Air mata seorang ibu. Mengalir lesu pada kedutan pipinya. Malam, bukan untuknya menutup pintu
mata. Siang dan malam, asyik bermimpi
tentang kesejahteraan anaknya di dalam buaian.
Kadang-kadang, ia tertidur di bawah buaian kain. Fikirannya masih tidak luput mendendangkan
lagu-lagu klasik seorang ibu, walaupun matanya terpejam seketika. Dia bergegas bangun bila terasa air menitis
dari buaian yang sudah terhenti lama.
Ibu dulu jauh melangit
bezanya. Klinik dan hospital tak tahu di
mana, bila anaknya dirundung sakit. Tak
pernah ibuku menyuap ubat klinik atau hospital.
Ibu hanya membeli ubat-ubat biasa di kedai runcit. Cara orang dulu memberi makan ubat kepada
anak-anaknya memang menakutkan. Aku
dipegang tangan dan kaki oleh kakak-kakakku.
Ibu membuka mulutku luas-luas memasukkan pil atau ubat cecair ke dalam
mulut. Lepas itu dia menangkupkan
mulutku. Aku terpaksa menelannya supaya
tidak merasakan kepahitan yang berpanjangan.
Kepahitan yang kurasakan menyebabkan ibu terpaksa memberikan aku gula pasir
atau gula batu. Ibu bukan menyeksaku
tapi nak anaknya cepat sembuh.
Sehingga kini aku masih terasa
kelembutan jari jemari ibu menjaramkan aku semasa sakit. Ibu memetik daun-dauh sirih dan
mencebiskannya kecil-kecil dalam mangkuk. Air yang dimasukkan dalam mangkuk
diembunkan di laman rumah. Ibu mengejutkan
aku tidur jam dua pagi dan selepas sembayang subuh. Aku baring di pangkuan riba ibu. Dia menjaramkan dengan air tadi membuatkan
mataku terkejam. Aku merasakan sejuknya
tangan ibu walaupun badanku panas.
Ibu memang pandai membaca
diriku. Kalau aku terbaring sahaja, dia
cepat merasa badanku. ‘ Tekak kau tak sedap
ke? Nanti ibu masakan bubur. Kau jangan ke mana-mana. Ibu pergi sekejap kedai Pak Ali, cari keledek
kuning ‘, kata ibu sambil memicit-micit kepalaku. Setelah balik, ibu memasak bubur dengan
mencampurkan beberapa buku keledek kuning dengan secubit garam. Bubur masih terhidang bertutup tudung
saji. Ibu termenung melihat aku tidak
menjamah bubur. Dia membawa bubur di
sebelahku.
‘ Ibu suap ye. Nanti badankau akan cepat pulih. Macam mana nak bertenaga kalau tak makan ‘
pujuk ibuku. Aku mengangakan mulut,
walaupun tekakku berasa pahit. Tak sedar
bubur semanggkuk habisku makan. Aku
termenung mengingatkan bubur dan keledek.
‘ Bubur dan keledek tak sedap ibu.
Bubur dan kelidek makanan orang miskin macam kita. Yang sedap air tangan ibu. Aku dapat merasakan kemesraan ibuku. Air matanya meleleh semasa dia menyuapkan aku
bubur. Dia faham anaknya tidak akan mati
kalau seleranya masih ada. Biar dia
penat ke kedai yang jauh. Biar dia penat
menanak bubur. Anaknya masih meliur nak
makan. Biarlah anaknya memanjangkan
zuriat bapanya.
Selalunya ibuku sengaja cari
susah. Dia membongkar dalam almari dan
ketumbu jahitannya mencari perca-perca kain.
‘ Perca kain dah cukup. Dapat dua
pasang kemeja adik engkau. Mak nak
tenguk dia pakai kemeja batik. Takkan
lelaki seorang tak bolek mak gayakan ‘, kata ibu kepada kakak-kakakku. Mak memang pandai menjahit. Semua baju-baju dipotong dan dijahitnya
sendiri. Tak mampu upah kedai. Tak mampu nak beli. Mana kedai dulu ada kedai jahit baju? Aku pakai baju emak buat. Depan kain lain. Belakang kain lain. Lengan baju kain lain. Bukannya batik tapi perca-perca kain yang ada
lebih baju ibu dan kakak. Aku terima
saja ketentuan Ilahi. Ini agaknya corak
Nusantara yang dikatakan hari ini.
Sungguh pandai ibuku mendahului zaman.
Aku
masih lagi tercegat di atas pusara ibu.
Kedua-dua tanganku meraup muka perlahan-lahan. Sebelum beredar anakku menyapu daun-daun
kering yang bertaburan. Begitulah erti
hidup. Sampai masa daun-daun hijau akan
kering dan layu. Ianya pasti gugur
dipijak orang. Jarangku perhatikan dauh-daun kering akan melekat di dahan pokok
sampai bila-bila. Aku menyapu-yapu tulisan pada nisan. Allahyarhamah Tom Binti Omar. Kembali Ke Rahmatullah pada 18.09.1998. Aku
terangguk-angguk macam orang mengerti. Sambil melangkah balik, aku berdoa agar
daun-daun yang merimbun akan menjadi tempat berteduh seketika, semasa kita meneruskan
perjalanan yang pasti noktahnya. Sekali
lagi aku meraup muka. Amin.*
666 perkataan
SESEJUK EMBUN (AZMAN BIN JAFFAR)
JOHOR BAHRU
Semua lagu sengaja dipilih berentak keroncong:-
Rafeah Buang - Mustika Hatiku
Sundari Soekotjo - Kau Selalu di Hatiku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan