April 28, 2013

TEBU



          Jemputan, jemputan, jemputan.  Tiap-tiap hari makan nasi minyak pada hari sabtu dan ahad.  Rasanya sama sahaja.  Nasib baik ada bubur, lauk kampung dan kuih-muih.  Sayur nangka, sambal belacan dan ikan masin bulu ayam pun dah cukup buka selera.  Tiba-tiba aku mengajak isteriku menjenguk abang di kampung.  Carit-carit bulu ayam, lama-lama cantum juga.  Mereka bawa diri.  Segan dengan kehidupannya.  Tapi air dicincang tidak akan putus.  Dulupun aku dan adik-beradik pernah merasakan begitu.  Emak dan abah ajak kami adik-beradik keluar daripada khazanah pusaka lama tentang kemiskinan.

          Emak tentu ceria memerhatikan aku menziarahi adik-beradik, walaupun ia sudah lama pergi.  ‘ Jangan tunggu hari raya, kenduri kahwin dan kematian.  Datanglah bila ada masa terluang.  Hati galah sama dilapah.  Hati kuman sama dicecah.  Nanti anak-anak tak kenal sepupunya.  Hati orang miskin cepat terusik.  Cepat-cepat dia bawa diri.  Biar adik-beradik tak tahu di mana dia berada. Dekat saja gerangannya tapi jauh di sudut hati ‘. Pesan ibuku semasa kami kecil-kecil di kampung dulu.
          Semakin kudengaran pesanan ibu semakin dekat rasanya ibu di sisiku.  Anak-anakku tersenyum hendak menghongis sendiri tebu telur yamg ditebang oleh  abangku.   Aku  menggusap-usap   batang  tebu   telur  sebesar  lengan.  ‘ Hendak ke?  Abang tebangkan ‘, pelawaan abangku sambil bercerita kisah dulu.  Tebu telurlah, aku menjadi budak pelahap.  Tebu telurlah, makcik memancung semua tebu telur yang ditanamnya.  Tebu telurlah, mak berkelahi dengan makciku yang tidak berkahwin.
          Beginilah hidup keluargaku yang terbiar semasa aku kecil.  Tiada berumah dan asyik berpindah-randah.  Mana jadi kaya kalau berpindah-randah dekat tujuh kali? Mulut semuanya ternganga nak makan.  Pandang tebu abang, teringatkan tebu mak saudara.  Abang tebang hanya sebatang untuk bahagi-bahagikan adik beradik.  Tapi air tebu yang manis itu bertukar menjadi api kemarahan makcikku.  Tebu-tebu yang dipancungnya tidak diambil dan terus bergelempangan di muka bumi.  Abah tidak tahupun peristiwa ini.  Mak telah bertekad.  Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
          Aku naik ke rumah dan mendongak ke bumbung rumah pusaka sambil menghembuskan nafas lega.  ‘ Kenapa Din?  Abang baru ganti zink.  Mana nak cari atap nipah atau rumbia lagi?  Kakakkaulah yang bising bila hujan lebat.  Kami terpaksa alih perkakas yang mustahak supaya tidak basah.  Hujan tidak turun lagi dalam rumah macam kita budah-budak dulu.  Air mataku mengalir ke pipi perlahan-lahan.  Aku teringat menemani emak mencari upih pinang.  Emak buang kulit upih untuk meyulam atap-atap di rumah yang bocor.  Atap rumah kami bercorak-corak dengan upih pinang macam pamiran lukisan yang disaksikan oleh pelawat-pelawat yang datang.

          Aku mendongak lagi.  Wajah kakakku berada di bumbung rumah berbalam-balam.  Orang dulu tak macam sekarang.  Apa kata mak dan abah akan diturutinya tanpa membantah.  Yang punya badan mesti angguk sahaja.  Perasaan cinta mesti dibelai selepas kahwin. Mak dan abah memang meneruskan pusaka atuk nenekku dalam memilih kalangan keluarga jadi calon menantunya.    Biar saudara-mara rapat-rapat sekampung  macam pokok pinang.  Oleh itu majlis peminangan dijalankan sendiri oleh ibu bapa pihak lelaki.  Aku terdengar dengan sayu kata-kata bapa lelaki. ‘ Lak rumahnya banyak bintang-bintang ‘, sambil menuding jarinya pada atap-atap  yang bocor.  Mereka berpesan kepada mak dan abah menunggu jawapan daripadanya.  Selang seminggu, mereka datang dan membawa harapan yang hampa.  Saat inilah kakakku menanamkan tekad supaya dirinya tidak disebut-sebut lagi buat selamanya.
          ‘ Bila abang turunkan rumah ini jadi rumah bawah?  Dulu kita selalu main pisau di bawah rumah.  Siapa kalah, tapak tangannya berada di hulu pisau yang tercacakkan di atas tanah.  Abang selalu menampar tangan Din sehingga dapat menipu abang ‘, kataku sambil menyonyot tebu yang dikupaskan oleh abang. ‘ Tahun lepas.  Semasa kau bekerja di luar negeri.  Rumah atas, hanya sebuah sahaja di kampung kita.  Jiran yang lain semuanya telah menggubah rumah mereka menjadi rumah bawah.  Tak payah lagi naik turun tangga ‘, kata abang menjelaskan pertanyaanku.
          Aku cuba membayangkan tangga rumah ini beberapa tahun dulu.  Dari tanah ke serambi rumah, kami naik satu mata anak tangga.  Kemudian kami naik lagi tiga anak tangga ke rumah ibu.  Anak tangga ke serambi rumah selalu tergolek ke tanah.  Dah tak makan paku lagi.  Nak betulan abah tak mampu.  Tersadailah anak tangga beberapa lama seketika.  Ada orang melompat naik ke serambi rumah.  Ada orang yang hantar bontot dulu naik ke rumah.  Ada orang yang meletakkan dulu anak-anak kecil seorang demi seorang.  Mak minta kayu yang tak pakai di rumah jiran.  Sampai sahaja di rumah, emak tukang sendiri buat tangga.  Betapa mudahnya orang naik rumah bila berkunjung ke rumahku.  Aku masih ingat abah yang memerhatikan sahaja emak bertukang.  Kesian abah yang terbaring sahaja kerana menahan sakit yang bertahun-tahun lamanya.
          Aku memandang rumah pusaka sebelum pulang.  Rumah pusaka tidak condong lagi  seperti semasa kami kecil-kcil dulu.  Abanglah yang mengganti abah tinggal di rumah pusaka anak-beranak. Nasibnya telah ditentukan oleh takdir menjadi penghuni rumah yang terbiar sejak kematian abah dan emak, Doakan aku sihat dan panjang umur.  Aku akan berkunjung lagi ke rumah adik-beradikku yang lain sehingga tamat riwayatku.*

KHAIRUDDIN ALADDIN
Taman Seri Temenggong
Johor
         
ZAINAL ALAM            -        Rumput Di Padang
YUSNI HAMID             -        Disebut Jangan Dikenang Jangan

R AZMI                          -        Terimalah Salamku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan