April 28, 2013

MENGANDUNG



          Coretan ini berdasarkan perbualan aku dengan Along. Segala perbualan aku titipkan dalam diari kecil dan kujana menjadi coretan untu dikongsi bersama.  ‘ Barang-barang yang abah kirimkan telah terima. Terima kasih abah dan emak.  Segala-galanya dimakan dengan sudu sebab hancur jadi sagun.  Tapi rasanya sedap.  Tak jumpa bah di negara orang.  Along nak beri hadiah abah sempena pesaraan abah.  Nak kirim tak boleh.  Nak cakap, kelu lidah nak berkata.  Nanti Along cakap pada lain masa ‘.

          ‘ Doktor mengesahkan Along mengandung.  Abah dan mak akan bergelar datuk ‘.  Aku menyambut perkhabaran Along dengan lafaz Allhamdulilah.  Bukankah itu bisikan kami di depan kaabah semasa kami mengerjakan umrah.  Aku dan isteri berdoa dengan linangan air mata.  Kami tahu bahawa rumahtangga Along mesti kebal.  Rumahtangga Along mesti bertahan lama sampai mati.  Benang halus yang mengikat rumahtangga Along adalah anak.  Anak yang comel.  Anak yang sihat.  Anak yang pandai.  Anak yang taat kepada Allah dan ibu bapa.
          ‘ Aku jadi datuk.    Ibu jadi…..,. ‘, isteriku mengejutkanku dengan memegang bahuku.   Siapa dapat datuk?  Ibu jadi apa? ‘, Tanya isteriku semasa menyapu lantai rumah.  ‘ Along dah mengandung.  Along nak jadi ibu.  Along nak dapat anak. Lelaki ke atau perempuan ke, kita mesti terima.  Kita mesti ucapkan Alhamdulilah.  Kita mesti hebahkan kepada saudara-mara.  Kalau ada duit, kita buat kenduri kesyukuran ‘.
            Mula-mula Along rasa sakit perut.  Suami bawa pergi klinik kerana tak nak jadi apa-apa di rantau orang.  Doktor memanggil Along dan suami masuk.  Dia memberitahu bahawa Along mengandung.  Along dan suami dah cuba lupakan perkataan mengandung setelah kami gagal dikurniakan cahayamata..  Rupa-rupa Allah Maha Pengasih kepada hambanya.  Ingat tak semasa abah mengerjakan umrah dulu.  Allah berfirman, ‘ Berdoalah kepadaKu.  Lambat atau cepat Kutunaikan doa atau permintaanmu ‘.
          ‘ Sakit bah orang perempuan mula mengandung.  Nak tidur tak boleh tidur.  Kanan salah. Kiri salah. Telentang salah. Meniarap salah.  Berkali-kali suami terjaga akibat dengan karenah Along.  Tekak dah mula loya dan muntah-muntah.  Kopi tak boleh.  Ikan tak boleh.  Daging terus keluar dari mulut.  Sebab itulah berat badan Along dah mula susut kerana tak boleh makan. 
          ‘ Satu pengalaman yang Along tak boleh lupakan bila kandungan Along mula bergerak.  Tiba-tiba Along menangis teresak-esak.  Suami naik panik kalau-kalau Along sakit.  Itulah titik tolak Along daripada seorang anak dara menjadi seorang ibu.  Nikmatnya bah.  Selama ini belum lagi Along merasakan kenikmatan yang diberikan Allah.  Kalau tak percaya, tanya ibu atau seorang perempuan yang mengandung. 
          Sedang aku membelek-belek facebook, komputer berkelip-kelip.   Along menghubungi kami.  Along tergelak ketawa keriangan.    Along dah tak muntah.  Along dah mula makan macam-macam.  Orang mengandung tersampuk penyakit mengidam.  Sebab itulah Along minta kuih tat dan kerepak keledek ungu dulu.  
          Tiba-tiba Along melontarkan perasaannya kepadaku.  ‘ Nak dapat anak susah bah.  Kena berdoa dan menunggu kurniaan Allah dengan berbagai-bagai dugaan.  Bila mengandung sakit bah.  Hidup serba salah.  Nak bersalin lagi susah bah agaknya.  Fikiran sentiasa memikirkan hidup mati, senang dan susah  masa bersalin.  Itulah bah, kebanyakan perempuan yang menunggu hari bersalin murung  seorang diri.  Masa itulah gambaran wajah suami berada  di depan mata.  Dialah orang yang sangat diharapkan oleh seorang perempuan bergelar isteri ‘.  Aku terkebil-kebil saja mendengar rintihan Along.  Berilah  peluang dia meluahkan perasaannya.  Aku tahu dia  telah lama menunggu kehadiran seorang tetamu baru.


AYAH ALONG
Bangi
Selangor

Lagu Iringan

AZIZ JAAFAR dan HASHIMAH  YON
Gurindam Ibu
HABIBAH YAACOB
Madah Ibu
RAFEAH BUANG
Mustika Hatiku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan