November 22, 2013

WAK ADAM



                Aku sedang memerhatikan seseorang.  Walaupun dah bersara hampir 20 tahun.  Mereka masih mengingati aku lagi walaupun dah berkerepot.  Memang untuk meneruskan hidup sangat susah.  Nak mati bila-bila masa sahaja.  Tidur pun mati.  Makan kenyangpun mati.  Tengah sembahyangpun mati.  Kata-kataku ini bertepatan dengan berita-berita di dalam suratkhabar.  Aku tak baca berita-berita lain.  Semuanya dah jadi darah dagingku semasa bekerja dulu. Sekarang aku main pilih-pilih tajuk sahaja.

                Panas mentari mula memancarkan sinarnya.  Aku berpeluh merenangi masalah mencari puncanya dalam cahaya mentari yang memancar.  Pasar Tani semakin meriah dengan pengunjung-pengunjungnya yang berpusu-pusu.  Keadaan ini menenggelamkan aku dalam ratusan manusia.  Kadang-kadang aku terhumban oleh masalah yang amat berat bagiku.  Dalam arus manusia itu, terpancul seorang bekas stafku.  Aku menariknya ke tepi jalan memulakan bicara.
                ‘ Ingatkan dah tua ni tak ada masalah.  Hujung bulan anak-anak beri duit.  Makanpun tak habis dengan wang pencen.  Boleh pergi umrah tiap-tiap tahun.  Orang dah bersara lapang otak.  Dah duduk seorang diri.  Tenang fikiran.  Masa lapang boleh baca kitab dan mengaji al-Quran. Nak kahwinnn lagi ke?  Lainlah macam saya.  Pencen kerani cabuk.  Anak yang dah lepaspun kerja biasa sahaja.  Nasib tak baik, kita kena hulur dia. Atuk mana yang suka lihat rumahtangga anak bergoyang-goyang dilanda masalah ekonomi ‘, kata Jamal yang membahasakan Tuan kepadaku.
                Dengarlah Jamal, cerita daripada abang ni.  Tak pernah abang mengganggap Jamal pekerja abang sejak dulu lagi.  Mungkin Jamal dapat tolong menyelesaikan masalah abang.  Abang rela mendedahkan cerita ini supaya pendengar ADILA merasakan masalah abang.  Jamal mungkin tak dapat mencari hujung pangkalnya.  Kekusutan masalah pada tahap merbahaya.  Kalau aku nikah sahaja tentu orang kata.  Apalah si tua bangka ni? Kalau pun nak kahwin pilihlah yang sama baya.  Ini dah pangkat cucu.  Aku memang tak ada hati.  Hatiku telah dibawa pergi oleh isteriku bersama-sama masuk dalam tanah. Kalau rindu disebutnya sahaja namaku.
                Satu hari aku datang ke satu sekolah kerana mesyuarat.  Dua orang budak perempuan yang seiras memberi salam semasa berselisih jalan. Aku tercegat berdiri menanati bilik mesyuarat dibuka.  Sekali lagi dua orang pelajar tadi melintasi aku sambil senyum dan berhenti.  ‘ Saya murid tingkatan 5.  Tak boleh renggang dengan pasangan kembar saya ni. Pergi ke tandaspun berteman.  Atuk tunggu apa?  Boleh saya tolong? ‘, katanya dengan manja seperti cucu-cucuku.
                Aku memperkenalkan diri dengan ikhlas.   Mereka meminta diri kerana hendak mengikuti pelajaran.  Sebelum meninggalkan tempat itu, mereka meminta nombor telefon bimbitku sekiranya ada masalah.  Lima tahun telah berlalu tanpa berita apa-apa.  Satu hari telefonku berdering.  Dia memperkenalkan diri dengan suara yang aku tidak cam lagi.  Aku baru ingat pertemuan dengan mereka dulu.  Dia memberitahu bahawa saudara kembarnya telah keluar dari universiti awam dan bekerja sekarang.  Nasibnya tidak secerah adiknya.  Dia bekerja setelah tamat tingkatan lima dan telah diberhentikan oleh majikannya.
                Aku sentiasa memikirkannya.  Sibub-sibuk orang tidak dapat kerja, dia diberhentikan kerja.  Aku cuba menasihatkannya berkerja walaupun berpendapatan rendah daripada adiknya.  Pokok pangkal pada kita sendiri.  Tidak semestinya gaji tinggi menyebabkan hidup mewah. Kita mesti pandai menguruskan duit.  Buka jadi orang yang suka memboroskan pendapatan.  Pertanyaanku hari demi hari terjawab akhirnya.  Dia terjerat dengan kanser pangkal rahim.  Kehadirannya macam biskut menyebabkan dia diberhentikan oleh majikan swastanya.  Segala yang berlaku pada dirinya adalah satu kerahsiaan.
                Dia pula tidak mahu pergi ke hospital kerajaan kerana takut rahsianya bucur.  Dia sentiasa dalam ketakutan menanti ajalnya tiba.  Mula-mula dia meminjam aku duit untuk berubat dengan hospital tersebut.  MasyAllah, banyak belanjanya untuk mendapatkan ubat dan perkhidmatan doktor pakar.  Aku termenung dengan penderitaan yang dialaminya.  Macam mana jika anakku sendiri yang mengalaminya?  Macam mana kalau cucuku yang sebaya dengannya mengalaminya?  Apa guna duit kalau nyawa akan terbang melayang.  Keluarganya akan hilang dengan sekelip mata sahaja orang yang dikasihi.  Aku meminjamkan duit atas dasar permintaannya.  Selepas itu dia tidak lagi meminjam wang.  Dia tahu bahawa dia tidak mampu membayar hutang.  Kasih sayangnya kepada aku semakin tebal antara cucu dengan atuk.  Dia telah berani meminta wang belanja perubatannya.  Keadaan ini bertambah sahih bila aku diajak berjumpa dengan doktor tentang penyakitnya.
                Konflik dalam diriku telah bermula.  Tiada penyakit cari penyakit.  Duit simpananku cair dibawa arus kancer.  Macam manakah kalau anak-anak dan cucu-cucuku tahu hal ini?  Dia bukan muhrimku.  Dia hanya terjumpa sahaja di sebuah sekolah dulu.  Patutnya, aku mesti mengutamakan anak cucuku?  Sebusuk-busuk daging, dikicah-kincah dimakan juga.  Aku berada di sungai yang bercabang dua.  Manakah hala aku meneruskan hidup dalam sebuah sampan yang telah tua.  Kalau aku tidak menolongnya, dia sudah tentu tidak dapat meneruskan perubatan.  Dia mungkin menerima perkhidmatan di hospital kerajaan.  Macam mana kalau keluarganya baru tahu?  Jiwaku sungguh terseksa.  Betul ke ke kanser pangkal rahim bagi orang yang belum berumahtangga? Kanser pangkal rahim selalunya membawa maut.  Apa akan jadi kalau maut menjemputnya dalam usia yang muda?
                Aku bertekad menyembuyikan rahsia daripada anak-anak dan cucu-cucuku.  Sampai bila bangkai gajah boleh ditutup dengan tudung saji?  Lama-kelamaan anak-anakku terhidu juga.  Keputusanku rupa-rupanya salah.  Pengorbananku secara ikhlas dan jujur disalahertikan.  Bukan masyarakat yang salah tanggap, tapi yang empunya badan sendiri, menguruhkan lagi perahu tua yang sedang menuju ke destinasi akhir.  Segala pengorbanaku telah dianggapnya sebagai pasangan suami isteri. Dia tak kekuk memanggil suaminya atuk.  Apa maknanya umur 70an dengan umur 20an?  Ianya naluri manusia biasa yang perlu dan memerlukan antara satu sama lain.
                Kadang-kadang aku menelan sahaja luahan rasanya.  Akulah di dunia ini yang memahami perasaannya.  Dia dibelai oleh aku dengan bertanyakan khabar berita.  Tidak adapun seorang keluarga yang bertanyakan khabarnya, termasuk pasangan kembarnya.  Hatinya bukan sahaja menderita melawan penyakit, tetapi dengan manusia yang sudah hilang pertimbangan seorang insan.  Sejak itulah dia bermanja dengan orang yang dipanggil atuk.  Panggilan atuk itu cuba meraba-raba diriku sebagai seorang kekasih. Kata-kataku dalam SMS hanyalah satu motivasi sahaja bagi dia meneruskan hidup.  Aku sudah tua dan tidak akan mengambil kesempatan walaupun diumpan di depan mata.  Jangan jadikan aku seorang duda yang sentiasa dahagakan belaian seorang isteri.  Isteriku telah meninggal dunia.  Sekejap lagi, aku pula akan menyusulnya pula yang sedang menungguku di ambang syurga.
                Setelah aku menamatkan coretan ini, Radio Klasik menyahut promonya – Dengar, Dengar.  Jangan Tak Dengarrrr...  Aku menambahnya dengan tiada bersuara - Radio Klasik Menggamit Kenangan...  Semua pendengar ADILA telahku dihidangkan dengan satu coretan lucu tapi benar.  Ianya  meluncurkan perahuku dilambong badai dalam gelombang.  Jamal tersentak mendengar satu percintaan tidak bernoktah.

WAK ADAM AHMAD
Johor
Dicadangkan           pembacanya           -               ABD RAHMAN ISMAIL ( Suaranya mirip orang tua)
SAMSUDIN LAMIN                                  -               TITISAN EMBUN PAGI

ALLEYCATS                                              -               LAYANG LAYANG TERPUTUS TALI

AHMAD RAMLI                                       -               MENAMBAT RAKIT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan