April 28, 2013

PANGGILAN HAJI



          Tetamu Allah baru berlepas meninggalkan tanahair. Mereka menggamit kenanganku semasa berada di bandar Madinah dan Mekah Munawarah.  Aku dan isteri dilempahkan oleh Ilahi mengerjakan ibadat haji pada tahun 2003. Selepas itu, kami sentiasa menunjungi Tanah Suci tahun-tahun berikutnya. Pemergian kami bukan dasar melancung atau berhibur hati.  Kami telah bertekad membersihkan jiwa sebagai manusia biasa.  Keadaan Bandaraya Madinah dan Mekah Munawarh memang sentiasa mengalami perubahan. Setiap dua tahun sekali, kami tetap menjenguk diri menjadi Tetamu Allah.  Tiada dapat aku ceritakan, ketenangan diri secara mutlak yang dilempahkan oleh Allah.

Aku masih teringat pesanan mutawil sebelum meninggalkan Kota Mekah semasa mengerjakan tawaf wida’.  Tanganku melambai-lambai Kaabah buat perpisahan sementara waktu,  selagi Allah memanjangkan umur. Ceritalah yang baik-baik apabila balik dari Mekah kepada tetamu yang datang menziarah.  Jangan lupa berdoalah kepada Allah supaya ibadat umrah, sembahyang, bacaan al-Quran, aqiqah, sedekah, wakaf al-Quran, dan kenduri aruah diterima oleh Allah.  Jangan takut-takutkan bakal-bakal umrah yang akan menjadi Tetamu Allah.
Perjalanan aku ke Masjid Haram semasa menunaikan Umrah agak jauh juga.  Maklumlah hotel-hotel yang mengelilingi masjid Haram dirobohkan. Kami baru satu pertiga perjalanan semasa azan kedua ke udara bergema di ruang udara.  Soal jauh atau dekat tidak tidak pernah menghalang kami ke masjid menunaikan sembahyang lima waktu.  Aku boleh mengambil pakej yang lebih dekat dan mahal sedikit.  Tapi apa kata ahli rombonganku yang lain?  Ini sahaja yang termampu oleh mereka untuk menjadi Tetamu Allah.
Sesungguhnya aku masih tidak keseorangan menuju ke masjid.  Manusia tetap bertali arus beribadah dan sembahyang waktu di masjid. Berbagai-bagai bangsa mencari keredaan Allah. Masing-masing meningalkan perniagaan mereka bila mendengar laungan azan berkumandang.  Mereka sedikitpun tidak khuatir dengan kecurian.  Ada yang membentangkan saja sejadah di kaki lima hotel dan pusat perniagaan.  Ada pula yang membentang sejadah di halaman masjid.  Ada yang masuk ke masjid mencari tempat untuk mengerjakan solat.  Mereka tahu tempat yang dikhaskan untuk lelaki dan perempuan.  Pegawai–pegawai yang bertugas  mengatakan haram atau menolak jamaah perempuan ke tempat yang telah ditentukan.
Selesai solat, jemaah masjid mengerjakan solat sunat dan tertunggu-tunggu imam memaklumkan solat jenazah.  Setiap waktu ada sahaja jenazah yang akan disebahyangkan tanpa diminta-minta dan dipujuk rayu.  Soal mati sentiasa diingat-ingatkan di kedua-dua masjid.  Hari ini kita menyembayangkan mayat dan hari esok dan seterusnya mungkin jenazah kita disembayangkan orang.  Orang ramai tahu tugas mereka mengerjakan fardu kifayah.  Aku sempat mencapai jenazah yang diusung untuk perkebumian.  Orang ramai dinasihatkan supaya membiasakan diri dengan solat mayat setiap waktu. Aku dan isteri juga sentiasa minum air zam-zam semasa masuk dan keluar masjid untuk mengimbangi air dalam badan dalam cuaca yang panas.   
Semua manusia yang memakai jubah putih dan hitam keluar dari masjid.  Tersangat susah untuk mengenal saudara-mara jika tidak berjumpa.  Agak berhimpit-himpit juga apabila kami hendak meninggalkan masjid. Semua jemaah berjumpa di hotel untuk makan tengah hari dan malam.  Selepas berehat sekejap, semua jumaah akan bergerak semula ke masjid lebih awal  supaya dapat menggelakkan orang ramai yang bertali arus dan menunaikan amalan-amalan sunat di masjid dengan pakaian biasa dan ihram. 
Aku masih teringat dengan pesanan-pesanan semasa kursus haji dan umrah.  Apa yang diterangkan oleh peceramah haji dan umrah di tanahair, kami perlakukan di Tanah Suci Mekah dan Madinah.  Di Tanah Suci memang berlakunya pertembungan budaya dan mazhab.  Sebaik-baiknya kita meneruskan mazhab yang kita amalkan.  Kita juga perlu perihatin dengan fatua-fatua terkini yang diputuskan Kerajaan Arab Saudi.  Selain daripada mengerjakan ibadat, kita juga menjadi duta kecil di Tanah Suci.  Oleh itu bersopan-santunlah menjaga disiplin diri supaya jemaah dari Malaysia antara terbaik di Tanah Suci.  Janganlah buat seperti orang lain buat kerana keinginan mencapai hasrat diri lebih cepat lagi tidak perlu menyingkirkan orang lain.
Berjurai air mataku di langit Kabaah membasahi Kota Mekah semasa mengerjakan tawaf wida’.  Aku berdoa Kota Mekah akan dikunjungi manusia tidak putus-putus.   Panjangkan umur dan murahkan rezeki kami supaya kenangan manis dan pahit di Kota Mekah dan Madinah sentiasa menggamit kenangan kami semasa musim haji tiba.  Alangkah syukurnya menjadi Tetamu Allah sebelum kita menyerahkan diri kepada Allah secara mutlak nanti.  Renungankanlah segala kenanganku ini.   Amin.

AFIDIN NOR MUHAMAD
MAKTAB MARA SEREMBAN
NEGERI SEMBILAN

S AFFENDI                           -           Panggilan Haji
RAIHAN                                -           Doa Taubat
HIJJAZ                                   -           Pelita Dinding

Tiada ulasan:

Catat Ulasan