April 28, 2013

KUBUR



            Abah menggoyang aku dari tidur untuk menemaninya.  Aku basuh muka dengan tak mandi pagi.  Undang-undang abah tidak tercatat dalam rumah.  Undang-undang disebut orang zaman sekarang sebagai norma sahaja.  Aku menyebutnya pada hari ini sebagai norma orang kampung.  Orang kampung pada masa itu tak payah ambil cuti pada hari Jumaat.  Orang lelaki tidak payah bekerja pada hari Jumaat.  Orang lelaki pada masa itu bertemankan pokok puding dan kemboja sementara menunggu giliran.

            Basikal jaguar tua abah menghala keluar.  Abah mengikat tajak di palang basikal jantan sementara menunggu aku siap.  Aku memerhatikan abah yang sudah tua.  Ketuaannya terpancar bila abah mengenakan songkok hitam yang sudah kekuningan.  Emak menghulurkan bunga rampai yang dibungkus dengan kertas belanja kedai.  Abah mendesak aku cepat.  Perjalanan kami kira-kira 5 KM menaiki basikal.  Aku memeluk pinggang abah meneruskan perjalanan.
            Dalam keheningan pagi yang berkabus kami mula memanjat bukit.  Abah memberi salam sebelum meredah bukit.  Aku terpinga-pinga dengan perbuatan abah.  Aku lihat orang kampung sekelumpuk-sekelumpuk pada satu tempat.  Mereka memakai songkok dan bertudung litup.  Mulutnya komat-kamit membaca sebuah buku yang dalam keadaan terbuka.  Aku tertumpu kepada beberapa kumpulan manusia yang menabur bunga dan menyiram air. 
            Abah menyuruh aku berjalan cepat dan berhati-hati dengan batu yang dicacakkan oleh waris si polan.  Perjalananku ke puncak bukit ditaburi oleh batu yang tingginya sekaki dua tercacak di atas tanah.  Ada yang bertulis nama dan kebanyakannya tiada nama.  Walaupun begitu kebanyakan waris tidak sesat.  Mereka dapat menuju destinasinya macam ada orang yang menunjukkan jalan.  Abah memikul tajak sambil mengingatkan aku.  ‘ Kalau kita selalu pergi, kita tak sesat dan bertanya-tanya orang.  Kita jangan tunggu bulan nak puasa.  Apa salahnya kita pergi setiap hari Jumaat.  Kita kan tak kerja hari Jumaat ‘, kata abah menyuruh aku jalan di hadapannya.
            Dah sampai.  Aku membentang tikar pandan yang dibawa.  Abah membaca Yasin dan memanjatkan doa kepada Allah. Aku disuruh oleh abah menabur bunga dan menyiram air.  Aku dan abah mengesat peluh di lengan baju.  Abah menajak rumput dan membersihkan kawasan.  Aku menyapu dengan penyapu kontot yang abah sandarkan pada batu.  Ini atuk dan nenek.  Ini abang dan kakak Atan seramai enam orang.  Abah mengajak aku ke depan enam langkah.  Ini pak Long, mak Ngah,  pak Hitam, mak Cik dan saudara-mara yang lain.   Aku menganggokkan kepala sahaja kerana orang-orang yang abah perkenalkan tidak pernah aku bersua.  Abah menyuruh aku menabur bunga rampai yang kami sengaja tidak habiskan.  Selepas itu abah menyiram air yang berbau air mawar.
            Aku percaya bahawa aku telah mendapat latihan yang cukup daripada abah.  Masalah sesat atau tak berjumpa tidak pernah terfikir dalam benakku.  Tidak ada botol-botol atau batu-batu yang terbenam atau tercabut dari tanah menyebabkan aku mati langkah.  Pokok-pokok puding dan kemboja yang semakin tinggi menggamit kenangan bersama.  Rupa-rupanya takdir menentukan segala-galanya.  Aku tercampak beberapa buah negeri  yang menghalang aku ke sana.  Kiralah dengan sendiri kalau aku telah merantau ke negari orang sehingga aku menjadi pesara wajib.  Keadaan dulu telah berubah dan diriku juga yang telah terketar-ketar mendaki bukit.  Adakah bukit itu sudah tiada penghuninya lagi setelah aku menjadi perantauan?
            Aku cuma mengingatkan sahabat klasik.  Hari ini kita tergolong sebagai pelawat.  Esok, lusa dan hari-hari yang menanti adakah kita mmainkan peranan yang sama.  Jawapannya tunggu dan lihat.  Macam mana kalau kita dilawati sanak-saudara atau tidak dihiraukan sanak-saudara?  Persoalan yang sedih itu tiada jawapan yang dapat diberikan kalau jasad kita sudah kaku membisu dimamah bumi.
 
FIFI PERINDU
MKM Petaling Jaya

A Rahman                 -           BULAN MEMBERI SALAM
Dlloyd                        -           KEAGUNGAN TUHAN
Ahmad Jais               -           PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan