Aku orang kampung.
Besar di kampung. Makan pun cukup
syarat sahaja. Biar makan jangan mati
tak makan. Bila umurku jejak remaja aku
juga menurut feel remaja. Badan pakai bedak. Rambut sapu minyak. Jambul mesti meleleh air liur anak dara. Lain kali mesti berpeluang berjumpa anak dara
lagi. Anak dara mesti jatuh cinta macam
cempedak busuk. Nasib baik, terus kahwin
dan dapat anak. Macam begitulah orang
dulu-dulu bercinta. Pelajaran tak perlu
tinggi-tinggi. Kalau dah terpaut, suruh
emak cepat-cepat pinang. Tak cukup boleh
pinjam dengan koperasi atau hutang. Dah
dapat anak masih lagi berhutang.
Teruknya karenah setengah anak-anak muda zaman aku.
Aku memang tak tahu malu.
Jemputan ke majlis perkahwinan ikut hukum aku. Orang jemput atau tidak jemput, aku tetap
datang. Orang jemput aku datang
siang. Orang tak jemput aku datang
malam. Aku tak pernah tidak hadir kalau
orang jemput. Dengan salam keruk satu
ringgit sahaja aku dapat makan nasi minyak.
Nasi minyak dulu tak macam sekarang.
Lauknya kari daging, paceri nanas, salad dan pisang boyan. Nasi minyaknya beras biasa berlumur dengan
sedikit minyak sapi atau minyak kelapa. Bila tersedak atau terbokon jolok tekak
dengan air batu kosong. Tetamu pula biasanya diberi barkat semasa bersalaman
tuan rumah.
Perbelanjaan
majlis perkahwinan dulu murah. Majlis diadakan secara gotong-royong orang
kampung. Seminggu dua sebelum majlis
diadakan, orang kampung dah mesyuarat. Balai,
tempat air, penanggah dan khemah memasak telah didirikan. Orang kampung dulu, makan bersila dan
menunggukan satu hidangan penuh bagi empat orang. Kalau tak cukup orang, maka kena cium bau
nasik minyak dulu. Orang kampung memang sudah ada norma. Jemputan lelaki terpisah dengan jemputan
perempuan. Orang lelaki datang dulu dan
baru orang perempuan. Masing-masing
mengeluarkan sampul surat kecil berwarna merah semasa bersalaman dengan tuan
rumah.
Orang
kampung memang tak payah diberitahu.
Orang tua-tua bertugas di penanggah.
Budak-budak basuk gelas dan pinggan.
Orang muda angkat hidangan dan membawa semula pinggan dan gelas ke
tempat basuhan. Masa itulah orang-orang
muda tunjuk rajin. Mana tahu untung batu
timbul. Anak dara dah boleh perhatikan bakal
suaminya. Biarkan miskin asalkan rajin
berusaha. Takkan rezeki datang bergolek. Kecantikan bukan menjadi barang kehendak dan
keperluan. Isteri nak makan. Anak-anak nak bersekolah. Macam mana hidup di kampung kalau
segala-galanya kekurangan. Tak kekal
iman, rumah tangga jadi bergoyang. Kalau
malas berusaha, alamat dapur pun tidak berasap.
Majlis
perkahwinan orang kampung berbeza-beza.
Mana yang tidak mampu ala kadar sahaja.
Nak war-warkan kepada orang kampung bahawa anak-nya telah
berkahwin. Mana-mana yang berada pula
mengadakan persembahan pancaragam pada waktu malam. Inilah peluang orang kampung mendapat hiburan
secara percuma. Biasanya mereka
mempersembahkan ghazal atau pancaragam. Orang-orang kampung yang berdekatan
telah berposah menunggu persembahan selepas solat isya. Penjual-penjual ais krim potong dan kekacang
telah menantikan orang datang. Di sinilah perkenalan anak teruna. Zaman aku dulu lebih lebih mesra dipanggil
mambang atau endot.
Lagu demi
lagu menghiburkan orang kampung.
Kertas-kertas alas meja makan dikoyak dan ditulis lagu permintaan kepada
pengacara. Pengacara terima sahaja tak
kira kertas itu bersih atau kena tumpahan kuah.
Penat juga penyanyi terlalak-lalak menghiburkan penonton. Tak tahan lagi, pengacara membuka peluang
kepada penonton menyumbangkan lagu.
Kawan-kawan menolak aku ke depan.
Pakcik-pakcik yang kenal membakar semangat. ‘ Bila lagi nak tunjukkan bakat anak
kampung?, kata pakcik yang biasa melihat aku menyanyi di rumah orang
kahwin. Aku menyanyi lagu Jasni dan
Ahmad CB. Kawan-kawan meminta aku
menyanyikan lagu R Azmi – Hitam Manis.
Aku menyanyi lagu-lagu tersebut lebih sudu daripada penyanyi asal. Walaupun mulutku menyanyi tapi mataku mencari-cari
mambang tanah, mambang parit dan mambang kampung.
Mataku
terbeliak besar. Pandanganku tidak
berkelip-kelip. Sakit juga batang leherku
tidak berpaling. Dia memakai baju
berbunga-bunga warna biru laut.
Kepalanya berselendang biru tua.
Dia semakin ke depan dengan kawan-kawannya. Aku melemparkan senyuman sambil menundukkan
muka. Dia membalas senyuman sehingga
setiap kali aku jadi orang gila bayang.
Senyumannya sungguh manis. Aku
tidak pernah melihat senyuman semanis itu.
Sehingga hari ini aku terusik dengan DJ Amelin Idros dalam Radio Klasik,
yang suka mengulang-ulang kata azimat ini.
Tambahkan manis dalam senyuman dan kurang manis dalam minuman. Pakcik memang sentiasa tersenyum, Amelin. Tapi senyuman pakcik ini telah terukir 50
tahun yang lalu. Mana tak senyum, kalau
pakcik sentiasa terusik oleh si lesung pipit?
Ala makkkkk, Amelin Senyum Selalu.
ISMAIL ABD RAHMAN
Ampangan, Seremban. NS
R ISMAIL - DIRENJIS-RENJIS
AHMAD CB - CINCIN BELAH
ROTAN
JASNI - SELINDANG BIRU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan