Aku menyusuri jalan dari Ledang ke
Johor Baharu. Jalannya lurus berturapkan
tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.
Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah. Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa
tangga? Rumahku memang tidak bertangga. Itulah yang menyenangkan orang masuk di
rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.
Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda
dalam rumah. Habis benda-benda dalam
rumah dilarikan. Gayanya, macamlah cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam
cerita Ali Baba Bujang Lapuk. Aku bukanlah
ada duit dan berharta. Pergilah rumah
orang kaya-kaya. Duitku buat belanja
pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri. MasyaAllah, penyamun terbus. Sampainya hati kamu berbuat demikian. Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah
pinggang.
Januari 31, 2014
S M SALIM
Muzik
Latar : Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca
Coretan : Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam
Jiwa
Intai padi antara
masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Pembaca Coretan : Mula Membacakan Coretan
Aku dah intainya sejak dulu. Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku
membuka kekudup bunga. Intai dan rinduku
hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.
Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi. Ianya hanya
tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu. Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan
sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari
pagi. Titisannya menyejukkan dan kekeringan
tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.
OMAR
Aku mengaminkan selepas
solat berjemaah zohor. Selepas itu aku
bersalaman dengan imam dan koriah masjid.
Pak Omar menyapaku dengan mengangkat mata. ‘ Bila balik?’. Setelah menunaikan solat sunat, aku merapati
Pak Omar. ‘ Semalam, balik dari
Trengganu. Kan rumah Pak Haji Ridzuan
nak kerja kahwin. Tak datang, putus sahabat
dan jiran. Pak Omar sihat? Sahir tinggal
di mana sekarang? Dah lama tak jumpa
dia, bila masing-masing dah berumahtangga dan mempunyai keluarga ‘.
KAK NENG 2
Al-Fatihah buat
Allahyarhamah. Sesungguhnya, Laut Cina
Selatan menjadi halangan kita berjumpa buat kali terakhir. Kerinduanmu, bukannya satu kepura-puraan. Kerinduanmu telahkau rasakan nyawa bercerai
badan. Memang telah aku sangkakan sejak
kita bertemu. Matamu memandang tegak ke
arah syiling rumah tanpa berkelip-kelip.
Tapak kakimu kugaru-garu tidak memberikan reaksi. Sekali-sekali nafasmu membuatkan aku
cemas. Seringkali turun naik, macam
orang hendak menghembuskan nafas terakhir.
‘ Telefonkan pakcik engkau.
Apakah salah emak kepadanya? Emak
rindu dengannya. Rindu orang tua nak ‘,
kata Kak Neng semasa masih boleh bercakap lagi.
SUBUH
Subuh cuba membentisku
berjalan pantas. Aku hampir terjatuh
dalam menyusun langkah. Di pertengahan
jalan kalimah Subhanallah tidak lagi bergamit di mulutku. Mungkin terbenam sahaja di dalam hati. Bukankah janji aku masih sesegar seperti lagu
klasik Malar Segar. Sesungguhnya solat
dan ibadahku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan
mentadbir sekelian alam. Memang, matinya
lafazku nanti tiada bernisan. Tetapi, ianya
tetap subur setelah aku terjumpa perkataan ‘Solat’ lebih 70 kali dalam
Al-Quran.
CINTA SALJI
Istana
tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.
Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang
semula. Tak sangka lebih separuh dekad aku telah membenamkan cinta jauh di sudut hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau
cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan. Cinta juga tak pernah berkubur. Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya
meyapu awan dan dalamnya mencecah ke perut bumi. Gegarannya telah mengejutkan aku terlena dari tidur hampir usia mencapai tujuh puluh tahun. Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh
perjalananku yang sudah berbelit-belit.
Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku
bahawa sinarnya yang ada lagi.
TUA
Gelisah semakin tua mengocak jiwaku
di waktu senja. Lelangit merah menyembunyikan perasaanku yang semakin
lesu. Sajian alam yang dihidangkn oleh
Yang Maha Kuasa dipandang dengan seribu erti oleh insan yang mula sujud dan rebah
ke bumi. Pintu-pintu alam yang semakin sempit kurasakan,
dalam kepekatan usia manusia yang menjulurkan diri masing-masing di celah-celah
lubang. Aku meraba-raba dalam senja merah
yang garang itu, mencari pintu masuk.
Semua manusia menggempur pintu masuk yang cuma satu itu supaya sampai ke
satu tempat yang ditujui. Jangkaan
manusia tersalah andaian rupanya, bila
senja menebarkan kegelapan yang tiada berbayang lagi. Teori klasik manusia hanya digunapakai buat
sedetik waktu sahaja. Sepatutnya sebelum
kehadiran senja, manusia telah bersedia seperti yang ditintakan oleh Maha Yang Berkuasa.
UPSR
Esok akan diumumkan. Anak Azi
pasti mengukir senyuman lebih panjang daripada ibunya. Doa ibu bapanya telah
menjadi seutus kalong azimat setiap
hari. Azi tetap meminta aku berdoa
semoga mereka sekeluarga boleh melemparkan senyuman seperti orang lain. Doa sahaja tak cukup. Aku panjangkan pula dalam Solat Hajat. Nadiah adalah cucuku. Aku ingin Nadiah menjadi macam ibunya. Biarlah Nadiah memulakan satu contoh yang
terbaik dalan keluarga Azi. Lain kali,
adik-adik Nadiah akan mengikut jalan-jalan yang telah dipancangkan oleh Nadia.
PISANG
Tak cukup tangan dibuatnya. Ada sayur kampung. Ada ikan pekasam. Ada pisang dan lain-lain
lagi. Kesian isteriku. Sampai genting-genting jari membimbit beg
plasik. Aku bukan tak mahu ikut. Nak dengar songel Penerbit Radio Klasik. Tak ikut salah. Ikut merana badan. ‘ Buat apa tu bang? Kenapa abang suka minum air manis. Takuttt bang.
Dah bersara ni, baru dapat kencing manis. Selisih Malikat 44. Dah potong sana-sini, barulah abang
menyesal. Tak guna lagi. Nasi telah menjadi bubur ‘, kata isteriku
sambil merasa air dalam cawanku.
SUNGAI BRISBANE
Semester universiti tamat
seketika. Musim cuti yang panjang telah aku
bahagi-bahagikan di New Zealand dan Australia.
Bakinya aku terperap di apartmen bersama kawan-kawan. Sekali-sekali aku melontar pandangan keluar
jendela ke Sungai Brisbane yang berdekatan dengan Universiti Queensland. Di Queensland pun banjir kalau hujan
lebat. Bila air di kuala sungai penuh
dan melempah, tempiasnya terkena juga Universiti Queensland. Kadang-kadang banjir berlaku juga apabila empangan
Sungai Brisbane dibuka oleh pihak berkuasa.
Air melempah menyebabkan universitiku juga turut banjir. Begitulah agaknya peringatan yang diberikan
oleh Allah kepada hambanya. Sekiranya antara kita masih tidak melafazkan
kesyukuran, tunggulah dan lihatlah nanti. Aku mengambil kesempatan menyedarkan
bangsaku di Malaysia, bahawa banjir berlaku di mana-mana sahaja dengan kehendak
Allah sebagai satu ujian.
Langgan:
Catatan (Atom)