April 29, 2013

SMRM



            Hari raya kelima mengumpulkan kenangan lama daripada mulut-mulut yang sudah kecut dan terhogah-hagih semasa bercakap.  Perjumpaan itu tidak pernah kurancangkan.  Mereka mengambil makanan dan duduk semeja di rumah jiranku yang mengadakan kenduri kahwin.  Aku melayan tetamu yang hadir bertali arus setelah hujan lebat berhenti jam 11 pagi.  Kecut perutku apabila kehadiran jemputan tidak seperti yang yang diharapkan.  Siapa nak makan kalau nasik dan lauk yang dimasak masih tak luak?

Aku menyusur dari satu khemah ke satu khemah mempersilakan tetamu makan.  Kebanyakan tetamu begitu berselera dengan hidangan tuan rumah.  Maklumlah selera orang ramai selepas bulan puasa.  Di satu meja aku terkulai layu memerhatikan beberapa orang yang masih segar dalam ingatanku.  Aku meluru berjumpa mereka sambil mencium tangan mereka dan mengucapkan selamat hari raya.  Perbuatanku ini menimbulkan kehairan dan menyebabkan mereka berpandang sama sendiri.
Aku menyeret kerusi di sebelah lalu duduk semeja.  Apa khabar cikgu M, cikgu R, cikgu A, cikgu N dan cikgu-cikgu lain.  Mereka lagi terperanjat apabila aku dapat menyebutkan nama-nama mereka dengan betul.  Cikgu-cikgu tentu dah tak ingat nama murid-muridnya. Murid-murid tentu ingat cikgu-cikgunya sampai bila-bila.  Mungkin cikgu-cikgu tak ingat lagi dengan aku.  Aku taklah pandai sangat.  Tapi aku berjaya menduduki menara gading yang berlainan sebanyak tiga kali.  Cikgu-cikguku telah memberikan asas yang kuat kepadaku sebagai budak kampung.  Terima kasih cikgu-cikgu yang yang lebih mengenali aku sebagai murid pemalu semasa dulu.
Aku senyum dan memperkenalkan diriku.  Mereka sederap bangun dan memeluk serta menciumku beberapa kali.  Ciuman cikgu tidak sedikitpun mendatangkan kejelekan dan kepelikanku.  Aku selalu dicium oleh cikgu-cikgu semasa sekolah rendah dulu apabila aku berjaya dalam akademik dan sukan semasa belajar di sekolah rendah.  Sekolah tidak memberikan aku hadiah.  Sekolah kampung semasa dulu miskin.  Cikgu-cikgulah yang memberikan hadiah peribadinya bagi menggalakkan aku berjaya terus. Kadang-kadang  pula aku dibawa balik ke rumah oleh cikgu apabila aku mewakili sekolah dalam pertandingan peringkat daerah.
Aku tak ubah seperti YB.  Sahabat-sahabat seangkatan denganku ditanya oleh cikgu-cikguku.  “ Lan dan Radi telah meninggal dunia.  Rashid, Rahim dan Salehan telah pencen.  Kamisah ada di kampung dan baru mengkhawinkan anak.  Mustika, Habibah, Hafsah, Zaharuddin, Somali, Samaon, Fatimah, Raudah, Jamhari dan lain-lain lagi tak pernah saya  jumpa.  Walaupun saya war-war dalam FB tapi dingin sahaja cikgu ‘, kataku dengan air mata mengingatkan zaman sekolah dulu.
‘ Mana pergi Manaf dan Dollah yang sama awak mewakili sekolah 4 X 100 meter? ‘, tanya cikgu R.  ‘ Mereka semua jadi askar.  Mana ibu bapa dulu ada duit?  Saya juga hanya bernasib baik sahaja. Mereka hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.  Manaf tidak berapa sihat semenjak dia terkena jerangkap samar semasa bertugas di Sarawak.  Dia boleh berjalan tapi terdengkut-dengkut ‘, ceritaku yang masih mengikuti perkembangan kawan-kawan lama.
‘ Cikgu-cikgu mesti ada berjumpa dengan cikgu-cikgu lama saya. Cikgu Tamalinggam, Rahman Kedah, Amisah, Manaf, Jamaliah, Hassan, Fauziah, Jalil, Rahmat, Sallehuddin, Ramlah dan Hendon.  Lama tak jumpa mereka.  Harap mereka masih hidup dan sihat lagi’, kata-kataku mengingatkan cikgu-cikgu yang pernah mengajarku.    Ramai daripada mereka masih ada lagi.  Tapi semuanya dah tak berapa sihat.  Maklumlah dah tua.  Awak sebagai murid saya dah pun berumur 60 tahun. Tentulah cikgu-cikgu awak lagi tua ‘, kata cikgu R sambil memandang muka cikgu lain.
‘ Mana cikgu Y?  Bekas Penolong Kanan semasa Pengetua saya ialah cikgu H.  Orang lain semuanya tak mahu mengajar ilmu hisab semasa saya tingkatan dua.  Hendak tak hendak dia terpaksa mengajarnya.  Belajar sambil mengajar.  Dia selalu memberi hadiah kepada kami sekiranya mendapat markah ilmu hisab 80 peratus ke atas dengan pensil 2B.  Bagi saya dia bukannya cikgu.  Dia ayah saya.  Dia tidak pernah merotan tapi leterannya membuatkan air mata kami mengalir keluar.  Tak kira budak perempuan ke atau lelaki ‘, ceritaku dari kaca mata seorang murid tentang cikgu Y.
Cikgu Y selalu menyuruh aku mengambil buku-buku latihan dalam kereta.  Semua buku latihan diperiksa dan diberi kata pujian mengikut kebolehan murid-murid.  Aku pernah dihadiahkan sebuah buku kamus bahasa Inggeris.  Cikgu Y adalah guru bahasa Inggeris.  Tapi dia jadi pak sanggup mengajar ilmu hisab.  Telatahnya masih segar.  Dia membuka sebuah buku dan menulis jawapannya di papan hijau apabila kawan-kawanku bertanya soalan yang tidak dapat dibuat.  Kami cuba memahami langkah demi langkah sehingga bertemu jawapan.  Usaha cikgu Y itu membuahkan asas yang kuat kepada kami dalam ilmu hisab.
Pertanyaanku disambut oleh cikgu-cikguku dengan sunyi sepi. Mereka tidak sampai hati membawa perkhabaran yang mungkin mencalar-balarkan perasaanku.  “ Awak tak dengar ke tentang cerita cikgu Y?  Cikgu Y awak baru sahaja meninggal dunia.  Allahyarham meninggal dunia sebelum kedatangan syawal tahun ini.  Allahyarham sakit tua dan dibawa oleh anaknya ke rumah sakit. Petang dia dimasukkan hospital dan malam pula dia mengembuskan nafas “, cerita cikguku sambil yang lain menenangkan aku.  Air mataku mengalir dengan membayangkan wajah cikgu Y.  Aku sentiasa mencium tangannya ketika setiap kali aku bertemu.  Dia mengurut-urut jejariku sambil meramas-ramas tanganku tanpa berkata.  Dia mencium dahiku sebelum aku pergi.  Fikiranku bermain-main dengan telatah cikgu Y yang masih aku tidak mengerti. Ke mana hatiku akan kubawa apabila wajah cikgu Y menggamit-gamit kenanganku yang telah senja?  Aku doakan semoga roh cikgu Y ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman.  Amin.

SESEJUK EMBUN
Johor Baharu

Aspalela Abdullah                   -           Selamat Tinggal Bungaku
D’lloyd                                     -           Pilu
Rahim Omar                           -           Malam Terakhir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan