April 29, 2013

HIDAYAH



Kita merancang sahaja.  Allah yang menentukan.  Aku tak terfikir bekas isteri tuaku mengheret aku dalam kancah hidup ini.  Kadang-kadang aku merenung masalah ini semasa aku keseorangan.  Mana ada perempuan yang sanggup berkongsi suaminya dengan perempuan lain untuk bergelar isteri.  Mungkin ia satu dalam sejuta manusia.  Memang tak mudah dia memberikannya kasih sayang  yang dimilikinya kepada orang lain.

Adakah itu sebagai tanda-tanda orang yang hendak mengadap llahi?  Adakah ini bisikan hati ke hati seorang isteri yang simpati melihat keadaan yang kering-kontang di padang pasir?   Adakah kasih sayang terpaksa dibuang jauh untuk menumpukan dirinya dengan Allah.   Dia berkomat-kamit sahaja bercakap sendirian meminta sesuatu dengan Allah.  Dia tidak mahu terbeban dengan dosa-dosa yang tidak terpikul lagi.   Macam mana dia boleh menghadap Allah kalau dosanya bertimbun-timbun seperti peron api yang telah padam tapi debunya bertimbun-timbun?
Fikiranku aleh-aleh menyala ke arah anak perempuanku yang telah berusia sepuluh tahun.  Anak hajat isteriku yang pertama.  Wajahnya yang hitam sawo matang terpancar di mataku seperti sehelai kain putih terbentang.  Dia telah kuberitahu bahawa dia mempunyai tiga orang kakak dan seorang abang.  Abangnya boleh mewalikannya apabila dia menjadi pengantin suatu hari nanti apabila umurku berhenti noktah di dunia fana ini.  Aku tidak dapat memberikannya kemewahan seperti kakak-kakak dan abangnya seperti aku bekerja dulu.  Dia amat faham dengan keadaan kami sekeluarga.  Kadang-kadang dia terpaksa mengeluarkan duit dalam tabungnya untuk membantu aku membeli barang-barang dapur yang terputus.  Kami tidak pernah mengajar dia berbuat demikian.  Dia berbuat begitu kerana mendapat hidayah daripada Allah.
 ‘ Macam mana Hidayah terpancut keluar di dunia ini? ‘, bisik hati kecilku.  Hidayah telah membawa kesuraman hidupku bertukar wajah. Hidayah memang teringin mempunyai adik-beradik sebagai kawan permainan dan berkelahi.  Aku dan isteri  tidak dapat berkongsi masalah apabila Hidayah besar nanti.  Kata-kata Hidayah itu selalu terngiang-ngiang sambil memeluk belakangku. Anak tunggalku bersama-sama isteri keduaku memang terlalu manja denganku. Dia hanya perlambangan hidup aku dengan isteri mudaku.  Bukankah Hidayah menggantikan kakak-kakak dan abangnya yang telah berumahtangga?  Tentu bekas isteri tuaku menumpang gembira dengan telatah Hidayah yang semakin dewasa.
Kalau beginilah aku dikurniakan Hidayah, tentu aku dapat melahirkan lagi berapa ramai Hidayah dalam keluarga baruku.  Tapi Hidayah dalam keluargaku hanya seorang sahaja.  Aku dan isteriku mesti mematuhi perjanjian Hidayah.  Hidayah adalah seperti seekor kelep-kelep yang menerangi rumahtangga kami yang didirikan sebagai permintaan terakhir daripada isteri tuaku.  Hidayah memang seorang sahaja.  Hidayah berbapakan aku yang semasa itu berusia enam puluhan tahun.  Isteri muda tidak mahu terjadi pada Hidayah dan adik-adiknya nanti menghadapi masalah apabila aku dijemput pergi oleh Allah.  Cukuplah nanti Hidayah dibelai oleh ibunya yang sepenuh masa sebagai suri rumkahtangga.
Suatu hari kami sekeluarga pulang ke Malaysia.  Rindu menggelodak untuk bertemu anak-anak dan saudara tersayang.  Aku memerhatikan gelagat anak-anakku sebagai hakim.  Di sebelah kanan anak-anak dan di sebalah kiri isteriku serta Hidayah.  Tidak salah kami pulang ke rumah sendiri.  Buatlah kami seperti pendatang yang berlonggok dengan barang-barang yang dibawa di dewan rumah.  Segala yang ada dalam rumah tidak pernah kami mimpikan dan dibawa balik.  Keadaan kami di negara orang lebih teruk daripada kehidupan yang kami rasakan.  Aku memang telah mengharamkan diriku meminta bantuan daripada anak-anak apabila suatu kejadian terkena pada batang hidung sendiri. 
Segala yang berlaku itu menjadi faktor penolak kami berada di kampung.  Sewaktu hendak meninggalkan mereka, kami cuba bersalaman antara satu sama lain.  Aku tersentak dan menangis menonton kisah benar di depan mataku.  Apakah salah mereka sehingga diperbuat demikian.  Isteriku dan Hidayah adalah insan yang mempunyai perasaan.  Tangan isteriku terkulai layu apabila huluran tangannya tidak bersambut.  Hidayah pula ditolak ke tepi ketika hendak bersalaman dan mencium kakak-kakaknya.  Adakah kami sekeluarga sedang diuji oleh Allah?

Keputusan nekadku telah muktamad. Biarlah aku berkelana di Sumatera.  Aku sudah tidak ada lagi anak-anak di Semenanjung.  Aku memang terbiar keseorangan diasak oleh perasaan dendam yang membara daripada anak-anakku.  Mungkin cerita lamanya telah hilang tapi parutnya masih segar pada anak-anakku.  Tapi mereka telah lupa bahawa kehadiran Hidayah adalah permintaan ibu mereka sendiri.  Permintaan yang menyebabkan aku ketika itu dalam keadaan serba salah membuat keputusan untuk bermudik ke Sungai Gangga atau Jumna. 
          Aku tetap bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah mendapat Hidayah.  Sesungguhnya aku mendapat hidayah daripada Allah dalam usia yang telah lanjut. Hidayah mengejutkan aku dari mimpi yang tak sudah-sudah.  Rupa-rupanya yang bercahaya itu bukanlah intan sahaja.  Tapi kaca juga boleh bercahaya apabila kita bertemu hidayah daripada Allah.  Terima kasih Hidayah.  Maafkan abah dan ibu yang telah mendewasakan Hidayah dengan cara yang tersendiri.

RAHMAT SAYU
Tanjung Balai
Sumatera

Ahmad Jais `                 -        Hanya Tinggal Sepi
Rahim Omar                  -        Bersendiran
Ahmad Jais                    -        Kasih Bukan Belenggu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan