Jumaat dan Sabtu memang kami tunggu.
Terasa rindu tidak terkira, walaupun kerinduan masih berputik. Tempat jatuh lagi terkenang, inikan pula hamparan
laut luas terbentang. Dialah tempatku
mengadu keperitan hidup. Orang lain tak
faham kehidupanku. Kadangkala aku melaung
sekuat hati supaya mereka tahu. Mereka bukan tak faham, tapi nasib merekapun
serupa dengan nasibku. Aku tak pernah
ikut kata hati. Kalau diikutkan sudah
lama aku mati zaman kanak-kanak lagi.
Tapi segala tindak-tandukku disalahertikan oleh keluarga. Aku masih budak sekolah. Bukannya meminta simpati kepada laut. Kadang-kadang laut boleh menelanku
hidup-hidup bila simpatinya telah muak.
Kami ke tengah laut sebagai
nelayan muda. Kelulusan tinggi tidak
perlu. Cukup tamat darjah enam atau
menduduki tingkatan tiga. Aku, Harun,
Nor dan Din memerjah laut pukul lima pagi.
Ketika itu air pasang pagi menyambut kedatangan kami dengan tarian ombak
menghempas ke pantai. Nor dan Din tidak segan-silu, kalau aku
menganugerahkan mereka nelayan muda.
Kemahiran lautan lebih cekap daripada ilmu mereka setakat darjah
enam. Sekurang-kurangnya mereka telah
tiga tahun bermandi air laut daripada aku dan Harun. Aku
menangkup air laut dalam kegelapan pagi.
Airnya agak masih dan dihangatkan oleh perut bumi. Kecemaran alam masih belum berlaku lagi
dengan minyak bot nelayan-nelayan.
Semasa menuju ke tengah
laut, kilat-kilat nakal dari langit memancar-mancar sekali dua. Kami bertukar-tukar mengayuh perahu setelah
Nor dan Din terasa penat. Kerja mengayuh
perahu, bukan calang-calang penatnya. ‘
Otot-otot lenganku akan bertambah besar, kalau kerja ini dilakukan setiap hari ‘, kataku membuatkan rakan-rakan
ketawa. Sampai togok kami berehat
sekejap. Perkampunganku berbalam-balam
kelihatan. Mana nak nampak kalau kami
berada kira tujuh batu di tengah laut dari jeti. Hanya bukit kampungku terseregam gagah. Bukitlah jadi pedoman nelayan-nelayan pulang
ke darat selepas menangkap ikan. Nor dan
Din melabuhkan jaring bapanya di tengah laut.
Jaring yang tidak berapa panjang itu mengambil masa beberapa minit
sahaja. Pelampung jaring yang diikat
botol pelastik kosong bergoyang-goyang memanggil ikan bermain. Ikan-ikan menjadi leka sehingga tersangkut
melanggar jaring. Alhamdulillah. Rezeki ada hari ini. Kami balik tidak tangan kosong. Jaring yang diangkat tadi dilabuhkan semula ke
tempat lain pula. Begitulah kami
berusaha di tengah-tengah laut tanpa menyerah kalah. Nasib akan berubah kalau kita rajin berusaha.
Semasa menunggu kami menarik
jaring, Nor dan Din menghempit perahunya
di togok. Kami mencuri duduk di pondok
yang memuatkan lima enam orang. Nor dan
Din terlentang kepenanatan. Kami Cuma
membawa air kosong sahaja menghilangkan kepenatan. Aku dah Harun sibuk mengenakan hambur untuk
mengail ikan. Nor meminta aku menukar
mata kail kalau nak dapatkan ikan besar.
Harun telah mencampakkan hamburnya ke tengah laut. Aku termenung sahaja dengan rasa
geli-geman. ‘ Kau geli ya dengan umpun-umpun. Macam mana nak jadi nelayan. Bawa ke mari.
Biar aku kenakan umpun-umpun.
Ikan tu pelahap dengan umpankau ‘, kata Din yang sudah biasa dengan karenah
laut. Aku menghulurkan ambur dengan muka
duit sepuluh sen.
Selepas itu, aku
membalingkan amburku ke dalam air.
Sambil itu aku bernyanyi memanggil ikan menghidu umpanku. Nor memaling mukanya kepadaku. ‘ Macam mana ikan nak makan? Ikan takut dengar suaramu. Jangan bising semasa mengail. Kalau nak menyanyi, tunggu sampai di
rumah. Kau boleh menyanyi dalam bilik
air ‘. Kata Nor disambut gelak ketawa oleh rakan-rakan. Aku dan Harun masih lagi tidak mendapat
ikan. ‘ Kempunan aku dapat ikan hari
ini. Mungkin mata ikan dah celik sekarang.
Ikan-ikan dah pakai cermin mata rabun.
Ikan-ikan di laut agaknya dah nampak mata kail pada umpan ‘, kataku
merasa kecewa. ‘ Kalau begini aku kena beli ikan di pasar bawa
balik bagi emak aku. Nanti dia tak
marahlah aku pergi laut. Sebab mulutnya
dah penuh dengan ikan sehingga tidak boleh berleter lagi ‘, sampuk Harun pula.
Minggu depannya kami ke laut
lagi. Kami degil walaupun sudah ada
tanda-tanda hari akan hujan. Ikan-ikan
tidak mahu bermain bila hari hujan.
Ikan-ikan jual mahal walaupun umpan yang enak di depannya. Lebik baik mereka mencari tempat selamat
supaya mereka tidak dihempaskan gelombang yang mengganas. Telahan aku memang tepat. Langit bertukar hitam seperti bontot
kuali. Angin mula kencang membuaikan
perahu kami terkotak-katik. Nor dan Din
menghimpit perahu kami ke togok dan menambatnya dibatang nibung. Kami berada dalam pondok togok sambil memerhatikan
suasana. Sekonyong-konyong hujan lebat
mendesah turun. Air laut bergelomgang
ditiup angin kuat yang telah bertukar ribut.
Jam sembilan pagi telah bertukar macam 6.30 petang. Masa itu aku baru teringat abah dan emak yang
menunggu aku pulang.
Dahsyatnya kejadian
Allah. Di tengah-tengah laut, air laut
berpusing-pusing dibawa ke atas oleh puting beliung. Aras air di togok semakin meninggi. Pakaian kami telah basah kuyup disimbah air
laut dan hujan. Manakah tempat kami
mengadu meminta pertolongan? Pekikan
kami tidak didengari oleh sesiapa.
Adakah nasib kami sama dengan puak nabi Noh yang ada dalam bahtera? Aku dan Harun tak pandai berenang, Adakah nasib kami sama dengan Mustafa yang mati
di laut tanpa bernisan? Sementara Nor dan Din pandai berenang. Tapi bolehkah mereka berenang sejauh tujuh
batu baru berjumpa daratan? Macam manakah
kehidupan nelayan kalau diuji oleh Allah setiap hari?
Aku terjaga daripada
lamunan. Cucuku berlari di atas jati,
menghirup udara pagi. Dia berlari-lari
kegembiraan seperti burung camar yang terbang bebas. Sambil mencangkung memeluk cucu, aku menunjuk
ke arah togok nelayan di tengah laut.
Cucuku melihatnya dalam kesamaran yang tidak terlintas dalam
fikirannya. Air mataku berkocak tenang
seperti air laut yang mula surut. Tangan
cucu mengesat air mata yang meleleh di pipiku.
Dia tidak tahu bahawa atuknya seorang pelaut semasa remajanya. Segala kenangan indahku masih ada, walaupun
air laut yang sedang surut membawanya ke
tengah laut hilang dari pandangan ramai.
Sebelum aku dan cucuku melangkah pergi, kutinggalkan sebuah senyuman
untuk nelayan-nelayan. Sesungguhnya surut
itu adalah perjalanan usiaku yang hampir tiba penghujungnya.
AZMAN BIN JAFFAR
Muar
Lagu-lagu Pilihan
SENANDONG NELAYAN - A. Ramlee
BELADA SEORANG NELAYAN TUA - Borery Marantika
GELOMBANG - R Ismail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan