Mei 16, 2013

TAWAF



            Hari Ahad mesti diisi kalau tiada undangan majlis perkahwinan.  Hidangan majlis perkahwinan hanya merupakan makanan jasmani sahaja.  Makanan rohaniku belum cukup.  Kalau aku pergi nanti mungkin tidak kembali lagi.  Semuanya sudah terlambat.  Takkan mati hidup semula.  Mati tetap mati.  Menunggu sahaja masa dihidupkan semula.  Segala baik dan buruk telah dicatatkan oleh dua maklikat.  Oleh itu, tak salah aku mengikuti kursus haji di masjid, walaupun aku sudah pergi menunaikan haji dan umrah.

            Penceramah kursus haji menceritakan ibadat tawaf.  Aku cuba mengingati ibadat tawafku semasa haji dan umrah.  Panas di luar masjid menggamitku mengelilingi Kaabah yang disapa oleh angin kering.  Tiba-tiba mulutku melafazkan banyak kali ucapan yang kulafazkan setiap kali lepas sembahyang – Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, semasa aku hendak memulakan tawaf sunat menggelilingi Kaabah. Aaaadakah(tergagap-gagap) aku sedang diuji oleh Allah SWA?  Aku terpaksa menangguhkan tawaf itu sementara kerana pandanganku dicuri oleh tiga orang anak beranak berkulit hitam.
            Seorang pemuda lelaki sedang mendukung ibunya sambil mengheret bapanya pula di tengah lautan manusia yang sedang mengerjakan tawaf.  Kepala ibu tersebut  terlentuk di bahu anaknya menahan kesakitan disondol oleh manusia yang berpusu-pusu dan tolak menolak.  Air matanya membasahi kota Mekah Al-Mukaramah kerana dijemput sebagai Tetamu Allah. Manakala suaminya yang berumur dalam lengkungan awal 80an menjeler-jelerkan lidah sambil mengeleng-gelengkan kepalanya kerana kepanasan.
            Sandiwara ini dipersembahkan oleh Allah kepadaku untuk mencari makna yang tersirat.  Orang yang dhaif dan miskin juga dijemput menjadi Tetamu Allah. Jemputan Allah tidak mengira kaya atau miskin.  Ianya sungguh berbeza dengan jemputan-jemputan biasa yang kita terima. Jesteru itu, alasan mengatakan tidak ada seruan merupakan satu metos untuk membela diri.  Rembas air mataku terus menuju lopak-lopak kasih seorang anak kepada ibu bapanya.  Sementara itu tanganku sempat membetulkan jubah yang ditiup oleh angin kering untuk memulakan tawaf sunat. 
            Benakku masih tersangkut lagi dalam sandiwara tersebut.  Sejukkah air mata ibu yang meleleh di bahu anak?  Panaskah anak yang mendukung ibu dan mengheret bapanya?  Sesungguhnya anak itu mungkin dikurniakan oleh Allah kerana  air mata ibu yang menitik itu sesejuk bagai salji.  Sebab itulah dia dapat menghabiskan tawaf dengan tenang dan tidak termengah-mengah sebanyak tujuh pusingan.  Mungkin dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyewa kerusi roda.  Panggilan Allah mesti diutamakan kalau itulah rezeki mereka.  Adakah mereka meneruskan perbuatan yang serupa semasa syaii?  Persoalan  itu pula  menerjah ilusiku dengan pandangan yang terpukau.
            Aku memulakan tawaf sunat sebagai menyucikan diri yang masih lagi kotor di mana-mana.  Pergerakanku menjadi pelahan di satu penjuru selepas Pintu Mu’tazam.  Begitulah keadaannya apabila tiba di tapak Nabi Ibrahim dan Hijir Ismail.  Dalam masa mencari keredhaan Allah, manusia masih berhati manusia lagi.  Manusia tidak tergamam lagi dengan gambaran manusia di Padang Mahsyar. Manusia pada masa itu digambarkan lebih memikirkan soal diri sendiri. Manusia tidak lagi memperhitungkan fardu kifayah. Semuanya fokus pada diri sendiri untuk ditimbang pahla dan dosa. 
Rupa-rupanya perjalanan itu tersekat-sekat disebabkan seorang perempuan istimewa sedang menyiarap mengelilingi kaabah.  Dia menggunakan dua belah tangan dan siku menolak dirinya bergerak ke depan.  Seorang gadis pembantunya  meminta laluan dan mengepung Tetamu  Allah yang lain.  Aku dimaklumkan kemudian bahawa perempuan istimewa ini hendak melakukannya sendiri.  Penjelasan yangku terima ini disahut dalam hati dengan Allahuakbar.  Pada zahirnya laluan perempuan itu sempit dan melata di datar Kaabah. Tapi laluan baginya dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWA.  Tentu kita hairan dengan kejadian yang ditunjukkan oleh Allah SWA.  Allah SWA bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan menyerahkan nasibnya kepada Allah SWA.  Mereka telah berikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badannya.
            Keletihan baruku rasakan setelah selesai mengerjakan tawaf.  Maklumlah berjalan mengelilingi kaabah dalam bahang matahari terik dan panas.  Setelah minum air zam-zam, aku duduk dalam masjid sambil mengipas-ngipas badan.  Mataku memandang Kaabah yang terpegun hitam dengan sayu.  Sandiwara hidup yangku tonton tadi diputarkan semula dalam ilusi kotak fikiranku.  Nasib abah dan emak sungguh berbeza dengan tiga beranak tadi.  Masa itu aku baru bekerja semasa umur mereka menyusur lapan puluhan tahun.  Aku tidak dapat berbuat apa-apa sebagai langkah membalas budi.  Aku ingin merasakan satu nikmat kepada abah dan emak menjadi Tetamu Allah di Tanah Suci.  Biarlah mereka meratah kelebihan hidup anak-anak setelah terbiar  dalam kemiskinan sekian lama.  Tapi Allah telah menjemputnya pada usia yang telah ditetapkan.
            Aku menutup muka seketika.  Gambaran-gambaran Orang Kurang Upaya pada pandanganku bersilih ganti.  Muka mereka tak berubah langsung seperti yang pernah aku lihat.  Ada yang sedih, suggul, merana dan hiba.  Mereka cacat sejak dilahirkan.  Mereka tidak meminta cacat seperti yang dilihat.  Kecacatan mereka menjadi kebencian orang.  Kebanyakan manusia memandang jijik kepada mereka.  Dia juga hamba Allah. Kecacatan mereka telah ditentukan oleh Qada’ dan Qadar.  Kecacatan mereka mungkin disengajakan oleh Maha Pencipta untuk menguji keimanan insan yang lain.  Lihatlah sandiwara yang dilakukan oleh perempuan tadi. Dia sanggup menjelar mengelilingi Kaabah, merapatkan dirinya dengan Allah.  Sesungguhnya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan bahawa sanya, Nabi Muhamad itu pesuruh Allah.
            Peristiwa-peristiwa yang baru kutonton  ini bukanlah ajaib bagiku.  Ianya adalah gambaran hidup yang ditayangkan dengan berpaksikan ketaatan hamba kepada Maha Penciptanya.  Tekad dan azam akan mengemudikan arah laluan.  Usaha yang tidak tahu makna kegagalan akan menjadi pemangkin matalamat yang dirancangkan tercapai. Seterusnya, sifat bertawakal kepada Allah SWA akan mempercepatkan lagi perjalanan yang penuh dengan onak duri.  Tiba-tiba  satu  suara  merisik  satu  perkhabaran semasa aku berlinang memerhatikan Kaabah. ‘ Sababattttt.  Jangan cepat gundah-gulana.  Pemergian engkau di sini adalah sebagai Tetamu Allah.  Rungkaikan masalahmu yang bersimpul mati.  Inilah satu pesan sebagai hidayahmu.  Musim haji akan tiba nanti.  Kau tahukan apa nak buat? Jadilah anak yang soleh ‘.  Ingatan itu terngiang-ngiang dalam perjalananku ke hotel penginapan.

SUARA SUBUH
Johor
S M SALIM                                          -               Ibu On Ibu
A RAHMAN                                         -               Ayah dan Ibu
KUMPULAN REVOLVERS             -               Namunku Punya Hati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan