaku pula selalu
diasak oleh doa atau nasyid ‘Kalamun
Qadim’ setiap tengah hari Jumaat.
Bacalah Al-Quran selalu sekiranya anda kelian sudah terang lagi
bersuluh. Tak payahlah tunggu bulan
Ramadhan. Lebih baik lagi, sekiranya
sahabat-sahabatku faham ertinya dalam bahasa sendiri. Memang kita telah terang dan tak payah lagi
bersuluh kerana jalannya sentiasa lurus setiap masa.
AZMAN BIN JAFFAR
Muar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan