April 29, 2013

ABANG



          Abang mengirup teh petang.  Lelaki yang berusia 70han itu kujilat atas bawah.  Kenapa abang menghabiskan usianya tiada keturunan?  Dia bukan tak kacak.  Wajahnya masih tegang lagi macam jejaka berumur 50han.   Maklumlah abang seorang bekas tentera.  Dia hanya menumpang kasih dengan anak-anak buah.    Lantaran ptu dia sanggup bergurau dan bergumpal dengan anak-anak buahnya walaupun umur mereka macam langit dengan bumi.

          Abang memang tak suka mengirai cerita lama.  Dia bertekad membawa bersamanya ke liang kubur.  Cerita abang di hujung jariku, walaupun pada masa itu aku belum memahami cinta.  Budak darjah dua mana faham dengan cinta. Abang menyuruh mak merisik buah hatinya.  Cinta mesti diterjemahkan dengan perkahwinan.  Manakala kebahagiaan rumahtangga pula mesti terpancar dengan anak-anak yang comel dan cantik.
          Emak menghantar orang merisik bakal kakak iparku.  Masih kosong dan abang boleh masuk meminang.   Pihak perempuan  mengenakan syarat serba berdiri.  Abang mesti melengkapkan barang-barang kemas, seperti subang, rantai, loket, gelang dan cincin emas kepada bakal isterinya.  Abang dan emak terima permintaan sebelah perempuan.  Wang ringgit boleh dicari, tapi keayuan bakal  isteri abang payah dicari. 
          Tahun bertukar tahun.  Majlis tak buat juga.  Permintaan pihak perempuan belum mampu abang tunaikan.  Abang terdengeh-dengeh mengumpulkan gaji askar yang tidak seberapa.  Sesungguhnya abang memang tidak mampu.  Mana nak bagi mak?  Mana nak cari duit hantaran serba berdiri?  Mana nak duit buat belanja kenduri kahwin?  Kami orang miskin.  Tak mampu menunaikan segala-galanya permintaan yang bukan-bukan.
          Desakan pihak perempuan diputuskan abang sendiri dengan putus tunang. Keluarga kami lebih diutamakan.  Abang mesti menyiapkan kemudahan keluarga terlebih dulu. Adik-adik mesti bersekolah, sekurang-kurangnya tamat tingkatan lima.  Perkataan kahwin telah dibuang dalam kamus hati.  Pertanyaan ayah dan ibu tentang perkahwiman dibuat macam tak dengar sahaja.
          Umur abang dah lebih 40 tahun.  Ayah dan ibu kusut fikiran apabila abang tidak ada menyebut-nyebut fasal kahwin.  Adik-adik di bawahnya sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak.  Ayah dan ibu bertekad mencarikan pasangan abang.  Nak bina masjid memang susah. Abang mungkin tak marah bila perkahwinannya bukan berdasarkan cinta sama cinta.   Abang menurut kata ibu.  Baik kata ibu maka baiklah baginya.
          Peminangan ibu diterima.  Abang dikenakan duit hantaran sebanyak seribu ringgit dan sebentuk cincin emas sahaja. Tapi abang telah berhenti bekerja askar.  Dia mengerjakan kebun yang dibelinya, hasil daripada duit berhenti kerja.  Isteri abang bekas pelajar tingkatan lima sekolah Inggeris. Orang dulu memang tak bagi peluang anak perempuan sekolah sampai universiti.
          Rumahtangga abang aman damai bulan yang pertama.  Kakak mula ditimpa penyakit misteri.  Apabila senja tiba, kakak merasa hiba, sayu dan tercungap-cungap. Kadangkala terasa kematian menjemput buat dirinya berpisah dengan abang buat selama-lamanya.  Keadaan kakak membuat kami sekeluarga panik dan cemas.  Penyakitnya tidak dapat dikesan kerana kami tidak pernah menghantarkannya ke rumah sakit.  Abah dan mak pula percaya cakap pawang dan bomoh.
          Aku dan abang masih menjaga kakak bergilir-gilir.  Badan kakak semakin kurus kerana tidak mahu makan.  Bila keadaannya normal, kakak berbual denganku dengan suara yang ke dalam.  ‘ Keluarga kakak tak pernah mengadakan syarat.  Walaupun abang sudah berumur, kakak menerimanya dengan kesyukuran.  Kakak hendak tumpang berteduh saja.  Ikatan perkahwinan lebih bermakna daripada emas berbungkal-bungkal ‘.
          Abang memanggil kami sekeluarga.  Kami perhatikan kakak berlainan seperti mana biasa.  Kakak berharap abang kahwin lagi.  Dia tidak dapat memainkan peranan sebagai isteri dan melahirkan zuriat abang.  Dia mencium abang beberapa kali dan berbisik dengan abang.  Abang menganggok-nganggok saja macam tidak mahu melayan permintaan kakak yang tidak keruan.  Kakak merenung wajah kami satu persatu.  Nafasnya semakin hilang meninggalkan kami. 
          Abang memeluk kakak sambil mengajar kakak mengucap dalam titisan air mata seorang lelaki.  Perkahwinan abang dengan kakak hanya bertahan sebulan sahaja.  Aku terjengkit-jengkit di tingkap melihat jenazah kakak diturunkan dari rumah.  Kerandanya ditutup dengan kain songket perkahwinannya, atas permintaan kakak.  Wajah kerandanya yang diusung oleh orang kampung semakin jauh meninggalkan kami ke tanah perkuburan.  Yang tinggal hanyalah sebuah coretan yang kumuatkan dalam ADILA.  Maafkan saya bang kerana membuka khazanah yang telah abang menguncinya rapat-rapat selama lima puluh tahun yang lalu.

AZMAN BIN JAFFAR
MUAR JOHOR

JASNI                                     -        Nak Dara Jelita
A RAHMAN dan MASITAH  -        Maksud Tak Sampai
AHMAD JAIS                         -        Terbiar Keseorangan.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan