Al-Fatihah buat
Allahyarhamah. Sesungguhnya, Laut Cina
Selatan menjadi halangan kita berjumpa buat kali terakhir. Kerinduanmu, bukannya satu kepura-puraan. Kerinduanmu telahkau rasakan nyawa bercerai
badan. Memang telah aku sangkakan sejak
kita bertemu. Matamu memandang tegak ke
arah syiling rumah tanpa berkelip-kelip.
Tapak kakimu kugaru-garu tidak memberikan reaksi. Sekali-sekali nafasmu membuatkan aku
cemas. Seringkali turun naik, macam
orang hendak menghembuskan nafas terakhir.
‘ Telefonkan pakcik engkau.
Apakah salah emak kepadanya? Emak
rindu dengannya. Rindu orang tua nak ‘,
kata Kak Neng semasa masih boleh bercakap lagi.
Aku memang dah bersedia
menyelam ke dasar laut dengan pakaian menyelam.
Nak lihat sendiri kerosakan engin mencari-gali minyak dan gas di Miri,
Sarawak. Aku merenung air laut yang
kebiruan. Bilalah air laut ini akan
surut? Tak payah aku menyelam berjam-jam membetulkan mesin yang terkehel itu.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku
bergegas bercakap sebelum menyelam ke dasar laut. Aku dikhabarkan dalam SMS oleh anak Kak
Neng. Emak telah meninggal dunia di
hospital pada jam 8.30 pagi Isnin.
Selepas asar mayatnya dikebumikan.
Suara anak saudaraku tersekat-sekat.
Berita itu menyebabkan aku
terasa kesejukan ketika matahari menunjukkan diri. Aku membuka butang baju dan meletakkan semula
di tempat yang disediakan. ‘ Tak
menyelam ke hari ini? Minyak yang keluar tersekat-sekatlah. Cubalah tenguk ‘, kata seorang jurutera yang
baru keluar universiti luar negeri. ‘
Badan seram sejuklah dengan tiba-tiba.
Tak sehat hari ini. Awak
sahajalah yang menyelam. Tambahkan lagi pengalaman
‘, jelasku pendek.
Aku terperanjat Kak Neng
meninggal. Baru balik menziarahinya sebelum bertugas di
Miri, Sarawak. Aku beredar di tepi pelantar
seorang diri. Nak balik ke daratan kena
naik helikupter tempahan. Dah sampai
daratan kena naik belon pula ke Semenanjung.
Naik belon yang murah bukan main-main cakap-cakap sahaja. Kena tempah dulu. Kalau naik belon mahal kena tunggu jadual
penerbangannya. Aku doakan sahaja agar upacara
perkebumiannya selamat. Tak payah tunggu
aku. Makin cepat, makin baik. Tak seksa mayat berjam-jam tunggu aku. Kasih sayang kami telahpun putus. Hanya coretan sahaja yang membongkar kenangan. Kenangan aku bersama Kak Neng.
Paloh, Keluang tak sehebat
mana seperti Kuala Lumpur. Paloh tahun
50han. Kak Neng mengajak aku naik kereta
api ke sana. Nak rasakan adik naik
kereta api dari Keluang ke Paloh. Kenangan naik keretapi diumpan oleh Kak Neng
dengan sehelai baju kemeja bercorak kapal layar. Dia sengaja, tanamkan semangat kepada diriku belayar
di negara orang cari pengalaman. Abah
dan emak hanya ketawa saja kerana termakan budi Kak Neng kepada adiknya. Kerja estet getah bukan tak boleh menabur
jasa. Gaji estet bukan tak boleh
membalas budi abah dan emak. Hidup mesti
berbudi jika nama nak dikenang orang.
Aku beredar dari
situ. Tak mahu melihat laut ke
dasarnya. Aku memang tak nampak
apa-apa. Aku akan merayap dalam diri kak
Neng tanpa sempadan. Orang dah meninggal
mesti disebut-sebut jasanya. Dia anak abah
yang tua. Walaupun dia anak angkat Cina,
tapi dia tetap kakakku. Mana boleh putus
adik beradik kalau kesusahan hidup diratapi bersama. Makan ikan haruan dan ikan keli, mesti sama
mimpinya. Tentu mimpikan ikan darat
juga. Tak pernah mimpikan ikan laut. ‘
Bilalah kesenangan dapat kakak rasakan.
Umur belasan tahun sudah berumahtangga.
Ketika mendapat dua anak, suami pula meninggal dunia. Abah pungut kakak dari estet diam di rumah
abah. Anak pula bekerja kampung
sahaja. Tak mahu belajar tinggi macam
adik. Susah kakak memikirkannya ‘, kata
Kak Neng mengenangkan nasib dirinya.
Darah Kak Neng tetap
merah. Maksudku ialah kalau dah Cina, darahnya tetap ada darah peniaga. Aku selalu diajak oleh kak Neng ke
pasar. Beli anak-anak ikan dan udang
belacan. Kak Neng belah ikan dan jemur
ikan atas zink. Kak Neng garam udang dan
tumbuk dalam pasu kayu buat belacan sekepal-sekepal untuk dijual. Kak Neng belah perut ikan. Kak Neng selalu
belah perut ikan sebelum dijemur. Siapa
yang belah perut kak Neng untuk meratap perasaannya? Perasaan Kak Neng hancur lumat macam udang
yang ditumbuknya. Cerita Kak Neng adalah
cerita keluargaku. Tak perlu dihebuhkan
kepada orang lain. Biarlah Kak Neng
meyimpul tangisannya yang sudah lali.
Biarlah dia mengesat air matanya dengan kain buruk yang tersangkut di
dapur. Kesusahannya tidak dapat menggenangkan
air mata untuk dikongsi.
Nasib Kak Neng memang
tidak dipedulikan oleh saudara-mara terdekat. Kak Neng dapatlah dua puluh
ringgit setahun semasa pemberian zakat fitrah. Pemberian itu wajar kerana Kak
Neng seorang balu. Ada dua orang anak
lelaki masih kecil. Dia juga seorang saudara baru. Pemberian itu disambut oleh Kak Neng dengan kesyukuran. Ada insan yang masih simpati dengan kehidupan
Kak Neng bila abah dan emak telah meninggal dunia. Sepatutnya Kak Neng dah lama senang. Adalah sedikit harta benda daripada peninggalan
ibu dan bapa mertuanya. Mana tak senang
kalau bekas suaminya merupakan anak tunggal.
Tentu dia boleh mengaut harta ibu dan bapa mertuanya sekiranya suaminya
masih hidup lagi. Kesedaran keluarga
mertuanya, baru mengetuk pintu hati. Kak
Neng boleh menuntut bagi pihak suaminya.
Apa pula anak Kak Neng yang dua orang itu? Kedua-duanya lelaki dan boleh menuntut hak
bapanya. Aku masih teringat perasaan Kak
Neng. ‘
Hidup Kak Neng beginilah selama-lamanya.
Kesenangan tidak akan menjenguknya sehingga kakak menutup mata ‘,
jeritaan hati Kak Neng yang meminta simpati orang ramai
Kak Neng pula memang dah
biasa menoreh getah. Maklumlah lama
duduk di estet. Aku mengejar-gejar Kak
Neng yang baru balik menoreh. Semasa
menunggu susu getah dipungut, Kak Neng mencari sayur paku di celah-celah
belukar dan semak-samun. Kak Neng
membuka tudung kepalanya. Dari tudung kepalanya
bergolek beberapa biji duku. Aku berebut
makan duku dengan adik beradik yang lain.
Buah duku tersebut telah mendapat kebenaran daripada Wak Meon. Kak Neng bukan memanjat pokok duku tersebut. Dia tak tahu memanjat macam Wak Meon. Kak Neng hanya punggut buah-buah duku yang
jatuh bertaburan di atas tanah. Memang manis
duku tersebut seperti kenangan yang ditinggalkan oleh Kak Neng. Masamnya hidup Kak Neng, menyebabkan aku menangis
seorang diri. Sesungguhnya, Bandar Miri melabuhkan
kenangan, perjalanan hidup Kak Neng yang aku luahkan.
ADI ADIDI
Bandar Saujana Putra
Selangor
Pembaca coretan - ABD RAHMAN ISMAIL atau NASIR SAID
Lagu-lagu iringan:-
ORKID ABDULLAH - DENDANG KAYANGAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan