April 29, 2013

KAK NENG



          Kulitnya kuning langsat.  Tingginya 5 kaki 6 inci.  Rambutnya panjang sampai ke pinggang.  Sentiasa bersiput kemas walaupun tidak ke mana. Matanya sepet pula.  Orang boleh teka bahawa kak Neng bukan adik beradikku. Memang benar tekaan orang ramai.  Kak Neng anak angkat abah.  Orang Cina kasihan melihat abah.  Enam orang anaknya meninggal dunia sejak kecil lagi.  Jadilah kak Neng anak yang tua dalam keluargaku.  Dia pengikat kasih sayang abah dan emak sekeluarga. Abah dan emak tunggu lagi dapat cahaya mata.  Penantian mereka tak berhasil. Abah ambil 2 orang anak angkat lagi.  Kedua-duanya perempuan.  Seorang keturunan Melayu dan seorang lagi keturunan Cina.

          Dalam pada itu emak mengandung lagi. 3 orang kakak angkat mendoakan abah dan emak mendapat zuriat sendiri.  Sejak itu bermulalah era adik beradik yang jati seramai 5 orang.  Kehidupan kami tetap sama.  Perbezaan anak betul dan anak angkat jauh di sudut hati abah dan emak.  Kami tidak pandai membahagikan kasih sayang, kalau kemiskinan hidup dirasakan sama oleh adik beradik.  Apa nak dibezakan kalau makan ikan kering dan sayur paku?  Apa nak dibezakan kalau hari raya tidak berganti baju?  Abah tidak tolak keluarga yang ramai ini, walaupun kehidupan kami miskin.  Rezeki tetap ada di mana-mana, asalkan abah dan emak berusaha.
          Abah dan emak tidak takut dikurniakan anak yang ramai.  Apa maknanya rumahtangga, jika tidak diserikan oleh anak-anak?  Abah dan emak akan tersenyum bila rumah kami ditimpa oleh tsunami anak-anak menyelerakkan benda-benda dalam rumah.  Kadang-kadang abah dan mak menyanyi sama dengan suara yang pelat mengajukkan suara kami semasa kecil.  Ada ketikanya abah atau emak membasuh lantai rumah ketika kami melepaskan buang air kecil atau besar.  Abah dan emak tetap senyum dan mereka berdengkur kepenatan semasa tidur pada waktu malam.  Mereka tidak merintih dan mengadu kepada saudara-mara.  Mereka telan bulat-bulat supaya pengalaman hidup mereka membesarkan anak-anak menjadi sebuah coretan kenangan selama-lamanya.
          Masa yang berlalu pantas, meremajakan kak Neng.  Kak Neng mesti dipadukkan dengan anak  sepupu emak supaya tali kekeluargaan lebih rapat lagi.  Kak Neng dan suaminya meneruskan hidup di sebuah estet getah.  Mereka dikurniakan 2 orang anak lelaki.  Jambangan kasih suami isteri tiba-tiba layu diuji Allah.  Suaminya batuk-batuk tidak berhenti.  Batuknya tidak boleh diselamatkan lagi apabila darah berketul-ketul keluar dari mulutnya ketika batuk.  Allah lebih sayang suaminya daripada kak Neng.  Dalam usia tiga puluhan,  dia dijemput oleh Allah meninggalkan kak Neng bersama dua orang anak terenang-renang dalam lautan hidup yang ketika itu ombak sedang mengganas.
          Abah tetap memungut kak Neng anak beranak.  Biar keluarga bersesak-sesak di rumah.  Rumah buruk yang tidak berbilik, tetap menerima kak Neng tanpa bertanya apa-apa.  Kalau bertanya pun tak menyelesaikan masalah kak Neng.  Kak Neng anak abah.  Kak Neng adalah saudara baru.  Adakah masalah kak Neng mesti dipanjangkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat? Abah tak rela kak Neng dibuat sesuka hati.  Rezeki tetap ada.  Allah itu bersifat al-Rahman dan al-Rahim.  Kak Neng telah mendoakan abah mendapat zuriat.  Abah tak dengar kak Neng berdoa. Tapi itulah doa yang ditadah oleh kak Neng selepas sembahyang.  Kak Neng selalu mendoakan abah dan emak dalam komat-kamit mulutnya semasa berhubung terus dengan Allah.
          Kehadiran kak Neng anak beranak tidak menggentingkan rezeki abah.  Rezeki abah macam biasa juga.  Kak Neng mengambil upah menoreh getah di kebun orang.  Buat tambah belanja abah di rumah.  Kak Neng pandai ambil hati abah.  Dia tidak mahu menyusahkan abah sejak bayi sehinggalah menjadi janda.  Kak Nenglah mencari kayu api dalam hutan. Kayu yang besar sepemeluk dua dihanyutkan dalam parit ketika air melimpah penuh.  Aku dan anak Kak Neng menahan kayu-kayu yang dihanyutkan dengan memancangkan buluh supaya tidak dihanyutkan oleh air.  Usaha Kak Neng ini menyebabkan aku pandai berenang, walaupun cara kampung.
          Kak Neng memang hebat.  Sifat kelakiannya terpancar apabila tanah terbiar di belakang rumah dibersihkan untuk bercucuk tanam.  Kita tidak menyangka tanah itu dikerjakan oleh Kak Neng.  Mana nak percaya, kalau tulang Kak Neng  berasal daripada tukang rusuk lelaki.  Kegigihan Kak Neng menyebabkan abah menarik nafas lega.  Abah tidak perlu risau dengan sayur-sayuran rumah.  Emak cuma petik sahaja untuk mempelbagaikan masakan sayur di rumah.  Bayangkanlah sayur kangkong, bayam, cukur manis, pucuk ubi dan lain-lain lagi bercecahkan sambal belacang dan ikan gelama masin?
          Kenapa Kak Neng menenelefon aku balik. Kak Neng sakit ke?  Umur kak Neng sudah menjangkau 70han.  Kak Neng dah bongkok tiga.  Mana tak uzur kalau masa mudanya dikorbankan untuk abah dan emak.  Aku tetap balik melihat kak Neng.  Aku dan Kak Neng adalah adik beradik.  Abah dan emakpun tidak mengajar aku adik beradik membeza-bezakan anak betul dan anak angkat. DJ Kecil-kecil Cili Padi mesti setuju semasa mengingatkan pendengar-pendengar Radio Klasik menziarahi saudara-saudara di kampung semasa kelapangan pada hari sabtu dan ahad.  Kak Neng mungkin sakit, tapi dia rindu terhadapku kerana ceritaku adalah ceritanya dan rinduku adalah rindunya juga.

ADI ADIDI
Subang Jaya
Selangor.

Lagu-lagu pilihan

A Ramlee                        -        NASIB PANJANG
Rahim Jantan                 -        TUDUNG PERIUK
Ahmad Jais                    -        SELAMAT TINGGAL BUNGAKU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan