April 28, 2013

GILA



          Aku mendengar sesuatu daripada ‘Kecil-kecil Cili Padi’.  Rasanya tak mahu turun kereta.  Pedas tapi sedap atau dengan perkataan lain ‘Pedas Sedap’.  Aku tak serik pedasnya kerana dia menghiburkan.  Sebab itu kelambatannya muncul ke udara tetapku tunggu.  Dia biasa saja di bilik konti,  Bila bercakap, aku bayangkan tangan dan kakinya terangkat-angkat. Mungkin aku yang perasaan.  ‘ Abah dah beli sarapan?  Mimi dah lapar.  Abah jangan lupa belikan Mimi roti mak Jah.  Petang boleh cecah roti dengan kopi O ‘, aku tersedar dari lamunan dan terus menutup radio klasik dalam kereta.

          Aku meminta soto dan air teh panas, sementara kakak menyiapkan makanan yang kupesan.  Sambal kicap yang dibubuh dalam soto sungguh pedas.  Aku mengipas-ngipas mulut macam terbakar.  Sambal kicap ini lebih pedas dari ‘kecil-kecil cili padi’. Nak makan ‘cili padi’ tak boleh.  Kalau boleh makan, dah lama habis aku telan.  Barulah coloteh ‘cili padi’ tinggal menggamit kenanganku sahaja.
     Sedang aku menghirup soto, seorang lelaki menadah tangan.  Matanya ke atas ke bawah macam mengadiliku masuk Pertandingan Karaoke Klasik.  Aku juga merenungnya atas bawah.  Badannya kurus. Baju kemejanya tak dikenakan butang.  Dia simpulkan hujung baju kemejanya sahaja. Dia tak berkasut dan cuma memakai seluar pendek.    Minta duit boleh.  Semalam tak makan.  Duit tak ada.  Orang tak suruh kerja ‘, katanya sambil menadah tangan.  Aku diam sahaja mendengar rintihannya.  Seorang pemuda mengeluarkan wang dari poket baju. ‘Ambil duit ini.  Pergi jauh-jauh.  Jangan kacau orang nak makan’, kata pemuda itu sambil melihat SMS dalam telefon bimbitnya.
     Kakak memberitahu aku bahawa orang itu tak siuman.  Dia selalu datang ke warungnya meminta makanan.  Dengan muka sepuluh sen, dia menadah tangan kepada orang ramai.  ‘ Semua orang dah tahu dia istimewa.  Masing-masing buat tak layan dan menghiraukan permintaannya. ‘ Dia ada anak kak? ‘, aku bertanya kakak yang sedang membasuh pinggan.  ‘ Ada.  Entahlah susah nak cakap.  Siapa yang sanggup mengakui bapanya ‘,  kata kakak yang rasa buntu dengan kedatangannya setiap hari.  Semasa itu aku merenung muka anak-anakku empat orang.  Mereka jauh di mata tetapi dekat di hati.
Setiap kali nak balik ke tempat kerja, pertanyaan yang sama keluar dari mulut mereka. ‘Abah ada duit?  Ada masalah telefon saya.  Hujung bulan nanti saya balik.  Jengah abah  dan mak selagi ada umur abah dan mak.  Duit boleh cari.           Kasih sayang abah dan mak dibawa mati’. kata anak-anakku sambil mencium pipiku yang telah tua.  Aku menguap panjang dan bersyukur kepada Allah.  Nasibku tidak terbuang jauh.  Apa kata kalau aku dihantar ke rumah orang tua?  Mungkin aku dijenguk anak-anak setahun sekali pada hari raya.  Mungkin juga aku tak dijenguk langsung.  Mungkin juga Si Tanggang moden muncul  di dunia yang semakin tua.
     Pembantu warung belum menyiapkan pesananku untuk dibawa balik.  Aku tersentak mendengar suara seorang perempuan.  ‘ Nak makan.  Nak makan.  Nak makan mee.  Nak makan soto.  Nak makan nasi lemak.  Nak makan lontong ‘, jeritnya terlolong-terlalak sambil menghisap rokok.  ‘ Kenapa macam-macam nak makan?  Mana perut nak sumbat ‘, aku berkata dalam hati.  Sekali lagi mataku ke atas dan ke bawah memerhatikan perempuan itu.  Umurnya dapatku agak dalam lengkungan lima puluhan.  Kepalanya tak bertudung dan memperlihatkan rambutnya seperti seorang lelaki.  ‘ Apa pula pembawa perempuan ini?, kataku kepada kakak warung.
     ‘ Mana mee aku?  Mana soto saya?  Mana lontong gua?  Lambat?  Biar aku bubuh dalam pinggan.  Mee mesti bubuh ikan bilis.  Soto mesti taruh sayur terung. Cepatlah.  Perut aku dah lapar ni?’, katanya entah apa-apa.  Semua mata pelanggan memerhatikannya.  ‘ Kenapa seorang pelangganpun tiada memberikan simpat.  Mungkin dia tetamu biasa agaknya.  Karenahnya sudah beberapa kali ulang tayang.  Tapi kalau filem P Ramlee diulang tayang, aku masih ketawa berdekah-dekah ‘, rungutku melihat ragam dunia.
     ‘ Dia tu pulak belum kahwin. Makan memang macam-macam nak makan.  Bukan ada duit.  Serupa sahaja macam lelaki tadi.  Tapi dia pandai bersolek.  Cuba lihat baju yang dipakai.  Berdenting gosok bajunya.  Kalah orang yang bekerja.  Dia tetap menceceh macam cerita Bujang Lapuk.  Orang memang tak kuasa melayannya.  Buat apa melayang orang yang tidak betul.  Nanti orang kata kita gila pulak.  Seorang dua dah cukuplah.  Tak terlayan kita dibuatnya ‘, sambung kakak yang mencuci pinggan mangkuk.
          Sedap pula aku mendengar cerita kakak.  Macam tak mahu balik dibuatnya macam dengar ‘cili padi’ bercoleteh tadi.  Mana orang nak dengar cerita orang istimewa.  Mereka tidak memaparkan keadaan diri mereka yang kurang siuman.  Hanya orang lain yang dapat mengukurnya siuman atau tidak.  Aku membawa bungkusan makanan sambil berjalan menuju ke kereta.  Langkahku perlahan diusik oleh manusia bertuah.  Tuah ayam boleh dilihat.  Tuah manusia siapa yang tahu?

FIFI PERINDU
UniKL
Melaka

Malang Nasibku
RAHIM JANTAN         -        Tudung Periok
P RAMLEE                    -        Sungguh Malang Nasibku
RUBIAH              -        Tudung Saji
atau R ISMAIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan