Aku menguak-guakkan air
supaya bayanganku jelas kelihatan.
Wajahnya tak sama tapi
serupa. Mana sama kalau enam puluh tahun
dibandingkan sembilan tahun.
Bayang-bayang inilah aku menilai diriku yang sudah bertahan lebih setengah
abad. Bulan puasa memang selalu mengetuk
pintu hatiku menjelajah dunia yang semakin pudar.
Abah, emak dan
adik-beradikku mengelilingi juadah puasa sambil bersila dan bertempuh rapat. Abah tak lupa mengepalai niat berbuka dan
makan, bila kentong surau berkumandang.
Hidangan kampung taklah sesedap mana tapi kami gelojoh anak-beranak
sehingga menjilat jari.
Abah dan emak memerhatikan
kami yang terbengkel-bengkel menyuap nasi.
Inilah imbasan hadapan yang ditinggalkan abah dan emak apabila
anak-anaknya telah berkeluarga dan meninggalkan mereka di kampung. Sekarang nasi setengah pingganpun tak habis
bila berbuka puasa. Tekak tak macam
injin batu yang tidak memperdulikan apa-apa yang masuk di mulutnya.
Kenangan bulan puasa
menyergah aku lagi. Kami anak-beranak
biasa masuk ke hutan dan kebun orang mencari kayu mahang dan sabut kelapa. Kuih-kuih emak mesti dibakar dengan kayu
mahang dan sabut. Ini persediaan emak
apabila hari raya akan menjelang. Emak
tak pandai menggunakan dapur gas atau avan leterik macam zaman sekarang. Emak akan tunggu lampu hijau abah untuk
membuat kuih-muih raya. Kalau lampu
sentiasa merah daripada abah, tak berani emak menyediakan kuih raya.
Orang yang paling gelisah
menunggu raya ialah aku. Bila abah nak
beli tepung dan gula? Bila emak nak
jemur tepung dan gula? Aku mengerti
bahawa abah memang tak cukup duit. Belanja bulan puasapun kadang-kadang
terputus. Macam mana emak nak jemur
tepung dan gula? Kalau kawan-kawanku
datang marhaban, adakalanya abah beli biskut dua tiga macam sebagai
hidangan. Manakala air pula disediakan
oleh emak dengan air sirap selasih. Aku
senyum tersendirian sambil biji mata bergenang dengan air mata. Kadang-kadang terfikir juga soalan jahat.
Macam mana abah membayar zakat fitrah dalam keadaan yang genting tapi tidak
putus?
Kami adik-beradik pula
selalu memakai baju yang ada. Kami tidak
merengek-rengek kepada abah dan emak.
Kadang-kadang kami pakai baju tahun-tahun lepas. Semua baju raya dibungkus oleh emak semula untuk
dipakai semula semasa musim raya. Penampilan
diri kami memang tiada perubahan. Kami
semua memang suka hendak menyambut kedatangan syawal daripada pakaian raya. Tapi rupa-rupanya abah dan emak menyuruk
kesedihan dan tangisan daripada anak-anak.
Abah dan emak sanggup berkorban demi anak-anak yang diamanahkan oleh
Allah semasa akad nikah mereka.
Abah dan emak pula memang
suka dengan kumpulan marhaban. Tak
kiralah marhaban orang tua-tua kampungku atau mana-mana kumpulan. Hari tak meriah kalau tidak ada kumpulan
marhaban yang bertandang. Bukan kedatangan
mereka itu suatu rezeki? Kalau tak ada marhaban, ikatan orang kampung terputus.
Aku memejamkan mata untuk mengingatkan kembali kumpulan marhaban. Masuk saja rumah orang, kami akan memulakan
dengan bacaan walamma, marhaban, wamuyaang, nasid pujian dan bacaan doa.
Walaupun sudah duduk di
bandar tetapi hubunganku dengan orang kampung tidak terputus. Marhaban mereka agak ringkas kerana masalah
jauh. Bayangkanlah 7 Km dari rumahku. Aku
sering berbual dengan orang-orang kampung yang sebaya denganku semasa mereka
bertandang. Aku membenarkan kata
hatiku. Sesungguhnya jauh bukanya
rintangan manakala dekat pula bukannya halangan.
Kenanganku dalam bulan puasa
memang hampir pupus. Kami sering menunaikan solat isya dan sunat tarawih di
surau. Setiap rumah digilirkan membawa kuih sepiring dan air kopi atau teh
kosong secerek. Yang tua menjamu selera
setelah sunat tarawih selesai. Aku dan
kawan-kawan mengelilingi kentong surau yang dipukul oleh anak muda. Lagunya bukan sebarang boleh dinyanyikan. Lagu kampungku agak glamur sedikit. Tentu kawan-kawan sebayaku senyum
sendiri. Tajuk lagunya... Pak Talib cang-cang......
Hanya itulah yang menggamatkan kampungku sebelum kami pulang ke rumah
masing-masing.
Kenangan ini
dicalar-balarkan lagi oleh Diva dalam rancangan Masihkah Kau Ingat. Tajuk tersebut yang diutarakan oleh Diva
terus dibawanya pergi. Aku nengelupur
macam cacing kepanasan mencantumkan perca-perca kenangan yang telah berusia
lebih lma puluh tahun. Terima kasih Diva
kerana memberikan aku ilham untuk menggamit kenangan yang tiada
kesudahaannya. Semasa coretan ini hampir
habis, terngiang-ngiang bunyi kentong di telingaku. Bunyinya semakin pelahan dan sayup-sayup dari
pendengaranku.
AZMAN BIN JAFFAR
Muar
Lagu pilihan saya (Kalau boleh jangan ubah)
R Azmi - Air Mata kasih
Brorey Marantika - Jatuh Cinta
Rosiah Chik - Damak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan