April 28, 2013

USM



            Surat pelawaan masuk UKM terpaksa kutolak.  Rezeki ada tapi nasib tiada.  Kemiskinan keluarga menyentap semangatku ke menara gading.  Aku masih lagi terdengar suara abah yang menghantui aku.  Dia akan berhenti kerja bila aku menyuapkannya nasi.  Keputusanku menimbulkan kemarahan kakak-kakakku.

            Rupa-rupanya dengan kelulusan HSC sahaja gajiku tak seberapa.  Gaji kawan-kawanku sedarjah lebih tinggi daripadaku.  Aku berjanji dalam diri.  Beri aku tiga tempoh tahun lagi.  Aku mesti masuk mana-mana universiti tempatan dan mengambil kursus yang mencabar diriku.  Alhamdulilah segala keperluan abah dan emak telahku sampurnakankan dengan mengikat perut supaya nasib mereka terbela.
            Keputusan HSC yang sama juga aku gunakan untuk mohon masuk universiti.  Pelajar yang berjaya masuk telah dimaklumkan.  Permohonanku masih membisu.  ‘ Takkan 5 prinsipal tak dapat masuk universiti ‘, kata kawan sekelasku.  Aku masih lagi tekun bekerja kerana akulah harapan semua keluarga.
            Suatu hari posman menghantar surat ke rumahku.  Semua tak berani buka.  Masing-masing tunggu aku balik dari kerja.  Abah memberikan aku surat tersebut.  Sampul suratnya bercop USM.  Rupa-rupanya aku diterima masuk sebagai mahasiswa USM selama 4 tahun.  Mataku bergenang dengan air mata melihat abah dan emak.  Haruskah aku meninggalkan mereka yang meratap kemiskinan?
            Kakak-kakakku sudah tidak boleh berlembut lagi.  Aku mesti pergi dan jangan buat sebarang daleh lagi.  Aku mesti jadi contoh anak-anak buah.  Bukankah anak-anak buah rapat denganku?  Abah datang memelukku dan berasa hiba.  Dia juga menggalakkan aku pergi.  ‘ Kau dah berkorban untuk keluarga.  Kau dah bakar dirimu untuk menerangi keluarga kita.  Ini peluang sekali lagi untuk dirimu ‘, katanya dengan suara yang terputus-putus.
            Aku ke USM dengan keretapi.  Wajah abah dan emak berada di mana dalam keretapi.  Aku betul-betul sebak dan kepiluan.  Keretapi terus berlari meninggalkan kenangan.  Keretapi berhenti seketika di bandar Ipoh. Aku dikejutkan oleh abang ipar yang melambai-lambai dan menunjukkan sampul surat.  Aku baru sedar bahawa surat tawaran USM tertinggal di rumah.  Abang iparku mengejar keretapi dengan keretanya dari selatan tanahair sehigga bandar Ipoh ‘ Tiada surat tawaran, bagaimana aku hendak mendaftar? ‘. Bisik hati kecilku.  Keretapi terus meluncur meninggakan bandar Ipoh.
            USM memang menggamit kenangan.  Perpustakaan usang berhanpiran Desa C mengingatkan aku mengisi waktu mentelaah buku-buku pelajaran.  Semasa pulang dari perpustakaan, aku dan kawan-kawan sempat mencari buah-buah durian yang gugur.  Kadangkala kami berhenti sejenak melihat persembahan wayang kulit oleh pelajar jurusan teater.  Persembahan wayang kulit dari Kelantan ini menyebabkan aku terlupa sekejap dengan keadaan keluarga di kampung.
            Akhirnya aku mendapat ijazah setelah empat tahun bertungkus-lumus.  Kini aku masih teringat lagi dengan kehidupan di kampus yang hampir-hampir aku berpatah balik ke kampung.  Mungkin pelajar-pelajar USM seangkatan denganku masih teringatkan rumah panjang atau lebih dikenali Desa A.  Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bertemu.  Mungkin Desa A telah roboh dan digantikan dengan bangunan baru.  Segala-galanya kian berbalam-balam selaras dengan diriku yang telah tua.

FIFI PERINDU
UniKL Melaka

Habibah Yaakub     -           Bukan Jodoh Bukan Suratan
Kartina Dahari         -           Awan Mendung
S M Salim                  -           Seri Siantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan