Merdeka. Merdeka. Merdeka.
Itulah laungan yang aku tunggu.
Biar laugan itu loghat Kedah tapi aku faham dan mengucapkan terima kasih
yang tidak terhingga kepada pejuang-pejuang tanahair. Aku dilahirkan empat tahun sebelum
merdeka. Tetapi aku membesar dan terus tua dalam Negara yang telah mencapai
kemerdekaan. Bahan-bahan coretan ini aku
punggut daripada kakak-kakakku yang telah hidup 7 – 13 tahun sebelum
merdeka. Mereka yang dilahirkan pada
tahun 1957 ke atas samar-samar tentang kemerdekaan. Nak tahu erti kemerdekaan, mereka terpaksa
bertanya orang-orang lama dan membaca buku tentang kemerdekaan negara.
Tarikh keramat 31 Ogos selalu menggamit kenanganku. Peristiwa ini seperti batu yang dicampakkan
ke air. Riaknya semakin lemah dan
mungkin hilang kerana ketenangan dan kedamaian dirasakan. Abah cukup marah bila kakak-kakakku tidak
mengibarkan Jalur Gemilang di rumah.
Fikirkanlah nak cari buluh galah, nak gali lubang, nak ikat bendera itu
bukan kerja anak perempuan. Tapi abah
tak kira besar atau kecil dan lelaki atau perempuan. Tiap-tiap orang mesti menghayati kemerdekaan
yang bukan didapati seperti barang percuma.
Coretanku ini berkisar kepada coretan kemerdekaan orang
kampung yang terletak 8 batu dari bandar.
Nasib orang kampung ditentukan oleh pemimpin. Hitam kata pemimpin maka hitamlah kata orang
kampung. Orang kampung memang sokong penuh parti pemerintah. Kebanyakan mereka
bekerka sendiri dan tidak bersekolah.
Mereka tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Pendedahan buku-buku, majalah-majalah, radio,
tv dan internet jauh sekali. Kalau rumah
orang ada radio maka sudah dikirakan baik danmewahlah.
Ketika menyambut hari kemerdekaan, aku berumur empat tahun.
Semua kedai ditutup kerana menyambut merdeka.
Orang-orang yang ketagih kopi dan teh, duduk di rumah saja atau ke bandar
berhampiran melihat sambutan kemerdekaan. Setiap kedai mengibarkan Bendera
Tanah Melayu sebagai tanda kesyukuran, mengikut budaya kaum masing-masing. Tak
cukup dengan itu, mereka menghiasai kedai dengan bendera-bendera kertas setiap
negeri. Beginikah ibu bapaku mengisi
erti kemerdekaan? Kalau terputus barang
dapur maka makan lauk kurang garamlah atau respi makanan tak sempurna?
Tapi abah dan mak tak pernah merintih kemiskinan
hidup. Mereka telah lali dengan kemiskinan
yang telah menjadi busung dalam jiwa. Kekayaan boleh dicari kalau perkataan
usaha tidak mati dalam jiwa. Tapi
kemerdekaan Negara tidak boleh didapati kalau darah dan nyawa manusia tidak
tumpah dan melayang. Sebab itu mereka mesti merayakan hari kemerdekaan. Tak merdekalah maka mereka tak pandai membaca
dan menulis. Tak merdekalah maka kami
makan nasi campur ubi sagat.
Lantaran itulah kami diheret oleh mereka ke bandar
menyaksikan hari kemerdekaan pada sebelah malam. Persiapan mak macam orang hendak berkelah. Kami bawa ketupat, serunding dan air sejuk
sahaja. Kami semua mendongak ke langit
meraba-raba bintang di langit yang berkelip-kelipan. Secepat kilat bunga api berdentum dengan kuat
dan menjuraikan bunga-bunga api yang beranika rupa. Dentuman bunga api yang amat kuat itu menyebabkan
aku menutup telinga dan terpekik menangis. Emak menutup aku dengan kain batik dalam
ribaannya.
Lepas itu abah mengheret kami ke pentas-pentas hiburan pula. Aku dapati padang telah bertukar sebagai
lautan manusia. Aku masih ingat pada
masa itu cuma ada tiga pentas sahaja yang dihiburkan oleh anak muda,
budak-budak sekolah dan wakil setiap mukim atau daerah. Pada masa itu mislah soro penyanyi-penyanyi
dan pelawak-pelawak nak cari makan macam zaman sekarang. Oleh kerana tiada konsert macam zaman
sekarang, maka sedap tak sedap orang ramai terima saja tanpa banyak cerita.
Kami diseret abah lagi ke tepi jalan untuk melihat
perarakan kereta berhias. Kereta berhias
pada masa dulu tak banyak macam zaman sekarang.
Cuma ada sepuluh sahaja bagi setiap mukim. Orang ramai ketika itu bermain gelombang. Sekejap kami ke depan dan sekejap kami ke
belakang macam nak tumbang. Abah
mengangkat aku diletakkan di bahunya. Kakak-kakakku terlenting-lenting dalam
lautan manusia. Kereta berhias jalan
perlahan yang jaraknya 10 depa antara satu sama lain. Tiba giliran kereta berhias mukimku
perlahan-lahan di depan kami. Di atasnya
ada sepasang pengantin sedang dikipas oleh inang-inang. Abah mendukung aku pula kerana sudah
penat. Dia memberitahu aku bahawa yang
menjadi pengantin itu ialah sepupuku, iaitu abang Seran. Aku bertanya dalam
diri. Adakah abang Seran berkesudahan
rumahtangga dengan perempuan di sebelahnya?
Apa yang berlaku telah berlalu 55 tahun yang lalu. Aku sekarang bukan lagi di bahu abah. Aku sekarang adalah penunggu setiap detik 31
Ogos. Yang lama telah berlalu dengan
gamitan kenangan. Aku menunggu 31 Ogos
2012 dengan lenangan air mata.
ADI ADIDI
Subang Jaya
Selangor
AHMAD DAUD - Nusa
Jaya
AHMAD JAIS - Pulau
Cinta
R ISMAIL - Seri
Mersing
Tiada ulasan:
Catat Ulasan