Dah capai usia 70han tahun tentu kisah-kisah lama menggamit
kenangan. Diri ini terasa kesunyian bila
hari raya merangkak perlahan-lahan ketibaannya.
Aku hanya bertemankan Radio Klasik Nasional sahaja sejak zaman
berzaman. Coretan ini sebagai buah tanganku
kepada Penerbit, Penyampai Coretan dan Sahabat Klasik Nasional.
Coretanku ini berpaksikan cerita zaman kanak-kanak semasa
memasuki kumpulan marhaban. Baju Melayu
baru campur baju-baju Melayu lama adalah lima pasang. Cukuplah dipakai selama lima hari
marhaban. Kalau tak cukup, emak akan
basuh untuk dipakai semula. Perkataan
jemu tidak ada benak fikiran kami.
Jesteru itu kami mengadakan marhaban sebelah siang dan malam.
Marhabanlah aktiviti kami pada hari raya. Kalau marhaban belum dijalankan lagi, aku
hanya menyeberangi sungai dengan feri sebagai sebagai tanda kepuasan berpuasa
sebulan ramadhan. Itulah rutin aku
setiap tahun sebagai budak kampung.
Manalah ada hiburan lain di kampung ketika itu? Rumah-rumah yang dekat,
kami pergi pada waktu malam. Rumah-rumah
yang jauh pula kami serang pada waktu siang.
Selama lima hari terpekik terlolong marhaban, suara pula
dah macam penyanyi rok. Emak merendam
nasi dalam gelas dan meminumnya apabila bangun tidur setiap pagi. Setiap kunjungan kami ke rumah-rumah, kami
disedekahkan wang oleh tuan rumah secara ikhlas. Habis sahaja aktiviti kami, wang yang
terkumpul itu dibahagikan kepada rakan-rakan marhaban. Duit itu disimpan dalam tabung buluh.
Memang tersenyum sendiri bila mengingat cerita
marhaban. Ada kawan-kawan yang
menumpahkan air sirap. Adakalanya kami
menghabiskan kuih semeja. Ada juga
penghunai rumah yang masakkan nasi, ikan goreng masin dan sayur suhun kerana
dah masa makan tengah hari. Perut kami siang malam makan kuih raya. Kuih dulu sedap tak macam kuih beli
sekarang. Jarang kawan-kawanku menolak
apabila dijemput makan. Kadang-kadang
kami tak boleh buka mulut, Takut sagun yang ada mulut terhambur keluar.
Sehingga kini kunjungan kami ke rumah Mak Limah masih segar
dalam ingatan. Mungkin Mak Limah belum
kahwin. Rumahnya kemas dan ceria
menyambut raya. Atuk-atuk lelaki dan
perempuan mungkin ibu bapa Mak Limah. Masa kami di rumah Mak Lima agak lama
sedikit daripada masa kebiasaan.
Atuk-atuk pula suka mengusik kami.
Manakala Mak Limah pula suka kami berada di rumahnya lama-lama. M ak
Limah juga suka melayan kami sebagai anak-anak.
Mungkin Mak Limah dah hafal nama-nama kami sejak dulu lagi. Mungkin juga Mak Limah hendak menumpang kasih
kepada kami semasa bulan raya.
Tumpuanku berkhayal tentang Mak Limah dalam bulan puasa
menyebabkan aku terbayangkan wajah Mak Limah yang telah lama meninggal dunia.
Kuperhatikan Mak Limah cukup kreatif menyusun kuih-muih. Di tengah meja
ada ibu kuih yang terdiri agar-agar bentuk masid berwarna hijau. Lepas itu kuih-kuih lain yang merupakan air
tangan Mak Limah sendiri diatur bebaris
dalam piring. Kuih-kuih tersebut terdiri
bangkit santan, bangkit kacang, bangkit gulung, dodol, rempeyak, ketumpi, wajib
gula pasir, bahulu cermai, bahulu gulung dan gula-gula untuk menambat hati
kami.
Rumah Mak Limah memang istimewa daripada rumah-rumah
lain. Di rumahnya sarat dengan dua jenis
hidangan ala orang kampung. Mak Limah
juga menyediakan bermacam-macam halwa buah-buahan. Antara kami yang suka manis-manisan boleh
mengadap halwa sampai balik. Kebolehan
Mak Limah tentu tidak dapat dikalahkan orang zaman ini. Halwa-halwa yang terhidang di atas meja ialah
buah betik, nanas, rambai, asam gelugur, rambutan kampung, limau kasturi, limau
bali, durian belanda dan lain-lain. Aku
melihat keunikan halwa betik yang dihidangkan.
Mak Limah mengayam buah betik yang dijadikan halwa dengan berbagai-bagai
bentuk yang menarik.
Sesungguhnya Mak Limah sudah tiada, tetapi namanya masih
bermain di bibir kami setiap menjelang raya. Walaupun umur kami sekarang telah dimamah tua, tapi jasa Mak
Limah kepada kami dapat kuibaratkan secalit budi segunung intan. Manakah Mak Limah mendapat wang sepuluh ringgit
memberi kumpulan kami semasa bertandang ke rumahnya mengadakan marhaban? Mungkin itulah jariahnya dalam bulan raya yang
memungkinkan kuburnya mewangi setanggi kasturi sehingga hari ini. Semoga roh Mak Limah ditempatkan bersama-sama
orang yang soleha. Amin.
RAHMAT SAYU
Tanjung Balai
Sumatera
Beng Slamet - Lenggang Mak Limah
S M Salim - Pasir
Roboh
R Ismail - Embun
Menitik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan