Mei 03, 2013

HARI IBU 2013



          Kalender kuda kurenung tajam.  Keputusanku telah muktamad.  Aku mesti balik kampung.  Dua jam perjalanan hanya sekelip mata sahaja.  Dia tentu menunggu aku.  Aku pula tak dapat menahan kerinduan yang telah muntah dalam ilusiku.  Perjalanan hidupku menjadi capek dan sentiasa dipimpinnya dengan kemesraan.  Apa kata isteriku?  Apa kata anak perempuanku?  Apa kata cucu perempuanku?  Bukankah mereka itu perempuan?  Perasaannya begitu halus menyulam kasih sayang yang indahku pandang.  Aku mesti balik.  Ya aku mesti balik.

          Begitulah perancanganku bertahun-tahun.  Rasa jemu tidak pernah berlabuh dalam kotak mindaku.  Aku terus mengayuhnya walaupun pelahan-lahan.  Asalkan aku sampai dan membisikkan sekeping hati kepadanya.  Dia mesti mendengarnya dalam arus jernih yang mengalir dari matanya. Masa itu pohon kemboja yang kupatahkan dulu rendang besar melambai-lambai.  Ianya simpati dengan nasib diriku yang kempunan dengan hajat yang tak sampai.  Walaupun pohon kemboja itu tidak berbaja, tetapi pohonnya tetap rendang dengan bunga-bunga putih yang segar mengharumkan kasih sayang.
          Selepas menunaikan solat asar di masjid, aku memandu keretaku ke kampung.  Parit besar yang memisahkan bekas tapak rumahku dengan jalan utama memancarkan gambaran hidup klasik yang sentiasa terbayang sejak sekian lama.  Air parit yang jernih melakarkan kehidupanku dengan nyata dan jelas.  Ikan puyu dan sepat tidak lagi muncul berlegar-legar dalam parit.   Hanya rumput-rumput parit sahaja yang condong ke laut mengikut arus.  Segala-galanya telah berubah dalam kerlipan mataku yang mimpi sejenak.  Aku duduk di atas titi simen sambil menjuntaikan kedua-dua belah kaki.  Di sinilah tercatuknya seorang penunggu ketika aku bersekolah rendah dulu.
          Bila dia bangun, dia selalu menggoyangkanku.  Aku tidur-tidur ayam sahaja. Segala-galaya liat macam dahan petai. Mataku masih kelat lagi.  Selepas kerjanya siap, dia masuk ke bilik lagi.  Aku ditarik bangun ke bilik air.  Kadang-kadang aku mandi sendiri.  Kadang-kadang, dia mandikan bila melihat mataku masih tertutup.  Aku terperanjat gila apabila air dari tempayan disirami ke tubuhku.  Selepas dimandikan, aku dibalut dengan kain dan diajak keluar dari bilik air.  Kadang-kadang aku didukungnya naik ke atas rumah setelah memijak beberapa anak tangga.
          Aku masih dalam kesejukan, disapu oleh kedinginan angin pagi.  Kain di badanku masih berselimut litup.  Dia bercakap dengan lembut sambil memujuk aku ke sekolah.  Aku memang telah faham dengan rutinku sekarang.  Segala-galanya berubah sama sekali ketika umurku tujuh tahun. Dia menggelap badanku dengan kain tadi dan memakaikan baju putih dan seluar pendek biru.  Rambutku disisir kemas dengan menggunakan minyak kelapa yang dimasak sendiri dan dibubuh bunga tanjung. Aku disuruhnya duduk di lantai  dapur  sambil  menjamah  nasi goreng  dan  air  teh  kosong.  ‘ Makanlah  nak.  Ini  sahaja  yang  dapat  mak sediakan untuk engkau pergi ke sekolah.  Dalam upih ini ada rebus ubi dan ikan kering.  Makanlah pada waktu rehat nanti dengan air sejuk dalam botol ‘.
          Setelah memakaikan kasut biru tidak berstokin, aku diheretnya melalui titi batang pinang melintasi parit besar.  Kami memijak dua batang pinang yang tidak ada pemegang.  Dah biasa dengan titi itu, walaupun kami terhoyong-hayang.  Kalau nak cepat, dia mendukungku meniti batang pinang itu yang panjangnya hampir 15 kaki.  Setelah tiba di jalan besar, dia menunggu kumpulan budak-budak yang menuju pergi ke sekolah.  Perasaan hendak ke sekolah selalu membunuh semangatku.  Jarak rumahku ke sekolah kira-kira 1 batu.  Tapi semangatku kebabal dan tidak pernah gentar.  Kepenatannya tidakku rasakan kerana kami berjalan beramai-ramai ketika menuju ke sekolah..
          Dia mesti melepaskan aku pergi ke sekolah.  Tak sekolah, aku terpernyuk di rumah sahaja seperti katak di bawah tempurung.  Aku budak lelaki.  Macam mana tak bersekolah?  Macam mana nak tanggung dia makan.  Dia melepaskan aku dengan satu dua ciuman.  Air matanya bergenang sambil berpesan.  ‘ Di sekolah jangan nakal.  Belajar sungguh-sungguh.  Mulakan dengan Bismillah...  Hormat cikgu ya ‘, katanya semasa menghantar aku ke jalan besar.  Aku berjalan dan kadang-kadang menoleh ke belakang.  Aku memberhentikan perjalananku.  Dia mengangkat tangan semacam orang berdoa.  ‘ Apakah doa yang mengiringku pergi ke sekolah setiap kali?  Apakah maknanya, kucupan azimat yang mengghariahkannya pada waktu pagi?, ‘ kataku dalam hati semasa duduk berjuntai di atas titi.
          Dia tetap menungguku di hujung titi semasa temgah hari.  Mungkin tak berdaya berdiri tercegat tengah panas di tepi jalan raya menungguku.  Aku dijemputnya dan sekali lagi aku didukungnya meniti parit besar.  Sampai di rumah, aku bersalin pakaian menunggu makanan dihidangkan olehnya.  Kami sama-sama menghadapi makanan orang kampung.  ‘ Makan dah baca Bismillah?  Baca doa dulu baru makan ‘, katanya dengan senyum.  ‘ Nanti bila masuk waktu zohor, jangan lupa sembahyang.  Jangan perut dah kenyang terus tidur ‘ katanya lagi mengingatkanku sambil mengemaskan pinggan mangkuk yang tak seberapa.
          Pelajaranku di sekolah rendah hanya biasa-biasa sahaja.  Memang tak belajar di rumah.  Selepas isya’ sahaja pelita bodoh telah dimatikan. Sehingga darjah tiga, baru urusan diriku sendiri dapatku uruskan.  Aku tetap bersekolah di kampung sahaja sehingga tingkatan lima. Selepas itu, aku terpaksa tinggal di asrama semasa meneruskan pelajaran tingkatan enam di bandar.  Pertama kali aku merasa perit, sedih, sebak dan pilu merenangi makna perpisahan dengannya.  Balik ke rumah sekali dua sahaja dalam sebulan.  Perpisahan ini adalah satu bayangan pada masa depan bersama dia.  Terlalu susah aku menyesuaikan diri duduk di asrama daripada menghadai pelajaran.  Gambarnya kuletakkan dalam sarung bantal di hujung katil.  Semasa hendak tidur, kukeluarkan gambar tersebut sambil menciumnya dengan diiringi dengan sejambak doa.
          Tiba-tiba aku menjadi sebak.  Kenapakah air mataku mengalir pelahan seperti air dalam parit tua?  Air parit akan ke laut sudahnya.  Air mataku ke manakah perginya.  Ianya hanya menitis satu demi satu pelahan-lahan pada sebuah nama sahaja. Aku meraut mataku dengan dua tapak tangan  ‘ Selamat Hari Ibu, emakkkk.  Namamu tetap terpahat  di hatiku tiada kesudahannya.  Biarlah musim akan sentiasa berubah-ubah meninggalkan saya.  Namun, hatiku tetap hatiku jua ‘.

FIFI PERINDU
UniKL
Melaka

S M Salim            -        Ibu Oh Ibu.
Ramlah Ram                  -        Kerana Janji
Balle-Balle            -        Tinggal Kenangan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan