April 28, 2013

RUMAH NENEK



          Cuti sekolah aku diambil oleh nenek.  Abah tidak terkata apabila nenek ingin membawa aku balik.  Abah tak mahu nenek berkecil hati.  Abah tahu aku adalah cucu kesayangan nenek.  nak rasa membela cucu lelaki yang Nenek tua sekali.  Abah memberitahuku bahawa nenek selalu menyayikan lagu klasik zamannya untuk menidurkan aku dalam buian kain.  Kadang-kadang nenek baring di bawah buaian apabila aku tidak mahu tidur.

          Aku sering dikelengkang nenek apabila abah mengajak aku pulang.  Abah terpaksa pulang tangan kosong.  Keadaan rumah menjadi sepi macam tiada penghuni.  Emak kemas rumah seminggu sekali kerana tiada anak yang menyepahkan rumah.  Abah dan emak menjadi bengang kerana semua kakakku berbudi bahasa dan patuh kepada orang tua.
          Keadaan ini tidak berpanjangan.  Nenek pergi buat selama-lamanya kerana sakit tua.  Masa itu aku baru darjah satu.  Masa nenekku nazak, kami sedang mencari ikan belontok dan kepiping.  Namaku sentiasa disebut-sebut masa nenek hendak menghembuskan nafas.  Aku masih tidak faham sehingga hari ini, kenapa mambang kuning mewarnai senjakala.  Adakah keadaan ini membawa makna bahawa kasih sayang akan terpisah buat selama-lamanya.
          Gelagat aku ini berterusan  selepas nenekku meninggal.  Aku sentiasa diambil oleh emak saudaraku semasa cuti sekolah.  Apa yang dilakukan oleh nenek diteruskan oleh mak saudaraku.   Emak saudaraku tidak pernah membezakan aku dengan anak-anaknya sendiri. Kadang-kadang dia menjadikan aku sebagai contoh kepada anak-anaknya.  Sekali lagi abah dan emak tidak terkata apa-apa.  Abah tetap mengamal prinsip anak aku anak engkau.  Anak engkau anak aku.
          Aku telah mula mengenali parit besar belakang rumah nenek semasa darjah empat.  Lebar parit tersebut kira-kira lima depa orang tua.  Bila cuti sekolah aku berkubang dalam parit dengan anak-anak Mak Andak. Sehingga hari tua ini, aku mesra dengan anak-anak Mak Andak.  Apabia mendengar katak-katak berbunyi memanggil hujan, kamilah manusia yang menumpang suka.  Kami memanjatkan doa kepada Tuhan supaya hujan turun lebat dan memenuhkan air parit. Kadang-kadang terus terjun ke parit ketika hujan mendesah-desah turun.  Deman tidak ada dalam kamus hati kami.
          Bakat kami berkembang di parit,  Bila hujan sahaja, kami telah menjadi pengembara parit.  Kami nakkan parit selebar 10 depa.  Kami nakkan parit sedalam 10 kaki.  Kami nakkan air parit yang jernih dan boleh kelihatan rumput-rapai di dalamnya.  Parit-parit yang sesuai dengan kehendak kami ialah parit di depan rumah Pak Itam dan belakang rumah Cikgu Siraj.  Bertemu saja parit tersebut, kami terus buka baju dan seluar.  Kami terjun dan berendam dalam air.  Ada yang berenang tarzan.  Ada yang berenang telentang.  Ada yang berenang mengring.  Kocakan air dalam parit setinggi busut.  Kami tidak akan menang dalam acara berenang kerana kocakan air terlalu tinggi.
          Dah puas berenang, kami kami bermain perang-perang dan cuit-cuit.  Tebing parit Pak Itam dan Cikgu Siraj jadi mangsa.  Tebing parit terkobek-kobek semakin runtuh.  Mana tak terkobek, kalau tanah tersebut dikepal-kepal menjadikannya bom tanah semasa main perang-perang.  Tak puas dengan tanah tebing, kami menyelam menggali tanah di dasar parit.  Walapun badan kami menggigil kesejukan, tapi kami tetap tidak mahu berhenti.  Esok hari kami terjun parit lagi.  Itulah permainan yang kami ada.  Kami berhenti berkubang bila air musim kemarau dan parit mejadi kering-kontang.
          Kata-kata Pak Itam dan Cikgu Siraj tak makan saman. Tiap-tiap hari kami rindu parit. Tiap-tiap malam, kami mimpi dan mengigau parit.  Rupa-rupanya Pak Itam selalu mengendap kami berkubang.  Pak Itam sergah kami dalam parit.  Kami berundur di tepi tebing tidak dapat lari.  Pak Itam kumpul baju seluar kami  dan mencampakkannya dalam parit.  Pak Itam lepaskan geram dan pepah kami dengan batang ubi apabila kami hendak naik tebing.  Seluar baju kami terus dihayutkan air deras.
          Pembantu Cikgu Siraj tak buang baju seluar dalam air. Dia tumbuk botol-botol kaca  dan mencampaknya ke dalam parit.  Kedegilan kami tidak takut denga kaca di sana sini.  Kami menyelam dan memunggut kaca yang bertaburan dalam parit dan membuangkannya di satu tempat.  Bilangan kami bukan berkurangan tetapi makin bertambah ramai lagi.  Pembantu Cikgu Siraj tidak dapat berbuat apa-apa.  Dia tak kuasa melayan budak-budak.  Melayan budak-budak seolah-olah dia juga macam budak.  Karenah berkubang parit ini hilang dalam kamus bila kami melanjutkan pelajaran di sekolah menengah.  ‘ Parit oh parit.  Rupa-rupanya doa kami tidak berpanjangan ‘.

ISMAIL BIN ABD RAHMAN
AMPANG SEREMBAN
NEGERI SEMBILAN

Aku Budak Kampung    -        KUMPULAN RAMSA
Rindu                                       -        A RAHMAN
Maafkan Kami              -        P RAMLEE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan