April 28, 2013

JOGET LAMBAK



          Dah lupalah tu.  Begitulah nasib penyanyi. Aku ni penyanyi lamalah.  Akulah yang dulunya terlalak di rumah orang kahwin.  Masa dulu aku hebat.  Ramai mambang turun ke majlis menyaksikan aku menyanyi.  Ada mambang  nak berkenalan.  Ada mambang nak jumpa.  Ada mambang minta tolong jampikan sakit angau yang melandainya.  Macam-macam membuat aku ketawa sendirian.  Bukannya Radio Klasik sahaja menggamit kenangan, tapi mambang-mambang lama juga menggamit kenangan.

          Bapa aku menamakan anak lelakinya Mail Bin Abd Rahman sahaja.  Nama orang kampung.  Aku pandai-pandai memberikan nama Mail@Ismail semasa menggambil kad pengenalan. Aku takut diberi gelaran oleh kawan-kawan.  Kata mereka namaku pendek.  Cuba perhatikan nama Md.  Ada Md lembu,  Ada Md askar.  Ada Md takut bini.  Macam-macam gelaranlah orang kampung bagi.  Takut juga orang memanggil aku Mail  buku.  Maklumlah menoreh getah dan buat getah buku sahaja.
          Masa aku menjadi penyanyi kampung, aku tukar nama lagi.  Takkan penyanyi kampung tak ada nama glamur,  Tentu kawan-kawanku masih ingat penyanyi kampung R Ismail. Bukanlah penyanyi R Ismail yang malar segar dengan lagu Gurindam Jiwa dan Hati Ke Hati.  R Ismail yang tak masuk kelas vokal dan tak tahu baca note muzik.  Akulah R Ismail.  Masa tu tergila-gila nak tiru nama penyanyi-penyanyi handal, seperti R Azmi, P Ramlee dan lain-lain lagi. R Ismail tentu suruh aku mengukur baju ikut badan sendiri.  Amelin tentu senyum sampai telinga.  Air kopinya terbubuh lebih gula mendengar coretanku.  Lepas tu boleh senyum 360 darjah.
          Aku budak kampung.  Tiap-tiap malam puja bulan mengambang.  Mana ada bulan mengambang tiap-tiap hari.  Bulan mengambang hanya tengah bulan sahaja.  Kalau bulan tak mengambang, aku tarik selimut tidur sampai pagi.  Tunggu sahaja pagi mengejut aku menoreh getah.  Sampai di kebun getah masih terang-terang tanah. Itu sahaja yang diturunkan oleh bapaku. Bapaku lebih baik daripadaku.  Dia pandai buat getah keping. Tapi aku hanya tahu buat getah buku sahaja.
          Hiburan yang macam bulan mengambang juga, menyebabkan aku menyambut baik kedatangan Taman Hiburan di kampungku.  Kegemaranku bukan nak dengar lagu-lagu persembahan penyanyi pop ye ye.  Bukan nak main gelang rotan untuk mendapat hadiah.  Bukan nak menonton wayang pacak.  Aku kemaruk bergojet – twist.  Bayaran yang dikenakan murah sahaja untuk satu lagu.  Bawa wang kertas empat ringgit, aku boleh berjoget lapan kali.  Yang pelik tu tak penat-penat pemuda-pemuda yang telah terkena sampuk berjosudah get.  Kadang-kadang sambung kawan yang keletihan berjoget bersambung-sambung.
Aku mengingatkan masa muda dengan menggeleng kepala.  Kalau diberi upah berjoget hari ini, aku tolak mentah-mentah.  Tak ada hiburan ketika itu.  Nak tunggu bulan mengambang, belum mengambang lagi.  Kalau bulan mengambang, kami berborak duduk di tembok tepi jalan,  Aku menyanyilah lagu-lagu R Azmi, Jasni dan Ahmad CB sambil kawan-kawan bergendang menepuk-nepuk tembok.  Pukul satu atau dua pagi baru pulang rumah.  Lepas sembayang subuh dengan memakan biskut mayat buat alas perut, aku pergi menoreh getah kira-kira tiga batu dari rumahku.  Itulah rutinku bila hari tidak hujan.  Aku mesti menoreh.  Aku nak pegang duit sendiri.  Tak payah minta duit daripada abah dan mak.
Masa zaman remaja sekali sahaja.  Geli hati bila mengingatkannya.  Boleh banjir air mata bila mengenangkan zaman yang pergi tidak kembali lagi.  Naik basikal tak berlampu.  Baju kemeja berlipat di lengan baju.  Rambut yang kemas digunting ‘apaci’.  Kuat juga pengaruh P Ramlee.  Macam mana P Ramlee menceceh dalam filem Bujang Lapok,  begitulah aku menyanyi di keliling kampung.  Macam mana P Ramlee menonggang basikal dengan Pak Aziz dan S Shamsuddin, begitulah aku dan rakan-rakan menonggang basikal.  Aku harap anak-anak dan cucu-cucuku tidak meniru perangaiku masa muda.
Kerjaku sebagai penoreh getah tidak bertahan lama,  Aku dilamar oleh jawatan askar Melayu DiRaja yang aku pohon.  Itulah kerja yang mampu aku pohon bersandarkan kelulusan darjah enam.  Dah ada kerja tetap barulah berani bercakap anak perempuan orang.  Kalau ikut lagu S M Salim, maka masih tak kahwinlah.  Bukanlah wanita dulu suka memilih.  Tapi duitku tak cukup dan tak mampu menanggung nafkah anak dara orang.  Takkanlah perut jadi kenyang bila kita berdua cakap fasal cinta.  Masing-masing nak suru isi perut.  Selepas jadi suami isteri, kami dibawa ke rumah saudara untuk berkenalan lebih dekat lagi dengan saudara-mara. Satu hari aku bertandang ke rumah saudara yang mengadakan majlis perkahwinan.  Kami terpaksa pulang lambat kerana pada sebelah malamnya diadakan joget lambak.
Penyakitku dah mula datang semula.  Isteriku menuang minyak tanah supaya semangat remajaku menyala.  Melihat orang berjoget, kakiku terangkat-angkat.  Hati bertahan sahaja walaupun aku bertepuk tangan memanaskan suasana.  Isterilu mengajak aku berjoget lambak.  Pucuk dicita, ulam mendatang.  Manalah orang takkan tidur, kalau bantal disorongkan.  Tapi aku tidak bertukar pasangan dengan orang lain.  Sebenarnya isteriku nak lihat dengan mata sendiri bahawa aku kaki joget semasa remaja.  MasyaAllah aku menggeleng kepala.
          Sahabat Radio Klasik mungkin setuju dengan pandanganku.  Marilah dengar ADILA.  Sekali-sekali kita dengar pula coretan yang kita tersengih memanjang.  Rakan-rakan mungkin tak rela kalau ADILA  jadi tasik air mata.  ADILA akan terbenam dalam slot dan terus hilang.  Tak perlulah si penjual suara mengajak kita mengurangkan manis dalam minuman.  Sebenarnya ADILA itu, masin-masin garam.  Semakin ramai menulis coretan ADILA, semakin terasa masin manisnya ADILA,  kita menghirup lumrah kehidupan.  Masih tak percaya?  Tunggulah jam 5.30 petang.  Berapa ramainya manusia melekap di Radio Klasik atau memasang radio di kereta dalam perjalanan pulang dari pejabat.  Itulah penangan ADILA.

Ismail Bin Abd Rahman
Ampangan
Negeri Sembilan

M Osman             -        Dendang Patah Hati
R Ismail                -        Hujung Sirih
Ahmad Jais          -        Joget Putus Benang          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan