November 22, 2013

ABANG JAS



Sekali-sekali dia ingin juga menggubah selera.  Bukan tak sedap air kopi yang digodaknya sendiri. Kebetulan sahaja yang terjadi pada diri abang Jas dengan tidak semena-mena.  Aku diheret masuk ke kedai kopi oleh abang Jas.  ‘ Boleh cerita panjang kerana dah lama tak jumpa ‘, katanya.  Abang Jas hanya dengar namaku sahaja dalam ADILA.  Mungkin namanya sama, tapi orangnya lain.  Begitulah kita mencari kawan-kawan dalam lama FB.  Mungkin tersilap dan membiarkan begitu sahaja.  Kalau tahu keluarkannya daripada senarai kawan.

Abang Jas sudah tua tapi masih kacak lagi.  Pakaiannya kemas dan pandai menyesuaikan warna pakaian.  Maklumlah seorang pegawai tinggi dulu.  Tutur kata dan penampilan dirinya masih berupaya melembutkan hati seseorang.  Memang beracun senyuman abang Jas kepada perempuan-perempuan. Itu belum lagi mendengar suaranya. Senyuman dan misai nipisnya terbawa-bawa aku sampai ke rumah mengingati gelagat abang Jas.  ‘ Baru dapat cucu di Selangor.  Harap-harap semua cucu tak macam abang ‘, katanya pendek sambil menghirup kopi panas.
‘ Abang Jas kan baik, kacak dan  punya suara yang merisik khabar.  Kalaulah saya seorang perempuan dah tentu jatuh cinta dengan abang Jas ‘, kataku sambil makan roti bakar yang baru dihantar oleh pembantu kedai kopitiam.  ‘ Kata Din tu mungkin betul. Tapi inilah penangannya.  Macam penangan ADILA menyebabkan kita menangis dalam kereta sampai bengkak mata.  Inilah penangannya orang lelaki buka cawangan.  Abang memamg bersyukur dapat cucu lagi.  Tapi abang tak tahan dengan kerenah mereka ‘, jelas abang Jas sambil termenung jauh.
Aku berfikiran positif.  Aku ingatkan dia terpilih jadi Ketua Bahagian.  Rupa-rupa kisah kucing peliharaannya yang selalu bercakaran.  Tak boleh seorang lebih sedikit.  Mogok laparrrr...  Dapur mendendangkan lagu ‘ Senyap dan Sunyi ‘.  Sanggup tak keluar bilik dengan perut kosong.  Abang Jas terpaksalah makam mee segera saja.  Kadang-kadang tergigit cili padi dalam mee segera berperasa tom yam.  Lebih pedas daripada cili padi Radio Klasik.  Abang Jas telan sahaja kisah-kisah rumahtangganya yang menggamit kenangan.
Mana tak sampai tiga kalau sentiasa bertemu semasa kursus.  Mana tak termimpi-mimpikan abang Jas kalau suaranya tangkap habis.  Kalau bercakap dengan perempuan, pijak semutpun tak mati.  Sebab itulah abang Jas ada cawangan di Melaka, Selangor dan Perak.  Kalau ditakdirkan abang Jas bersara 55 tahun atau 60 tahun, mungkin abang Jas menambah satu lagi.  Isteri pertamanya tak kisah langsung.  Balik tak balik sama aje.  Anak-anak dah berumahtangga. Cucu-cucu dah ramai macam anak kucing.  Isteri keduapun tersampuk isteri kedua.  Anak-anaknya baru lima orang.  Semua perempuan.  Semua takut nak kahwin.  Takut mengenan dapat suami macam abang Jas.  Isteri ketiga, hanya dua orang sahaja.  Belum lagi menamatkan sekolah rendah.
Nasib tak baik abang Jas dikurniakan anak dua orang setahun.  Macam pasangan kembar tapi lain ibu.  Gaji abang Jas tidak boleh lagi diketepikan untuk simpanan.  Mulut dah bertambah.  Orang gaji dah bertambah.  Abang Jas raba kelendar kuda.  Lama lagi tak gaji bulan depan.  Kata abang Jas itu membuat aku tersenyum sendiri mengenangkan orang suka membuka cawangan.  ‘ Bukitpun boleh rata bila dicangkul orang setiap hari.  Orang di pejabatpun dah tahu.  Dah habis duitlah tu.  Baru tengah bulan ‘, kata abang Jas mengenangkan nasib dirinya.
‘ Anak Din berapa orang?  Dah lepas sekolah menengah? Aduh DIVA.  Orang dah bertukarpun disebut-sebut.  Bukan apa, abang teringat semasa anak-anak abang bersekolah dulu.  Yuran, buku, tambang, belanja makan semua minta dengan abang.  Macam diajar-ajar sahaja. Ibu-ibunya sengaja hendak mengajar abang.  Berani buat berani tanggung.  Hendak menangis rasanya.  Abang dah berhenti makan dan minum di kantin.  Dah tak hisap rokok lagi.  Sentiasa menanti hari isnin dan khamis.  Puasa sunat, Din.  Sehingga kini belum ponteng lagi puasa sunat.  Kalau nak dapat pahla bukalah cawangan’, kata abang Jas bila mengenangkan cerita persekolahan anak-anaknya.
Abang Jas mengaku sendiri bahawa dia tidak berlaku adil.  Mana tak adil kalau lama duduk di rumah isteri ketiganya di Melaka.  Isteri abang Jas baru berumur dalam 40an.  Abang Jas suka budak kecil.  Anaknya yang tua baru nak menduduki UPSR.  Anak perempuannya pula menduduki darjah empat.  Abang Jaslah yang mengajar di rumah bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.  Matematik dan sains dah banyak yang lupa.  Bantai sahaja asalkan anak faham.  Bahasa Inggeris pula abang Jas tak berapa kisah.  Abang Jas berabuk cakap bahasa Inggeris. Semasa menjadi ketua pejabat dulupun bertutur bahasa Inggeris.  Sebab itulah abang Jas ada alasan tak balik rumah isteri pertama dan kedua.
‘ Isteri pertama dan kedua abang makan saman.  Abang selalu nasihatkan mereka supaya berbaik-baik.  Tidak apa yang hendak direbutkan.  Kalau abang mati tinggallah mereka bergelar janda.  Abang ada juga buang-buang cakap kepada mereka.  Tenguklah anak-anak kita.  Dia muda daripada kita.  Tapi dia memberikan contoh yang baik kepada kita.  Kasih sayangnya kepada adik beradik sebapa  sama sahaja. Tidaklah seperti awak macam anjing dengan kucing.  Abang kalau boleh hendak membawa mereka menunaikan umrah bersama.  Biarlah kami berempat sama-sama menyucikan diri ‘, kata abang Jas sambil menekan-nekan api  rokoknya.
‘ Boleh tak abang bawa mereka mengerjakan umrah?  Pertama dan kedua telah bersara.  Fasal duit tu tahulah abang.  Boleh cakap dengan anak-anak.  Setakat ini anak-anak bagus dengan abang.  Balas budi semasa mereka bersekolah dulu sampai ke universiti.  Abang nak damaikan mereka di depan Kaabah.  Biar air mata mereka membasahi kota Mekah al-Mukaramah.  Abang tidak mahu mereka mempelawa anak-anak bersama.  Biarlah abang bersama duduk dalam satu bilik empat orang.  Sungguh nikmat rasanya hati abang,  kalau abang dikelilingi oleh bedadari semacam itu sebelum masuk syurga lagi ‘, kata abang Jas melemparkan impiannya yang terpendam.
‘ Macam mana isteri keempat.  Bukankah Islam mengizinkan abang berkahwin empat? ‘, satu soalanku menyergah abang Jas.  ‘ Taubatlah abang.  Sesuatu itu kurniaan Allah kepada abang.  Gunakan pemberian Allah itu dengan mengukur di badan sendiri.  Tak boleh mengambil kesempatan.  Paras muka yang segak dan kacak itu adalah satu ujian Allah kepada hambanya.  Sesungguhnya, sesuatu yang baru itu akan binasa akhirnya ‘, kata abang Jas merenung  mukaku dengan lenagan airmata.  Aku memegang tangan abang Jas dan mengaminkan impiannya.

KHAIRUDDIN ALADDIN
Ledang
Johor

AZIZ JAAFAR & SALOMA                               -              RINTIHAN DI JIWAKU

P RAMLEE                                                            -              ENTAH DI MANA

P. RAMLEE                                                          -              BARANG YANG LEPAS JANGAN DIKENANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan