April 28, 2013

KELUARGAKU



Peristiwa ini kusimpan dalam muzium hati menjadi sejarah.  Kiralah sendiri kalau ibu dan bapaku meninggal dunia ketika umur mereka hampir sembilan puluh tahun.  Mereka meninggal dunia semasa anak keduaku dilahirkan.  Kini umur anakku sudah mencecah umur 24 tahun.  Setelah campur tolak, peristiwa ini telah berlaku 100 tahu yang lalu.  Kisah sejarah keluarga ini akan diturunkan daripada satu keturunan kepada satu keturunan.

Ayah tentu bangga sebagai lelaki kerana mereka dikurniakan anak-anak seramai 11 orang.  Ayah tak payah berpoligami sekiranya dia berkebolehan  melahirkan ramai zuriat.  Itulah bahana memakan telur ayam kampung, madu lebah,  ulam-ulam dan makjun kampung setiap hari. Abah tanya mak bila hendak menamakan anak-anak mereka yang baru lahir.  Mereka sepakat menamakan, Hassan, Hussein, Robiah, Jamilah, Asiah dan Insah sahaja.
Tapi ayah dan emak tidak mahu membuka lipatan sejarah.  Mungkin dia menangis dan bersedih.   Tutup cerita.  Disebut jangan dikenang jangan.  Emak dah  parah dengan mereka.  Hanya Jamilah sahaja yang sempat diagah-agah sehingga umurnya 3 tahun.  Yang lain pergi jua ketika berumur 1 – 3 bulan.  Ayah dan emak tampal kesedihannya dengan mengambil anak angkat.  Mak juga takut anak-anak angkatnya tak lama.  Atukku yang bela tapi segala perbelanjaan dibiayai oleh ayah. Sebab itulah kakak-kakak angkatku lebih mesra dengan atukku.
Mak jadi separuh gila.  Kematian anak-anak tidak reda setiap tahun, macam musim hujan.  Apa guna bersuami kalau tiada zuriat?  Apa guna mengandung kalau tiada anak?  ‘ Kakak tak susah.  Anak-anak dah menanti.  Mereka tunggu kakak di syurga‘, kata jiran-jiran memujuk hati mak.  Mak merenung tajam muka jiran-jiran semasa melawatnya. ‘ Entahlah. Kalau kita tak dirikan Rukun Islam dapatkah kita cium syurga? ‘, kata mak tanpa siapa yang mendengar bisikan hatinya.
Abah cuba tiap-tiap tahun.  Hatinya kental dan tidak menyerah nasib.  Ayah nak bedung bayi. Nak mandikan bayi.  Kalau boleh nak lambung anak tinggi-tinggi semasa menimangnya. Ibu boleh rehat sampai cukup hari.  Kalau lebih haripun ayah tak marah.  Biar mak berehat panjang.  Ayah tahu dia miskin.  Tapi dia bukan nak anak satu team bola sepak.  Cukuplah buat bising rumah.  Orang tak tanya berapa banyak harta.  Tapi orang tanya anak dalam rumah.
‘ Keluar mati.  Keluar mati ‘, dengus mak yang macam hilang akal semasa jiran belum balik melawatnya.  ‘ Baik kau pindah rumah.  Aku agak kampung kita ni ada hantu polong dan bajang.  Sebab itu anak-anak kau disedut darah semasa dilahirkan ‘, pujuk jiran-jiran yang lain.  ‘ Pindahhhh.  Ini rumah kami.  Kenapa orang lain tidak berlaku?  Ini rumahku.  Rumahku duniaku.  Aku takkan pindah.  Biar beranak 100 kali ‘, kata mak yang masih menaruh harapan setinggi gunung.
Mak menemani ayahku sebelum masuk tidur.  Matanya merenung ayahku macam hendak berkata sesuatu.  ‘ Saya mengandung lagi bang.  Ini anak yang ketujuh.  Rezeki yang Tuhan beri mesti kita terima.  Tapiiii bang,  macam mana kalau bayi ini menjejaki abang-abang dan kakak-kakaknya?  Saya takut bang. Bukankah kita akan hampa lagi?  Bukankah rumah kita sunyi lagi?  Saya takut nak bela.  Saya takut nak kelek.  Macam mana kalau kita beri orang sahaja?  Bukan orang jauh.  Atuknya atau makciknya yang tiada anak ‘, pujuk mak dengan air mata.
Atuk perempuanku terpaksa meletakkan bayi perempuan yang baru lahir di pohon pisang.  Atuk lelakiku pula seolah-olah menjumpai bayi tersebut.  Bayi tersebut dibela oleh atukku hingga besar.  Abah dan mak sedikitpun tidak mengindahkan bayi tersebut.  Mereka takut bayi tersebut akan meninggal dunia.  Bayi tersebut rupa-rupanya mengajar ayah dan emak tentang hidup.  Hidup kita ditentukan oleh Tuhan.  Manusia merancang sahaja tapi Tuhan yang menentukannya.
Dialah kakakku.  Kakak yang diletakkan di bawah pohon pisang.  Kakak yang seolah-olah dibuang oleh ayah dan ibuku dijumpainya oleh atuk lelakiku di bawah pohon pisang,  Kakakku yang panjangkan umur, rupa-rupa meminta tukar ganti.  Kedua-dua atukku telah pergi buat selama-lamanya setelah kakakku berumur 3 tahun.  Memang betul, seorang sahaja tidak dapat menyerikan rumah ayah dan emak.  Selang setiap 3 tahun, lahirlah angah, uda, aku dan busu.  Akulah anak yang ditatang bagai minyak yang penuh.  Ayah dan mak bersyukur dan bergembira kerana mendapat pengalaman baru menjaga bayi lelaki.
Kini umur kami lebih daripada 50 tahun.  Tiap-tiap orang adik-beradik mewah dengan anak-anak.  Di sini dapatku simpulkan bahawa sikap ibu bapa tak mungkin diwarisi anak-anak 100 peratus, walaupun peribahasa Melayu mengaitkan kuah dan nasi.  ‘ Berdoalah padaKu.  Lambat atau cepat, Aku akan tunaikan doamu ‘. Satu doa yang masihku ingati semasa mengerjakan saii.  Tiba-tiba ayah dan mak muncul mengukirkan senyuman bila kami adik-beradik berkumpul di rumah mereka dulu.  Aku merenung adik-beradikku yang tidak menemui kedatangan mereka.

DARAH PEWIRA
MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
S NOOH                                  -        BINTANG MALAM
SHAMSUDDIN LAMIN         -        MALAM KENANGAN
KAMARIAH NOOR               -        MENDUNG MALAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan