April 28, 2013

USA



          Manakah hatikan kubawa pergi?  Adakah hatiku ini akan dilambung sepi?  Masa-masa yang lepas tetap membisu pergi.  Macam manakah hari-hari yang lain berkunjung nanti?   Dulu bulan Syawal yang mulia sungguh tidak bererti. Orang menunggunya dengan kemeriahan.  Tapi aku menunggunya terasa jauh di sudut hati. Hati mana yang tidak gelisah.  Terbiar keseorangan menjadi perantau, walaupun seumur hidup tidak pernahku rasakan.  Kepahitannya memang lebih nikmat daripada kemanisan.  Aku menandakan kalender kuda setiap hari sehingga pertengahan puasa, sebelum aku dijadualkan pergi macam orang menunggu giliran pergi menunaikan haji.

          Aku mengopok-ngopok anak bungsuku melelapkan mata.  Matanya celik dan senyum mendengar aku menyanyikannya.  Mungkin anakku dapat mengagak senikata lagu ‘Tidurlah Permasuriku” sudah bertukar menjadi senikataku sendiri.  Adakah anakku sengaja memejamkan mata menimpikan yang indah-indah bersama aku dan ibunya? Anakku turus memejamkan mata tanpa memahami makna yang tersurat.  ‘Pergilah.  Saya relakan abang pergi.  Bukannya lama, cuma satu bulan sahaja.  Maklumlah ramadhan akan pergi dan syawal akan berganti ‘, kata isteriku cuba menyelamai hatiku yang sedang lemas meninggakan keluarga semasa hari mulia.
          Aku cuba memejamkan mata untuk membayangkan perjalananku.   Dari KLIA, aku ke Changi Singapura. Turun ke New York, aku menuju pula ke Ohio.  Sungguh jauh perjalananku menuju destinasiku.  Aku terpaksa naik kapal terbang turun kapal terbang.  Nampak dekat sahaja dalam peta dunia anakku.  Tapi berbatu-batu meredah awan di langit biru.  Kadang-kadang melayang-layang ditiup angin.  Adakalanya bergegar kapal terbangku melanggar gumpalan awan dan cuaca buruk yang tidak ketentuan di angkasaraya.
          Aku diberikan sebuah apartmen di Ohio.  Apartmen itu sungguh lengkap tapi berpenghunikan aku seorang mewakili Kawasan Asia Pasifik.  Fikiranku melayang-layang dalam tiga buah bilik sehingga sampai ke Malaysia.  Radio Klasik tentu sedang memutarkan lagu-lagu hari raya yang ditunggu-tunggu oleh pendengar menjelang dua minggu lagi syawal.  Penyanyi yang telah menjadi aruah seperti P Ramlee, Saloma, Fazidah Jonit, Rafeah Buang dan Ahmad Jais mendodoikan aku yang sedang berada dalam satu dunia yang tak bernama.  Suara penyanyi semakin jauh dan sayu-sayu kedengaran.  Air mataku menitis di atas bantal semasa Allahyarham P Ramlee mengulitku dengan lagu Dendang Perantau.
          Bunyi keroncong kelaparan di perut serupa berada di Malaysia. Bila lapar, makan tak kira masa.  Macam masa berbuka puasa, semua nak rasa hidangan di meja.  Lepas sembayang maghrib  sambung makan kuih.  Lepas menunaikan sembahyang tarawih sambung makan lagi.  Feel itu tetapku bawa di Ohio.  Perut masih berasa lapar tapi tak ada yang hendak dimakan.  Kalau ada makananpun jadi  tak sedap kerana seleranya tak datang.  Kalau makan berebut-rebut dan beramai-ramai bersama keluarga semuanya licin.  Bila sahor nanti makan ala kadar saja.  Nasi berlaukkan telur goreng mata kerbaupun dah cukup. Masa berbuka puasa terbayanglah jemput-jemput pisang, cucur ikan bilis, lepat ubi, bubur pulut hitam dan Bubur Lambuk Kampung Baru.
          Respi-respi masakan ada dalam beg besar belum kukeluarkan lagi.  Hati jadi malas bila bahan-bahannya sukar didapati.  Kadang-kadang pula terasa tidak ekonomi bila aku menghadap makanan seorang sahaja.  Bila perut berkeroncong pada tengah malam, aku membuka peti ais yang tersedia ada.  Makanan yang disediakan tidak menggamit seleraku.  Menyesal yang tidak berkesudahan baru terasa sepanjang aku berada di Ohio.  Kenapalah aku tak bawa rempah mee bandung, mee jawa, mee rebus, kari, rempah asam pedas dan kuih-kuih kering?  Bukannya berat sangat mecebitnya. Semuanya dalam beg besar di perut kapal terbang.  Rasakanlah makan roti dengan planta sahaja.  Orang putih katakan?
          Walaupun aidilfitri ditunggu hampir setahun lagi tapi hidup aku tidak ada ketentuan. Satu hari raya disambut masyarakatnya sedingin salji.  Aku tidak sibuk-sibuk menggalas perut makan sedikit ketupat sebelum menunaikan sembahyang hari raya.  Pergi sembahyangpun bergantung kepada kesempatan.  Kalau dapat kebenaran kami pergi sembahyang dan balik semula ke tempat kursus.  Aku senyum sinis melihat rakan-rakan dari Malaysia yang mengerjakan solat hari raya.  Mereka memakai baju biasa sahaja.  Tak perlu memakai baju Melayu, sampin dan songkok.  Mereka hanya berpakaian lengkap hari raya bila bertemu di Kedutaan Malaysia.  Aku hanya mengikut arus perdana pelajar-pelajar Malaysia di Ohio.  Keadaan ini menggamitku melakarkan kenangan indah di negara orang.
          Balik dari kursus, aku terpernyok dalam bilik sahaja.  Aku bercakap dengan keluarga menggunakan tele sidang.  Keluargaku nakal-nakal semua.  Halakan komputer dekat ketupat, kari,  rendang dan kuih-muih.  Aku menirap atas katil menahan kesedihan.  Aku menyorok kesedihan yang tidak dapat dibendung lagi.  Rupa-rupanya meleleh juga air mata seorang lelaki.  Siapa yang tak menangis kalau melihat gambar anak di FB memakai baju raya seperti orang lain?  Tangisanku hanya keseorangan sahaja yang meminta simpati diding apartmen.  Ruang apartmenku menambahkan kesunyian dan kesyahduan  Aku mengambil CD yang kubawa untuk mendengarkan lagu-lagu klasik yang kurakamkan dam Malar Segar.  Semasa dendangan P. Ramlee beralun mengisi ruang apartmen, aku telah terlelap tidur akibat menahankan diri terbiar keseorangan semasa Aidilfitri menjenguk diri.  Macamlah gelagat isteriku di dapar.  Tambah garam tak masin.  Tambah gula tak manis apabila kita hidup keseorangan di negara orang.
                   
ADI ADIDI
SUBANG JAYA
MALAYSIA

P RAMLEE                    -        TIDURLAH PERMAISURIKU
R ISMAIL             -        MAS MERAH
AHMAD JAIS     -        JOGET PUTUS BENANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan