Semester universiti tamat
seketika. Musim cuti yang panjang telah aku
bahagi-bahagikan di New Zealand dan Australia.
Bakinya aku terperap di apartmen bersama kawan-kawan. Sekali-sekali aku melontar pandangan keluar
jendela ke Sungai Brisbane yang berdekatan dengan Universiti Queensland. Di Queensland pun banjir kalau hujan
lebat. Bila air di kuala sungai penuh
dan melempah, tempiasnya terkena juga Universiti Queensland. Kadang-kadang banjir berlaku juga apabila empangan
Sungai Brisbane dibuka oleh pihak berkuasa.
Air melempah menyebabkan universitiku juga turut banjir. Begitulah agaknya peringatan yang diberikan
oleh Allah kepada hambanya. Sekiranya antara kita masih tidak melafazkan
kesyukuran, tunggulah dan lihatlah nanti. Aku mengambil kesempatan menyedarkan
bangsaku di Malaysia, bahawa banjir berlaku di mana-mana sahaja dengan kehendak
Allah sebagai satu ujian.
Masa yang agak panjang
memberikan peluang kepada aku merapatkan semula hubungan dengan negaraku yang memang
jauh di mata. Rinduku dah lama
bertaburan di permukaan Sungai Brisbane.
Tapi aku sengaja melemparkannya di helaian buku-buku yang kubaca untuk
menghadapi ujian dan peperiksaan. Namun
begitu, kerinduan itu terpekik terlolong mengganas apabila tiada lagi masa yang
mencemburui aku menyediakan diri dengan ujian dan peperiksaan. Jiwa ini sungguh terusik semasa negara sedang
bersedia menjalankan Pilihanraya yang baru lepas. Aku memamg tak mudah menerima berita-berita
yang tersibar dalam internet.
Gambar-gambar tunjuk perasaan, sungguh mencalar-balarkan tubuhku yang
berada di perantauan. Kami tempias merasakan
satu kepedihan yang dilakukan oleh manusia-manusia yang mengaku diri mereka bertamaddun.
Untuk menghabiskan masa
yang banyak lagi, kami sengaja berjalan kaki menyusur di tebing sungai, melihat
keindahan alam. Mata kami tertumpu pada satu objek di tengah sungai. Makin lama objek itu makin besar dan jelas
kelihatan. Sebuah istana lama hanyut
berbuai-buai dihanyutkan oleh arus Sungai Brisbane. Sungguh asing penglihatanku dipukau oleh
istana tersebut. Orang-orang di situ
kelihatan sibuk ke hulu hilir.
Hiruk-pikuk mereka tersibar di Nusantara kerana berjaya menenggelamkan
sebuah kerajaan lama dulu yang bergelar kerajaan Seri Vijaya. Lamunanku itu cuba meneka dalam kesamaraan
fakta-fakta sejarah yang asing bagiku.
Seorang lelaki tua bercakap sambil diangguk-anggukkan oleh rakyat jelata
jelata. Kenapa mereka menggangguk dan
membenarkan kata-kata orang yang akan rebah ke bumi? Orang yang dah nyanyuk, tidak ada siapa yang
hendak ikut? Dia dah tua. Orang tua dah ketinggalan zaman. Cakapnya dah tumpul macam parang panjang di dapur
kampungku. Nasib tak baik, dia akan bercakap
seorang diri sahaja. Tak siapa nak
melayannya.
‘ Sudahkah engkau membaca
atikel Sejarah Kegemilangan Melaka yang kuberikan padamu minggu lepas. Takkan masih tak kenal lagi wahai seorang
jurutera. Janganlah fikiranmu sahaja
yang kehadapan sehingga engkau terlupa sejarah bangsamu sendiri. Itulah Tun
Perak. Bendahara yang bertanggungjawab
mencetuskan Sejarah Kegemilangan Sultan
Melaka ‘, kata suara itu yang memecah iguanku mengikuti sampah-sampah yang
hanyut di Sungai Brisbane. Aku
memejamkan kedua-dua mata supaya apa yang aku lihat tadi datang lagi. Apa yang diharapkan tidak kunjung tiba. Aku disergah oleh Lima Pemuda Bersaudara pula. Kelima-limanya sebagai benteng terakhir
menentukan Melaka tidak akan rebah ke bumi buat selama-lamanya meninggalkan
sejarah. Mulutku sentiasa berkomat-kamit
mengikut sahaja kata-katanya. ‘ Tidak
Melayu Hilang Di Dunia. Ingatlah
pesananku sampai bila-bila. Setitik niat
jadikan lautan. Sekepal pengorbanan
jadikan gunung. Kita boleh berkonflik dengan
berlainan arah. Tapi semuanya mesti tetap
menuju ke satu arah sepertiman engkau menghadap Kiblat. Pantai tak pernah melupai ombak ganas yang
mencalar-balarkannya. Tapi pantai tetap
setia, seperti isi dengan kuku yang menanti kedatangan ombak yang
bergulung-gulung seperti yang engkau lihat di pantai Queensland. Belajarlah dengan ombak dan pantai. Banyak perkara yang tersirat jika engkau
telah sedar sejak bermimpi di negara asing ‘.
Memang sejak dulu lagi,
aku telah bermain api. Walaupun kulitku
pernah terbakar, tetapi wajahku belum hodoh lagi di persada dunia. Bangsa lain memang tidak pernah melihat aku yang
pernah terbakar. Yang terbakar adalah hati
kecilku dalam perkhemahan-perkhemahan dan sesuatu perjumpaan yang
dirancangkan. Kebakaran hanya buat
seketika sahaja untuk dipadamkan. Air
mata, keringat dan darah pernah sewaktu dulu disimbah di sana sini berbaldi-baldi
pengorbanan bangsaku. Asap kebakarannya
masih lagi menggabuni di kawasan Nusantara.
Mataku berair dalam asap kebakaran yang bertiup semula. Kebelakangan ini, kesayuanku terusik lagi
bila aku terdengar seruling bambu. Batinku menjerit-jerit kepiluan bila lagu
tersebut diputarkan oleh Radio Klasik saban hari. Lagu itu mengingatkan aku semula seorang
kanak-kanak yang sedang bermain api.
Terima kasih Zila Seerol kerana meyegarkan ingatanku dengan lagumu.
AFIDIN NOR MUHAMAD
Australia.
Pembacanya - NASIR SAID
WARISAN - JASA BONDA
KEMBARA
- LAGU UNTUK SEORANG IBU
ZILA SEEROL - WARISAN (ANAK KECIL MAIN API)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan