November 22, 2013

CINTA GOBIAH



Hatiku tergantung di hujung dahan.  Merah ibarat rambatan kampung.  Warna merah itu tak cukup menyelerakan orang ramai mengambilnya.  Akhirnya rambutan itu dipandang sahaja orang yang lalu lalang.  Nak buat jempun orang tidak berdeku.  Dalam usia yang datang bersilih ganti, rambutan itu kering sahaja dan gugur ke bumi.  Orang ramai pula hampir lupa, bahawa yang bertaburan ke bumi adalah dulunya setangkai rambutan kampung.


Setelah membantu perniagaan makanan seorang kenalan, aku melekap di corong radio mendengar ADILA.  Aku melayan coretan-coretan yang dibacakan dengan seribu perasaan yang membelai-belai aku yang hidup keseorangan.  Aku sedih, hiba dan menangis kerana kisah-kisah tersebut menggamit kenangan. Orang hanya dengar sahaja.  Mungkin terasa sekejap sahaja.  Bagaiman kalau coretan tersebut adalah rempah ratus hidupku?  Tak payahlah aku mendengar ADILA.  Baik tidur sahaja setelah penat di warung.  Tapi, tak boleh.  Aku sentiasa memerhatikan jam locengku.  5.30 petang tetapku tunggu dengan tuala kecil mengesat air mata.

Di dada coretan ini, kusematkan ucapan terima kasih kepada pengirim-pengirim coretan yang biasa aku dengar, khasnya lakaran hidup seorang perempuan malang.  Bertambah bisa hatiku bila coretan itu dibacakan oleh pembaca lama dan baru yang dapat menghayati sepenuhnya coretan itu menjadi segar.  Perasaan cinta yang mendalam ini, menyebabkan aku terlangsung mempelajari E-mail dan Facebook dari adik-adik jiran.  Manalah budak sekolah rendah tahu E-mail dan Facebook?  Baru belajar dan memberi komen sahaja kepada rakan-rakan Radio Klasik.  Itupun atas pertolongan kawan-kawan.

Aku rasa dah ramai sahabat DJ yang aku kenali dari jauh.  Begitu juga nama-nama sahabat klasik yang sentiasa memeriahkan Rancangan-rancangan Radio Klasik.  Mana tak menambat hati, kalau komenku dibalas oleh mereka. Segala-galanya bermula setelah 10 malam membiarkan aku sunyi sepi.  Aku ada buku kecil yang memuat pengirim ADILA pada tarikh tertentu.   Kalau coretan pada masa itu tidak ada cerita cinta-cintan, kawanku mengajak pula mendengar coretan lama ADILA dari sebuah blog yang diusahakan oleh seorang peminat.  Berkali-kali kami mendengarnya tanpa jemu.  Walaupun dah tahu ceritanya, air mata tetap jatuh di pipi.  Yalah cerita orang putus tunang, tunang meninggal dunia, isteri dilupai oleh suami, kemiskinan dan lain-lain lagi.

Langkahku tidak lagi dibantu oleh kawan-kawan.  Ianya menjadi rahsia Aku, Dia dan Lagu.  Satu hari aku menjemput dia menjadi seorang sahabat.  Dia antara penulis ADILA yang begitu tersohor dengan cerita-cerita rumahtangga.  Aku menduga cerita-cerita yang dipaparkan adalah cerita benar.  Rupa-rupanya orang lelaki juga menghadapi masalah rumahtangga. Aku terperanjat besar bila FB aku, menerima aku sebagai sahabatnya.  Pada mulanya ceritaku bermula dengan kisah-kisah biasa dan tentang ADILA.  Dia manusia biasa sahaja.  Coretan yang dibuat pada Radio Klasik tidak berbayar.  Hanya suka-suka melayan perasaan yang tidak tahu hendak dilemparkan.  Dia memberi no hpnya dan meminta no hpku.  MasyaAllah.  Inilah kelemahan aku.  Mana ada telefon bimbit.  Tak cukup duit.  Mana nak beri ibu bapa?  Mana nak makan?  Mana nak bayar sewa rumah?  Memang aku telah bertekad sejak dari dulu lagi.  Tiada telefon bimbit dalam hidupku.  Nak guna bercakap dengan keluarga, pandai-pandailah.

Aku semakin pening kepala.  Dia nak lihat gambarku melalui telefon video.  Aku menjelaskan kepadanya bahawa aku tak cantik.  Sebab itu aku terperap dalam rumah.  Sampai bila ibu bapaku menanggung aku makan.  Umur pula semakin meningkat.  Sekarang baru 40han tahun.  Apa jadi kalau dah sampai umur 50 atau 60han?  Apa jadi kalau ibu bapaku telah meninggal dunia?  Dia seboleh-boleh minta no telefon bimbitku.  Nak jumpa aku di warung atau di rumah.  Adulah. Sikit kepala.  Tiada penyakit cari penyakit.  Rasakan sakit orang bercinta.  Ya Allah inikah jodohku.  Kau uji diriku sejak bertahun-tahun lamanya.  Aku telah tiada perasaan cinta lagi.  Biarlah aku sibuk sebagai pembantu warung.  Aku telah dikhabarkannya sudah beristeri dan bercucu.  Kalau kau bujang, mungkin aku berfikir sepuluh kali.  Aku adalah seorang perempuan.  Aku tak rela melihat rumahtangga kaumku runtuh disebabkan oleh aku yang sentiasa mencari peluang.  Biarlah aku begini sehingga mata tertutup rapat.  Biarlah mayatku tidak ditangisi oleh sesiapa.  Hatiku tetap hatiku jua.

Setiap pukul 10 malam, aku melayari FB.  Dia merajuk panjang.  Ceritanya dalam FB tiada muncul-muncul.  Aku tahu dia menghantar anak-anaknya yang masih bersekolah rendah.  Cerita begini mendewasakan aku melengkapkan ceritanya.  Aku mengumpulkan cerita-ceritanya dalam sebuah bingkai nostalgia.  Ada anak kecil.  Ada cucu.  Dah bersara.  Maklumat ini menjadikan aku menjawab teka-teki dan mencari gambar tersembunyi.  Aku ikhlas walaupun aku budak kampung dan tidak bersekolah tinggi.  Kejujuran dan keikhlasan aku tidak boleh dibayar dengan kekayaan.  Satu hari aku menyelak FBnya.  Gambarnya telah bertukar gambar biasa kebiruan seperti manusia yang tidak mahu bersua muka lagi.  Komen-komen aku sebagai sahabat tidak dijawabnya.  Mungkin dia telah mengeluarkan aku sebagai sahabatnya dalam FB.

Sehingga kini tidak seorangpun tahu, aku telah pernah jatuh cinta dalam usia yang lewat.  Keramahan aku melayan pengunjung-pengunjung warung, membuatkan aku lupa kisah semalam.  Pahitnya menjadi ubat yang mendewasakan aku.  Manisnya pula satu peristiwa indah bagi seseorang perempuan yang pernah jatuh cinta. Aku tetap sibuk mengambil pesanan daripada pelanggan-pelangganku tentang apa-apa yang boleh aku bantu.  Tapi aku tetap membisu, berkongsikan dengan mereka yang pernah jatuh cinta. Sungguh ajaib sahabat-sahabatku.  Memang tiada cinta di warungku?

GOBIAH BINTI TULUS
Kelantan.

Dibacakan oleh                                   -           SHELA BAHARUDDIN (Tip Top)

AZLINA AZIZ                                  -           AKU DAN KESEPIAN
KHATIJAH IBRAHIM                     -          TANGISAN HATIKU YANG DERITA

AZLINA AZIZ                                  -           ESOK UNTUK SIAPA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan