Muzik
Latar : Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca
Coretan : Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam
Jiwa
Intai padi antara
masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Pembaca Coretan : Mula Membacakan Coretan
Aku dah intainya sejak dulu. Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku
membuka kekudup bunga. Intai dan rinduku
hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.
Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi. Ianya hanya
tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu. Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan
sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari
pagi. Titisannya menyejukkan dan kekeringan
tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.
Almari kaca bapa saudaraku,
merakamkan satu kepedihan perpisahan seisi keluarga. Gambar-gambar anak yang yang tersiar di surat
khabar, diabadikan di dinding cermin alamari.
Itulah caranya orang dulu mengabadikan satu peristiwa. Perpisahan tanpa rela suami dan anak-anak
menyusuri takdir Ilahi sehingga ke tanah perkuburan. Sedu anak-anak hanya luahan rasa sahaja yang
meminta cinta berbalas menggantikan mereka seorang
ibu. Setiap ada kelapangan, aku ke rumah bapa saudara, merenung poterit anak-anak yang ditinggalkan
oleh ibu mereka tanpa jemu. Kesyahduan
aku membelek poterit tersebut, mungkin diperhatikan oleh bapa saudaraku dengan
hairan.
Kesusahan hidupku, menyebabkan
banjir air mata tidak pernah surut. Aku
berpaut kuat dan berteduh di rumah bapa saudaraku supaya tidak lemas dan
dihanyutkan oleh arus kemiskinan. Di
sinilah, aku baru mengenali radio, TV hitam putih, perakam suara dan pemainan
piring hitam. Telingaku diasak dengan
lagu-lagu berirama ghazal dan asli oleh bapa saudaraku yang dirakamkannya daripada
radio dan piring hitam yang dibeli dari kedai..
Aku mencuri pendengaran daripada bapa saudaraku akan lagu-lagu yang
dirakam atau dibelinya. Setelah bapa
saudaraku meninggal dunia, rakaman dan piring hitamnya bertempiran hilang. Sejarah hidup seorang seniman hilang tanpa
pesan. Tidak ada seorangpun di kampungku yang mempusakainya sehingga kini.
Aku mendengarnya dengan paksa rela.
Mula-mula aku merasa benci. Tapi rindu mula berputik. Halwa telinga
irama ghazal bapa saudara kutolak ke tepi, walaupun Allahyarham Ahmad Jusof dan
Fadzil Ahmad terpekik-pekik meminta simpati.
Aku ingin menjamah rasa irama asli yang mendayu-dayu. Sungguh lazat dan nikmatnya. Mataku selalu pandang-pandang, jeling-jeling bapa
saudaraku. Aku selamba mengambil perakam
suaranya memutarkan tip lagu asli.
Nampaknya bapa saudaraku tak marah.
Kakinya bergoyang-goyang mengikut irama lagu asli, semasa berbaring terlentang. Matanya dipejamkan bagi menambahkan syok lagi
mendengar lagu asli. Tapi siapakah
gerangan penyanyinya?
Waktu itu aku sudah pandai menulis dengan lancar. Aku dah pandai membeli poskad di pejabat
pos. Harganya 10 sen dan siap
bersetem. Cintaku mula berputik dan
memancarkan sinar remaja supaya difahami oleh orang lain. Tapi aku masih tak
berani melakarkan tulisanku dengan pen
atau pena mata bulat. Poskad yang aku
beli hanya tercoret dengan pensil sahaja.
Tapi itulah luahan rasa hatiku bagi menggantikan SMS atau Muka Buku zaman dulu. Kad yang agak cantik kulayangkan untuknya pula
menjelang hari raya. Tapi, siapakah
gerangannya?
Orang memang tak percaya budak darjah empat sudah bermain ‘cinta’. Cinta tidak mengenal pensil kontot untuk
menzahirkan sesuatu. Perasaan sayang
yang dilontarkan menyebabkan aku sentiasa bertanya posmen setiap hari. Mana orang nak baca, kalau tulisan di poskadku
pakai pensil? Mana orang nak balas,
kalau tulisanku naik dan turun macam bukit? Kekalutan ini, mula aku sedari
apabila aku telah dewasa. Kesibukan
memikul tugas terpaksa diutamakan terlebih dulu. Sedikitpun aku tidak marah dan serik. Tapi penantian itu satu penyeksaan. Sejak dulu lagi aku melihat sebutir bintang
yang berkelip-kelip menyebabkan manusia sentiasa memuji-memujanya. Tapi aku sendiri tidak mengenal bintang itu. Adakah aku bertepuk sebelah tangan? Tapi tahukan peminat ADILA gerangan orangnya.
Aku membiarkan orang menuduhku syok sendiri atau OSS. Budak sekolah rendah manalah tahu perkataan
OSS. Dia sekawan menghiburkan penonton-
penonton ketika itu yang lapar dengan hiburan.
Aku terjengkit-jengkit dan terlompat-lompat memerhatikan mukanya dalam
lautan manusia. Dia terus membuat
persembahan tanpa memperdulikan seorang kanak-kanak yang sedang terpegun
memerhatikannya. Kata-katanya dalam
Suara Emas memamg aku setuju.
Persembahannya hampir tengah malam.
Dia menyanyi. Dia juga berlawak
dengan rakan-rakannya. Dia juga menjadi
juruacara. Dialah penjual suara yang
sebenarnya dan membawa balik wang yang tidak seberapa seperti mana yang
dijanjikan. Mungkin juga ia putih di mata dan putih di hati kerana dimanupulasikan
oleh peranjur pertunjukan.
Suaranya melayang-melayang dibawa angin sehingga aku macam tidak percaya
suaranya lagi. Dalam nada yang
terketar-ketar dan terputus-putus, aku masih lagi mengecam suaranya dalam Suara
Emas semasa dia mencelah suara Adibah yang begitu mantap menjelaskan peribadi
penyanyi yang tersohor itu. Biarlah
suara dia begitu kerana umurnya sudah lewat 80 tahun. Vokalnya tidak tidak menimbulkan masalah
semasa mudanya. Carilah mana-mana penyanyi
yang mirip suaranya dari Perlis sampai ke Sabah. Hanya ‘Satu’ sahaja seperti mana tajuk lagunya.
Bolehku katakan, Satu sahaja atau Satu Malaysia.
Pencak silatnya dalam ‘senandung asli’ Suara Emas, kurakamkan dalam
beberapa buah kaset untuk tatapan anak cucuku.
Sebenarnya, aku terpaksa menanti lebih kurang lima puluh tahun,
menggubah sebuah coretan hidupnya menjadi sebuah jambangan bunga di mejaku. Perjalanan hidup anak seni ini telah
kurasakan sekian lama dari majalah, surat khabar, radio dan tv. Isi hatinya, kuteliti dan kudengar
berkali-kali secara tersurat dan tersirat dalam lagu-lagunya. Seekor burung putih mendepakan sayapnya
melayang-layang dan berlegar di atas kepalaku.
Mulutnya berkomat-kamit membisikan lagu Musalmah Manis. Manakala, Cik
Sulong yang berada di tanah, lantas mengutip suara-suara yang bertaburan
bersirai, mendayu-dayu tanpa rupa. Lantas,
lelangit yang biru pula terbuka luas memaparkan satu imej biduan yang ditutup
awan. Perlahan-perlahan angin yang berpuput
lembut menderukan gelombang angin bunga tanjung yang akan gugur ke bumi.
EMBUN
MENITIK
Johor
Pembaca
Coretan - ABD RAHMAN ISMAIL
Lagu-lagu
pilihan berasaskan Lagu-lagu Suara Emas.
S M
SALIM - TERBANG BURUNG
S M
SALIM - BURUNG PUTIH
S M
SALIM - SAYANG CIK SULONG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan