April 28, 2013

BAPA ANA



            Abah telah lemas menghabiskan sisa umur.  Peluang keemasan ini mestiku cakup sebagai satu coretan yang berharga.  Abah memang tidak marah.  Segala rashianya disimpan dalam diriku.  Aku anak sulung sebagai ganti emak.  Masa emak ada pun aku yang bertungkus-lumus.  Aku yang solekkan rumah abah biar ianya nampak ceria.

            Takbir Raya Haji memenuhi ruang udara rumah kami yang berhampiran dengan masjid.  Aku mengepali dalam keluarga menyediakan juadah hari raya haji dengan ala kadar sahaja.  Maklumlah emakku berada di hospital kerana ‘stroke’.  Aku mengisi ketupat, rendang, lodeh dan sambal sate dalam mangkuk tipin.  Kami akan ke hospital selepas sembahyang raya untuk menyuapkan makanan ke mulut emak.
            Telefon rumah berdering. Hospital memberitahu bahawa ibu sedang nazak.  Tiba di hospital, hanya abah yang sempat memeluk emak sambil membisikan di telinga emak.  Air mata abah berjurai.  Abah rasa dunia macam kiamat.  Semua benda yang dipandang menjadi hitam dan berbalam-balam.  Pada petang itu juga jenazah emak dikebumikan dalam takbir hari raya yang masih kedengaran di radio, tv dan masjid berhampiran.
            Seminggu kami bertandang di rumah abah.  Abah masih merasa kesedihan.  Mukanya cengkong dan menyorok kesedihan daripada anak dan  menantu.  Makan tidak disentuhnya dalam tudung saji plastik.  Dia tidur malam di atas kerusi malas sahaja. Segala pakaian kotornya kukumpulkan untuk dibasuh.  Aku sentiasa mengikuti gerak-geri abah.  Aku tidak mahu orang mengatakan abah tidak pandai menjaga diri sejak kematian emak.
            Sangkaanku mungkin betul.  Orang lelaki tidak boleh berdikari sekiranya isterinya meninggal dulu.  Tetapi orang perempuan mungkin tertutup hati sekiranya suaminya meninggal dulu.  Lepas itu kami sekeluarga balik ke rumah masing-masing menyambung pekerjaan.  Kamilah yang balik kemudiaan sekali daripada adik-beradik.  Abah merenung kami sambil mencemek kepiluan.  Makanan abah tetap kami hantar atau mengupah orang menyediakan makanan sekiranya kami tak bersempatan.
            Kadangkala aku menjenguk abah.  Bajunya tidak bercuci.  Cawan dan pinggan beratur dalam sinki hampir nak berulat.  Mangkuk tipin di atas meja tidak dibuka.  Makanan di dalamnya semua dah basi.  Aku tidak pernah berbuat begitu sekiranya suamiku pergi kursus. Aku menggeleng-gelengkan kepala saja dengan telatah abahku.  Seorang bapa boleh menjaga sepuluh orang anak.  Tetapi sepuluh orang anak belum tahu boleh menjaga seorang bapa.
            Abah melontarkan masalah kepadaku.  Abah mungkin bisu di dalam rumahnya.  Abah tak boleh berinteraksi dengan tv, radio dan dinding.  Kadang-kadang dia tertidur di depan tv.  Siaran tv dah habis.  Aku diberitahu oleh anak-anak bahawa tv yang menonton atuknya yang telah tidur.  Abah tidur bukannya kepenatan tapi fikirannya rungsing. Kalau inilah keadaanya maka kehidupan abah akan sampai ajalnya nanti.   Abah kuperhatikan telah berubah.  Abah dah pandai makan luar.  Berbeza masa ibu ada.  Segala masakan ibu semuanya sedap belaka.
            Satu hari telefon rumahku berdering.  Abah terketar menyampaikan maksudnya.  Dia lebih suka bercakap dengan aku daripada anak-anaknya yang lain. Aku menyambut percakapannya dengan rasa kesyukuran dengan tidak ada paksaan.  Aku memanjangkan niat abah kepada adik-adikku.  Suamiku menurut saja.  Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Adikku nombor dua serba salah.  Wajah ibu masih di depan matanya lagi.  Adikku nombor tiga mengikut sahaja tanpa bantahan.  Adikku nombor empat pula lebih memahami perasaan abah yang kesunyian.  Adikku yang bungsu menolak bulat-bulat.  Tanah kubur mak masih merah lagi, bagaimana abah nak kahwin lagi?
            Niat abah diteruskan juga.  Abah dipadukkan dengan perempuan janda yang telah berumur.  Walaupun Angah dan Usu memberontak, majlis perkahwinan abah selamat diuruskan kami adik-beradik.  Aku bukan tak ingat mak.  Mak sakit ‘stroke’ selama tujuh tahun.  Keadaan abah terumbang-ambing tak tentu arah.  Aku juga terpandang-pandang wajah mak yang terkule-kule dari dalam bilik mengharapkan sesuatu.  Aku dan suamiku memang bersetuja abah kahwin lagi sebagai teman berteman.  Itu sahaja yang dapat menggantikan emakku.  Semoga  abah dapat merasakan keriangan seperti dulu.  Tapi usia perkahwinan abah bertahan dua tahun sahaja.  Abah pergi jua buat selama-lamanya semasa dia mendapat rawatan di IJN. Kami adik-beradik  hanya berkesempatan menjamah perasaan abah. Sesungguhnya kami telah memahami dan mengerti hidup keseorangan.

ANA LEMAN
Muar

Hety Koes Endang                          -           Kasih
Zam-Zam                                          -           Setahun Tak Jumpa Sesaat Tak Lupa
R Ismail dan Rafeah Buang          -           Gurindam Jiwa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan