Oktober 24, 2013

RINDU (AUSTRALIA)



            Rinduku mula memuncak.  Tak tinggi puncaknya macam universitiku.  Biarlah aku memanjat puncak yang rendah. Asalkan sampai matlamatku.  Apa ada pada nama? Sememangnya Hari Raya Adha yang berada di hujung jari menggamit kenangan.  Gambaran bakal-bakal haji dan hajjah yang sedang bertawaf, saii, melontar dan wukuf, berceracak di mataku yang yang tercampak di sebuah benua.  Janjiku bersimpang-siur mengisi kekosongan di benua Australia.  ‘ Nantilah abah dan mak.  Duit Din belum cukup lagi.  Nanti abah dan mak pergi ya? ‘ kataku sambil mengurut-urut dada abah.  Abah menganggukkan kepalanya merenung emak.  Mungkin mereka menunggu janji anaknya sambil menelan air liur.

            Makananku semasa kecil memanggg tak putus.  Abah dan mak memang tak boleh jadi kaya.  Mana boleh jadi kaya, kalau memandu teksi sepuluh hari sebulan.  Musim tiada penumpang baruuu disuruh memandu teksi.  Kadang-kadang abah tak balik rumah kerana terpaksa memandu jauh.  Sampai bilakah abah nak berhenti memandu teksi?  Matanya tidak awas lagi.  Selalu sahaja terlibat dengan kemalangan.  Kesusahan abah sedikitpun tidak melemahkan semangatku.  Aku berani keluar beberapa buah negeri Malaysia menyambung pelajaran di MRSM.  Tak cukup dengan segolong ijazah.  Aku buru pula di benua Australia untuk mendapatkan rusa berbelang kaki, seperti maksud yang tersurat dalam serangkap pantun tua.  Aku mesti bakar semangat anak-anak buah yang sedang mencari punca kekusutan dalam keluarga masing-masing.  ‘ Jalan-jalan yang pernah engkau lalui ini tidak mungkin engkau sesat atau lupa daratan ‘, kataku dalam hati.
            Kepulangan aku dari Asrama Penuh sentiasa ditunggu oleh abah.  Abah bergerak pusing bandar cari penumpang.  Orang lebih suka naik bas daripada teksi.  Tambang bas murah dan sesuai dengan ekonomi orang kampung.  Kepanasan dalam teksi pula,  menyebabkan abah tidak mengenakan butang baju dalam teksi.  Tiba-tiba, abah mengajak aku pulang ke rumah sahaja dengan perasaan hampa.  Aku cuba menggambarkan kehampaan perasaannya di celah-celah salji yang turun di Australia. Ikut rasa aku memang tak akan menjadi manusia.  Ikut hati pula, aku tetap menjadi seorang insan seperti yang diidam-idamkan oleh keluargaku.  Biarlah buaian kainku terhenti seketika.  Namun pantun tua masih mengusik jiwa.  Ibu terus mendodoikan aku.  Buai laju-laju, sampai cucur atap.....
            Semasa kuliahku reda sedikit dengan ujian dan tugasan, aku membelek-belek SMS dan FB.  Tak sampai seminit SMS dan berita menyeberangi lautan menuju Australia.  Aku teringat surat-surat dari bapaku bersampul biru dan bersetem.  Setiap kali aku membalas suratnya, dimasukkan sampul surat yang bertulis alamatku.  Siapa nak tulis?  Bapaku bukan tahu menulis rumi.  Kesian bapaku menulis surat.  Dia menulis surat dengan mengoyakan kertas buku yang tak pakai.  Format menulis surat tak betul.  Tulis pula dalam tulisan jawi.  Nasib baik aku boleh baca jawi.  Kalau tidak, macam ‘ Bujang Lapuk ‘ terima surat daripada Ros.  Abah...abah.  Lipat empat sahaja surat macam lepat ubi.
            Aku terpandang abah dan emak yang telah meninggal dunia menyebabkan aku rindu kampung halaman.    Kampungku sudah membangun.  Ada bekalan air dan api.  Ada jalan raya yang bertar.  Macam-macam ada seperti satu iklan.  Tapi, rinduku masih berkocak pada orang yang sudah tiada lagi.  Rindu pada seorang perempuan yang menguyah-nguyah biskut  tawar di mulutnya dan menyuapkan pula di mulutku.  Rindu pada seorang lelaki tua yang tidak kering-kering menyebut  namaku apabila pulang memandu teksi.  Aku teresak-esak sambil menutup buku yang kubaca.  Memang tak boleh baca, kalau wajah mereka  sentiasa mencemik dan senyum di setiap helaian buku.  Mereka mungkin berbaloi menabur doa selepas sembahyang.  Mereka ingin anaknya belajar di dunia asing. Anak pemandu teksipun boleh mengoncang dunia. Kawan-kawan di apartmenku faham kekalutan jiwaku.  Mereka membiarkan orang tua seperti aku menggamit kenangan.
            Kata-kata abah semasa aku bergayut dalam kain pelekatnya, seolah-olah masih baru lagi.  Aku cuba mengisi masa lapang supaya aku tidak digamit kenangan silam.  Ilmu tetap kukelek jangan jatuh.  Agama tetap kujunjung di atas kepala.  Biar aku jadi seorang jurutera yang mahir dalam selok belok Islam. Boleh katakan setiap hari aku mengajar kanak-kanak Australia mengaji selepas maghrib.  Mereka sentiasa menungggu pelajar-pelajar dari Malaysia yang datang ke sana.  Budak-budak tu, tak ramai bilanganya.  Cuma lima enam orang sahaja.  Aku menggalakkan mereka menggunakan bahasa Arab daripada bahasa Inggeris semasa membaca al-Quran.  Al-Quran mesti dibaca dengan hukum tajuwid. Aku tersenyum sendirian.  Al-Quran telah menyatukan umat Islam seluruh dunia.  Mereka jelas membunyikan bahasa Arab dengan betul, walaupun sentiasa bertutur bahasa Inggeris.  Aku bertanya dan menjawabnya sendiri dalam hati. ‘ Di manakah arah kiblat kita?  Semuanya menghala ke Kaabah jua ‘.
           
           
AFIDIN NOR MUHAMAD
University of Queensland
Australia.

ALLEYCATS                        -           BERITA DARI RANTAU

RAFEAH BUANG    -           KENANGAN DI RANTAU ABANG

JULIE SUDIRO         -           SAYANG DI SAYANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan