Januari 31, 2014

PISANG



                Tak cukup tangan dibuatnya.  Ada sayur kampung.  Ada ikan pekasam. Ada pisang dan lain-lain lagi.  Kesian isteriku.  Sampai genting-genting jari membimbit beg plasik.  Aku bukan tak mahu ikut.  Nak dengar songel Penerbit Radio Klasik.  Tak ikut salah.  Ikut merana badan.  ‘ Buat apa tu bang?  Kenapa abang suka minum air manis.  Takuttt bang.  Dah bersara ni, baru dapat kencing manis.  Selisih Malikat 44.  Dah potong sana-sini, barulah abang menyesal.  Tak guna lagi.  Nasi telah menjadi bubur ‘, kata isteriku sambil merasa air dalam cawanku.

            ‘ Ni, saya belikan sesikat pisang untuk awak.  Manis pisang ni, tapi mahal sedikit.  Dah berapa kali saya pergi ke pasar.  Tapi tak pula berjumpa pisang ni.  Bagus makan pisang ni.  Banyak kandungan serat.  Tak apalah kalau kita selalu makan nasi minyak di hujung minggu selalu ‘, kata isteriku lagi sambil mengemaskan barang-barang yang dibelinya.
            ‘ Kenapalah isteriku beli pisang lemak manis.  Bukanlah dia semasa anak dara dulu bergelar pisang lemak manis.  Orang muda zamanku dulu menggelarkan budak perempuan, ‘pisang’.  Kalau terlalu cantik lagi dikatakan ‘jambu’.  Isteriku dulu kurus dan peramah.  Tak pernah marah pada lelaki yang suka mengusiknya.  Makin diusik makin lemak.  Makin diusik makin manis.  Tak macam pisang-pisang lain, seperti pisang ambun, pisang kelat, pisang nangka, pisang boyan dan lain-lain lagi.  Kalau dengan pisang kelat, jawapannya pendek - bo layan.  Dahlah mukanya masam.  Takut lelaki nak mengusiknya.  Balik-balik pisang lemak manis juga.  Pisang tanduk pula, orang takut juga.  Besar sangat Mak Ngah.  Nanti orang menegurku bila jalan berdua selepas jadi pengantin baru ‘.
            ‘ Kenapa kawan-kawan abang mengelarkan Ayang, pisang?  Ayang tak marahhh.  Tapi, tersentuh juga kalau mereka memanggil Ayang, peria.  Pahit bang.  Abang pun tak makan peria bila Ayang masak campur udang basah.  Tak kuasa beli peria di rumah ini, walaupun boleh buat ubat ‘. Songel isteriku lagi, macam ada benda yang hendak disampaikan bila dah tua-tua ni.  Itu cerita dulu.  Cerita dulu-dulu memang menggamit kenangan.  Tak percaya ke? Tanyalah Tip Top di Radio Klasik.  Kenangan seseorang hanya ada dalam ADILA sahaja.  Kitapun boleh mengenang kenangan lama bila berbual-bual balik dari pasar.  Tapi tak berkongsilah dengan pendengar Radio Klasik.
            ‘ Suara Ayang dulu cukup sedap.  Macam  biskut ‘cream cracker’ cecah air kopi.  Bila tarik nafas, kalah orang Arab, semasa Ayang membaca berzanji. Kami  mencari lantai yang berlubang untuk memasukkan surat kecil hendak berkenalan dari bawah rumah.  Tak taulah siapa yang menerimanya.  Kalau pisang ambun dan boyang tak apalah.  Takut pisang kelat, pisang tanduk dan pisang nangka yang menerimanya.  Takut jatuh ke tanah.  Macamlah buah nangka atau cempedek jatuh ke tanah.  Benyek habis.  Kami memang sengaja ke rumah pengantin perempuan sebelum dilangsungkan perkahwinan pada waktu siang.  Abanglah yang menyebut, Allah, Allah semasa Ayang membaca berzanji.  Makin Ayang menarik nafas panjang, makin lamalah abang menyebut Allah.  Akhirnya, kita jadi juga suami isteri ‘. 
‘ Sekarang dah tiada berzanji lagi.  Tenguklah anak perempuan kita kahwin dulu.  Mereka dah tiada masa nak belajar berzanji.  Lepas habis belajar di universiti, terus sahaja kahwin.  Sebab itulah pengantin sekarang muda-muda belaka.  Dulu agak lewat sedikit umur pengantin perempuan.  Sebelah malam, dah tiada lagi jemputan anak-anak dara.  Dah tak payah lagi pandai berzanji.  Dah tak payah lagi balik ke rumah pukul 4 pagi.  Memang ketawa, bila kita mengenangkan masa berendut dulu.  Bukan senang nak jumpa perempuan sekampung dulu.  Tapi, abang kahwinlah dengan perempuan kampung sendiri.  Jimat belanja. Tak payah cari orang Utara, Pantai Timur dan sebagainya.  Mana tidak, kalau ibu bapa yang jodohkan dengan budak prempuan kampung sendiri ‘.
‘ Orang kampung biasalah dengan majlis akad nikah.  Tak pernah majlis akad nikah dibuat pada waktu siang.  Selepas solat Isya’, aku dan Ayang dinikahkan sebagai suami isteri yang sah.  Tenguk muka imam sahaja kecut perut.  Apalah soalan Tuan Imam padaku?  Aku dah bersedia dengan jawapan yang biasa ditanyakan oleh Tuan Imam.  Selamat rasanya, apabila kami telah dinikahkan.  Aku balik ke rumah dengan meninggalkan Ayang bersama kawan-kawannya membaca berzanji.  Dah habis berzanji, mereka bernasyid pula.  Mereka bersengkang mata hingga pukul 4 pagi.  Masa itu ayam dalam reban telah berkokok menerima kedatangan waktu fajar.  Pemuda seiring bersaing balik dengan gadis-gadis menuju ke rumah masing-masing.  Pada masa itulah minyak-minyak urat pemuda-pemuda diurut oleh gadis-gadis.  Aku pulang ke rumah kerana gembira telah beristeri.  Ayang pula merana kerana tak boleh tidur seperti biasa ‘.
  Ayang tak nyenyak tidur.  Mungkin teringatkanku.  Terkebel-kebel matanya memikirkan aku.  Esok, kami akan dikompangkan pula.  Boleh tak pengantin tak tidur semalaman? Dah tentu sembab muka, macam orang baru bangun tidur.  Aku juga masih membayangkan Ayang di rumahnya.  Macam mana Ayang tidur selepas penat membaca berzanji?  Ayang mungkin tidak penat.  Bukan dia seorang sahaja berzanji.  Kawan-kawannya akan sambung dan terus sambung sehingga tamat.  Biasanya hidangan untuk anak-anak dara pula bermacam-macam.  Ada nasi dan lauk-pauk, kuih-muih, roti jala dan air teh atau kopi panas.  Perut anak-anak dara bukannya besar sangat.  Ada pula yang nakal membukus kuih-muih untuk dibawa balik ‘.
‘ Ayang memang tidak boleh nyenyak tidur.  Rambutnya tinggi macam sarang tabuan.  Sebelum upacara nikah, Ayang dah bersiap sedia membuat rambut sarang tabuan di kedai.  Buat sekali sahaja untuk malam dan esok.  Ayang perlu jaga rambutnya supaya sentiasa keras dan tidak terburai.  Dengan itu Ayang mesti tidur dengan duduk.  Kalau Ayang rasa tidak selesa, dia mesti menangkor kepalanya atau tidur meniarap sahaja supaya rambutnya tidak rosak ‘.
Hem.....aku mengambil kitab berzanji sementara menantikan masuk waktu zohor.  Ayang memerhatikan aku sambil melekek-lekek.  Berhenti kapal terbang di udara mendengar aku membaca berzanji.  Hujan yang sedang turun pula boleh berhenti bila angin membawa suaraku berlagu-lagu. Tak salah aku belajar berzanji dengan Ayang.  Kali ini aku berguru dengan Ayang.  Esok, Ayang pula belajar denganku dalam lain perkara.  Suami isteri mesti tolong-menolong.  Barulah rumahtangga berada di syurga.  Nanti aku akan membaca berzanji di masjid atau di rumah-rumah kenduri.  Aku nak menghidupkan bacaan berzanji di rumah-rumah pengantin yang telah hilang.

ISMAIL ABD RAHMAN
Ampangan
NS.

 

R.ISMAIL                                              -           PENGANTIN BERSANDING

P. RAMLEE                                          -           GETARAN JIWA

AHMAD JAIS                                       -           ASMARA DEWI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan