April 29, 2013

SUNGAI MEKONG



          Pagi Chiangmai melamar kami berkumpul di bawah hotel menaiki bas, Kedinginannya tidak terasa kerana kehangatan Sungai Mekong sentiasa mengalir dalam minda kami untuk mengetahuinya lebih dekat.  Bas terus merangkak termengah-mengah meyusuri jalan berliku-liku menuju ke Chiangrai.  Lamunanku berkocak tenang dalam mata yang tertutup rapat ditutupi oleh daun-daun longan dan sayur-sayuran.  Pemandu pelancong mengejutku tertidur semasa bas berhenti.  Pancutan air panas menjemput kedatangan kami dengan percikan air panas setinggi dua puluh kaki.  Aku sempat merendam kaki sambil terus berkhayal kehangatan Sungai Mekong.

          Bas pelancungan meratap lagi kesakitan, membawa kami yang penuh khayalan sehingga rosak. Kami dipunggah macam barang niaga ke dalam beberapa buah van. Inilah rahmat Tuhan merasakan kami berada dalam van, setelah sekian lama memandu kereta sendiri.  Van menurunkan kami membeli-belah di pasar lambak di bandar Chiangrai.  Aku terus mabuk dengan manusia yang ramai dengan beranika bangsa sehingga tak larat meneruskan perjalanan. Semasa tercengang memerhatikan gelagat manusia, isteriku mengejutkanku bangunan imigresian – Selamat Datang ke Myamar.
          Perjalananku terhenti.  Kasutku didapati pecah dan menampakkan tapak kaki.  Aku mencari gerai yang menjual selipar Jepun.  Sedang aku mengacu selipar, seorang perempuan tiga puluhan memberi salam. Mataku terus menjilat tubuh perempuan yang bertudung lingkup.    Saya orang Islam Myamar.  Nak cari kasut. Saya tinggal di sini, setelah perkampungan kami dibakar.  Saya menjadi pelarian dengan menjual kasut untuk meneruskan hidup.  Saudara-mara kami entah di mana, semasa kami menyelamatkan nyawa.  Tiada perkataan yang dapat saya lafazkan, kecuali kematian.  Peperangan saudara mengajar kami berani dalam meneruskan sisa umur’, katanya dengan ikhlas tanpa meraih simpati.  “ Inikah kaum Roghinya?  Atau sengaja meraih simpati supaya aku membeli kasutnya?, kataku dalam hati.
          Van meneruskan perjalanan lagi.  Kami tercampak di tebing Sungai Mekong. Aku berkesempatan menyusur Sungai Mekong dalam usia yang lanjut.  Airnya sempat berbisik kepadaku tentang sejarah perang.  Aku meraup mukaku dengan airnya yang tenang dan sejuk.  Sememangnya hati ini telah gersang dengan keyakinan diri.  Senapang dan bom telah bertukar sebagai barang permainan untuk mendewasakan jiwa manusia yang gelojoh menyabut nyawa manusia yang tidak berdosa.  Aku mencelupkan tangan ke air semasa bot menitiskan kenangan seperti embun jatuh ke daun.  Kenapa airnya tidak merah membusakan darah?  Kenapa mayat-mayat tidak terapung busuk dikerumuni oleh ulat-ulat? Aku merenung tajam ke dasar Sungai Mekong.  Wajahnya ada tapi hanya bayang-bayangku sahaja.
          Aku masih lagi berdiri keseorangan mencari rindu yang hilang.  Sejak dari Malaysia, mimpiku tak sudah-sudah di dalam penerbangan.  Aku terus menyapu mukaku dengan air Sungai Mekong. Keruh dan keladaknya menjadi ilusi cinta saudaraku yang telah bermandikan keringat dan darah.  Pemergianku di sini sengaja menunggukan matahari terbenam  membisikan kata-kata Latif Muhidin. Biarkanlah aku bermimpi walaupun hanya sesaat sahaja. Semasa aku berada di alam yang tiada lagi kabus dan pagar, matahari merah terjunam jatuh ke sungai. Aku terus leka dengan mimpi kerana acaman dan pelarian tiada datang mengejutkanku daripada mimpi.
          Aku membaca lagi tulisan Latif Muhidin yang kubawa bersama.  ‘ Malam ini ribut dari Utara akan tiba memecahkan tebing Sungai Mekong.  Air sungainya merah.  Mungkin Sungai Mekong mengalirkan darah manusia ‘.  Aku menadah air di tapak tangan semasa bot membelah sungai.  Sekali lagi aku menyapu mukaku.  Mimpiku dikejutkan lagi pemandu pelancong.  Ke manakah aku akan pergi semasa botku berhenti seketika di Segi Tiga Emas.  Bukankah pemergian aku ke sini hanya mencari damai di hati?  Kekayaan sudah kutinggalkan bertalak tiga.  Ke kiri aku terhumban ke Myamar.  Ke kanan aku menjelajah ke Thailand.  Ke utara aku sampai ke Laos.  Aku hanya pendatang yang mencari damai di hati. 
          Aku meminta maaf kepada sahabat sejak di Ckengrai lagi. Pemergianku tidak membawa balik buah tangan seperti biasa.  Aku hanya membawa balik kepingan-kepingan hati saudaraku yang luka.  Mahukah kenalan-kenalanku menerima kepingan-kepingan hati yang luka ini? Mereka mungkin mencampakkannya ke tanah sahaja kerana peperangan telah reda.  Peperangan belum reda sahabatku?  Peperangan telah mengosongkan hati manusia bernadi keinsanan.  Dengar-dengarkanlah berita di sana-sini.  Manusia ingin menegakkan kerasionalan diri dan sanggup berperang antara satu etnik dengan etnik yang lain.
          Aku terangguk-angguk cuba memahami hati manusia.  Ketika itu, tersergam besar kasino-kasino di tebing kiri dan kanan Sungai Mekong.   Adakah ianya sebagai tudung saji yang kulihat terapung-apung di dada Sungai Mekong yang pernah tercalar-balar?  Bolehkah ianya menutup cebisan-cebisan hati manusia yang pernah luka dan membusa parah?  Bagiku ianya tak ubah seperti kelambu baru yang melenakan manusia tidur menggamit kembali peristiwa berdarah,  Manusia mabuk mencari keuntungan dengan modal yang sedikit.  Kemungkinan juga manusia ingin merayakan satu kemenangan yang tidak pernah dimimpikan.
          Bot yang kunaiki menurunkan seorang demi seorang. Kami diberi masa sejam untuk membeli-belah di pekan yang mejadi sepadan Thailand dengan Laos.  Aku memegang kamera dengan menoleh ke sana sini.  ‘ Marilah berbelanja.  Takkan nak bawa duit pulang ke Malaysia.  Nanti kena datang lagi.  Jom tenguk barang kulit dan baju-baju murah ‘, pelawa rakan-rakanku.    Terima kasih.  Aku nak cari anak dara Laos.  Bawa balik ke Malaysia.  Kalau-kalau dapatku ambil hatinya ‘, kataku dengan berseluruh.  Rakan-rakan menggeleng kepala bila aku mengemukan soal anak dara dan hati.  Mungkin fikirannya terpesung jauh.
          Semua mata berkumpul di tengah lapang.  Seorang ibu tercatok di samping anak-anaknya sambil menadah tangan,  Wajah mereka berbalam-balam ditutup oleh sang matahari yang mula hendak beradu.  Mataku masih jelas melihat insan dalam kekaburan yang pilu dibalut luka.  Si kecil yang berusia enam bulan tiada selilit benang di tubuhnya.  Si kakak yang berusia tiga tahun menyorok muka di belakang ibunya.  Si abang pula bergilir-gilir dengan ibunya memangku si kecil.  Mata mereka terkulir-kulir menunggu pemberianku.  Mereka menadah tangan dan menyembahku setelah aku menghulurkan wang.  Sebelum bergerak ke jati, aku menasihatkan mereka pulang ke rumah.  Semua pelancong sudah tiada.  Haripun sudah hampir gelap.  Esok matahari akan terbit lagi membisikkan berita baik buat mereka.  Bagi mereka matahari akan gerhana buat selama-lamanya. Mereka akan tercari-cari erti malam dan siang yang sentiasa bersilih ganti.

AZMAN BIN JAFFAR
MUAR.
JOHOR

Ahmad Ramli       - Katakan Padaku

Kopratasa   - Kekasih

Ahmad Ramli       - Menambat Rakit

Tiada ulasan:

Catat Ulasan