Aku merelakan cahaya
matahari pagi menyelinap ke tubuhku.
Mataku mengekori kanak-kanak sekolah yang berumur dua belas tahun. Mereka berdedai ke sekolah sambil bercerita
hari semalam. Anak zaman ini, sudah tak
malu seperti aku dulu. Umur sepuluh
tahun masih berhingus lagi. Pakaian yang
aku pakai, menterjemahkan aku budak kampung.
Warna baju putihku sudah perang, tidak direndam dengan nila semasa ibu
membasuhnya. ‘ Pakailah nak. Biar buruk kain dipakai, asalkan pandai
menjaga hati ‘, kata ibuku memujuk aku pergi ke sekolah.
Aku dan kakakku berjalan
kaki pergi ke sekolah. Kami terpaksa
berpecah dua kerana sekolah pada masa itu mengasingkan murid lelaki dan
perempuan. Aku disambut kawan-kawan
dengan mengapai beg sekolahku. ‘ Mak aku
bekalkan nasi goreng minyak jelantah saja ‘,
kataku dan meminta rakan-rakan bersabar menunggu waktu rehat untuk makan
bersama. Sebiji dulang kecil tembaga,
yang digantung dekat Pejabat Guru Besar dipukul tiga kali oleh murid darjah
enam, menandakan pelajaran di sekolah bermula.
Rahim masih tak datang
lagi. Rahim tentu mencari alasan
memberitahu cikgu, mengapa dia tidak hadir ke sekolah? Biasalah alasan murid-murid dulu. Mereka memberi alasan sakit, penat, lambat
bangun, jaga adik, baju koyak dan lain-lain lagi. Aku memang tak nampak Rahim di depan atau di
belakangku, semasa berjalan ke sekolah.
Rahim tak sakit pun semalam. Kami main toka dan kotak rokok. Dia menang besar kerana tokonya dapat
menjatuhkan kotak rokok dengan banyak kali.
Hari itu nasib aku tidak baik.
Mungkin tanganku pengkar semasa membaling toka. ‘ Esok, aku akan cari kotak-kotak rokok dalam
tin sampah kedai ‘, kataku menyedapkan hati.
Balik dari sekolah, aku
terus ke rumah Rahim. Rahim dan
adik-beradik menunggu emaknya pulang dari menoreh getah. ‘ Kenapa tak datang sekolah? Cikgu tanya engkau? ‘, kataku
terdengeh-dengeh kepenatan. ‘ Abah aku
demam. Aku jaga abah. Adik beradikku
turut ikut aku jaga abah. Kakakku pula
basuh pakaian di telaga belakang rumah ‘, jelas Rahim dengan muka yang sedih. ‘ Dah makan tengah harilah? Semuanya ada di rumah. Kakak kau boleh masak nasi dan goreng ikan
masin ‘, kataku menunggu pelawaan Rahim seperti biasa. ‘ Kami dah cari sayur tapi belum masak
lagi. Tunggu emak balik menoreh, Pukul dua atau tiga. Barulah makan tengah
hari. Dah lali tiap-tiap hari. Begitulah nasib kami. Apa nak buat? ‘, kata Rahim lagi yang belum
makan tengah hari.
Aku meminta izin pulang ke
rumah. Petang nanti aku nak datang lagi
ke rumah Rahin main kotak. Abah dan mak
tak kata apa-apa. Mereka tahu tentang
kami tiap-tiap hari. Beg sekolah campak
sahaja ke tepi dinding. Esok pagi, capai
sahaja beg pergi sekolah. Tak pernah
buat kerja sekolah waktu malam, macam anak-anakku. Buat apa baca dan buat kerja sekolah, kalau
semuanya dah selesai di sekolah. Lagipun
di rumah tiada meja belajar. Abah dan
emak dah tidur lepas isya. Semuanya
telah terbongkang kepenatan. Akupun jadi
buaya lapar di ruang tetamu. Pelita
dendeng telah dipadamkan oleh emak melenakan aku dalam gelap-sagup.
‘ Hai tergesa-gesa makan
hendak ke mana? Mak masak lemak sayur
turi campur keledek. Kan engkau suka
sambal belacan. Emak tak menoreh pada hari
ini. Hujan mendesah turun semasa emak
baru menoreh pokok getah beberapa batang ‘, kata mak sambil menghulurkan air
segelas padaku. Aku membasuh tangan
dalam mangkuk dan terus pergi ke rumah Rahim.
Rahim sekeluarga tersadai di dinding rumah kekenyangan. Mata mereka ralib macam orang nak tidur. Aku mengejutkan Rahim yang sedang terlena
untuk bermain kotak rokok. Kawan-kawan
sedang menanti di atas tanah.
‘ Aku peninglah lepas
makan. Kami makan sayur masak air sahaja
dengan ikan kering. Semuanya
bertambah-tambah. Abah aku sampai tiga
kali bertambah. Maklumlah hujan
turun. Perut bertambah sejuk dan lapar
‘, kata Rahim macam terasa kelat membuka mata.
Aku turun dari rumah dan memulakan main kotak. Nasibku macam semalam juga. Kotak-kotak rokok yang kupunggut dalam tong
sampah cepat susut. Hanya tinggal
beberapa kotak rokok mahal saja.
Kotak-kotak rokok biasa dan murah, semuanya telah habis.
Aku berhenti bermain. Rahim sekeluarga bergelimpangan tidak sedar
diri. Rahim macam orang separuh
sedar. ‘
Takkan makan sayur masak air terbulat kekenyangan. Sedap sangat ke sayur tadi? Sayur apa?
Selalunya mak Rahim masak sayur kampung ‘, kataku dalam hati. Hatiku bertambah tak sedap kerana maghrib
akan menjelma tak berapa lama lagi. Pak
Samad baru pulang dari kerja bertukang rumah.
Aku menahan Pak Samad dan mengajaknya melihat Rahim sekeluarga. Rahim tidak bercakap lagi. ‘ Ini
mabuk ni? Makan apa? ‘, kata Pak Samad
ketika mengelopak mata bapa Rahim. Dia terus
pergi ke dapur. Periuk sudah ditelungkupkan
di atas para.
Pak Samad mengajak aku ke
tanah, melihat adik-adik Rahim memetik sayur tadi. Pokok-pokok kangkang-kangkong dan cukur manis,
macam baru dipetik orang. Dicelah-celah
pokok cucur manis, ada macam pokok terung dipetik orang juga. Pak Samad memetik daun pokok tersebut dan
menciumnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
‘ Ini pokok kecubung. Pokoknya beracun. Inilah pokok yang menjadi
tipu muslihat menangkap dia semasa peristiwa Bukit Kepong ‘, kata Pak Samad
mencari pondok telefon. Aku
tertanya-tanya, siapakah yang dimaksudkan dia dalam Peristiwa Bukit
Kepong. Kira-kira setengah jam berlalu,
sebuah ‘ landrover’ polis datang membawa keluarga Rahim ke hospital dalam
bayang-bayang petang yang sudah melabuhkan tirai.
Minda tuaku turus hanyut
tersangkut di Bukit Kepong. Daun-daun
kecubung yang terapung-apung menukarkan air sungai yang keruh menjadi
hijau. Sekelip mata, tabir drama kisah
sedih, Peristiwa Sejarah Bukit Kepong,
tersingkap memulakan drama yang menyayat hati.
Aku mengesat air mataku setelah habis kugelidah membaca artikal-artikal sejarah
si dia, yang sarat dalam internet. Daun-daun
kecubung yang tidak beracun lagi kuambil menyapu air mataku. Sesungguhnya, aku tidak lagi buta sejarah setelah
aku mengenal sejarah bangsaku sendiri.
ONN MOHD JAFFAR
JOHOR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan