Januari 31, 2014

SUBUH



            Subuh cuba membentisku berjalan pantas.  Aku hampir terjatuh dalam menyusun langkah.  Di pertengahan jalan kalimah Subhanallah tidak lagi bergamit di mulutku.  Mungkin terbenam sahaja di dalam hati.  Bukankah janji aku masih sesegar seperti lagu klasik Malar Segar.  Sesungguhnya solat dan ibadahku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.  Memang, matinya lafazku nanti tiada bernisan.  Tetapi, ianya tetap subur setelah aku terjumpa perkataan ‘Solat’ lebih 70 kali dalam Al-Quran.

            Perjalananku pada waktu subuh sungguh mendamaikan hati.  Ianya seperti bayangan syurga yang kekal dan abadi.   Manusia tidak lagi merasa terancam dan gelojoh merebut harta dunia yang sahih dan batil. Bermula dari subuhlah, kalau nak berjaya di dunia dan akhirat.  Tabir alam mungkin dilabuhkan apabila lidah menjadi keras. Mulut pula tidak berkomat-kamit lagi.  Kalau kita inginkan kejayaan, kita hendaklah meneladani orang-orang yang telah berjaya dan orang-orang yang mendapat nikmat dariada Allah Subhanahuwataallah.  Mungkin kita terlupa, bahawa prinsip ini telah digunapakai oleh Nabi Muhamad SWA sejak dulu lagi.
            Konfik nilai membuka kolapak hidupku yang sedang berkembang dalam perjalanan.  Ianya terbuka dalam sedar, setelah  meneguk rahmat daripada Allah.  Jangan cakap berputar-putar sahaja, semasa lidahku mengingatkan insan di mana-mana majlis ilmu.  Bukan nak takutkan manusia, tapi lebih nak menyedarkan sahabat-sahabatku. Agak lebih mudah menyebutkan iman, tetapi aku sukar menusukkan iman dalam hati manusia.  Lidah dan hati tidak sama berganding tangan.  Lisan sahabatku bertentangan dengan perbuatan.  Sepatutnya, mukmin yang sejati perkataannya seiring dengan apa yang ada di hatinya.  Kukata kepadamu sahabat, bahawa permulaan subuh ini bermulanya satu ujian kepada kita.  Allah dapat membezakan orang yang jujur dengan orang yang dusta.
            Ujian yang kulalui ini amat sukar, tapi boleh dijawab dengan lancar.  Tiada soalan yang mustahil dan agak seimbang pertanyaannya.  Pokok pangkalnya pada qalbu, yang kita sendiri tidak mengenalinya.  Lantaran itu, marilah kita mengenali diri kita. Tak payah bersolek atau berdandan.  Segala-galanya adalah hanya satu peluang menconteng diri menjadi indah, sedangkan Allah mengetahui apa yang ada dalam qalbu kita. Tidak ada salahnya kita menyuci diri untuk berjumpa Allah di pagi subuh.  Dengarlah dengan hati, kerana pada waktu itu azan subuh sungguh membezakan azan waktu-waktu solat lain.
            Dengarlah dengan hati, bukannya dengan telinga. Pertemuaan dengan Allah itu disaksikan oleh masa dan hamba Allah yang lain dari langit, turun ke bumi bersama-sama solat.  Rasa kesyukuranku kepada Allah melempah-ruah kerana aku dimatikan sebentar waktu dan dihidupkan semula terus mengenal diri sampai mati.  Aku tidak berdaya dan terpaksa meminta perlindungan daripada Allah sejak subuh lagi.  Tangan ditadah meminta aku diketemukan jalan yang lurus dan masih belajar berkali-kali tentang kebajikan tanpa jemu-jemu. Cerminan diriku biasa-biasa apabila kuhadap melihat bebayang rupaku yang bertukar-tukar setiap hari.  Tapi, hati dan fikiranku masih jernih walaupun gelora qalbu meranapkan bukit-bukau dan gunung-ganang yang tersergam hitam.  Seperti biasa, kutinggal lama di sana dengan membaca kalam Ilahi yang tak akan berlaku kemarau di tanah yang tidak berair.  Sementara itu berilah masa yang agak lama sedikit, bagi aku melangsaikan dosa-dosaku setiap hari selain mendirikan solat taubat. Sejak subuh lagi aku merasa kebahagian, ketenangan dan kepuasan diri. Mungkin doaku dimakbulkan dalam kepayahan menyebutnya dan meminta-minta berulangkali tana jemu.
            Peristiwa tadi bagai melintuk ditiup angin pagi dan terus berbayang-bayang di mata yang mula penat.  Mata dikejutkan kenderaan-kenderaan di jalanraya yang sungguh laju mengejar tempat-tempat yang hendak ditujui.   Aku menoleh ke kiri kanan jalanraya untuk melintas.  Dua garis lurus berkembar terlentang di jalan raya.  Papan-papan tanda Had Laju, Masjid, Sekolah dan Klinik menoleh kenderaan yang lalu-lalang dengan sejuta pertanyaan? Hukum Allah syumur sampai bila-bila. Hukum dunia yang berdasarkan logik dan rasional, mudah diputarbelitkan oleh manusia.  Lantaran itu, terlalu sukar manusia mematahui peraturan yang telah ditetapkan.  Perkataan cepat lebih penting daripada hukum dan peraturan.  Mereka memang cepat sampai dengan tiada apa-apa bekalan untuk sampai di sana.  Di sana, tidak sama dengan di sini kerana di sana tiada jalan lagi untuk balik ke sini setelah letih berjalan sepanjang usia.
            Tiba-tiba hati ini dihiris kesedihan.  Bau-bau setanggi kasturi menyelinap masuk ketika aku berseorangan berdiri di ruang sunyi. Saf-saf yang hanya satu atau dua baris susut disebabkan hati yang tidak tekal.  Sahabat-sahabatku yang biasa duduk di tempatnya hilang tidak kusedari dalam usia yang tidak boleh ditentukan.  Tinggallah bayang-bayangnya sahaja yang menggamit aku bersalaman dengannya dulu. Yang tua mula hilang setelah mereka mengenal tua.  Yang muda pergi menghambat tua yang sedang menanti. Kesayuan diri menjuraikan air mata di waktu subuh. Lantaran itu, aku terasa sentiasa menyusun tapak kakiku terkemut-kemut semasa keluar berduyun-duyun dari Masjid Haram ketika menjadi Tetamu Allah.   Sentuh menyentuh berbilang bangsa, tidak lagi membezakan pangkat dan darjat manusia.  Itulah yang sejelas-jelasnya dikhabarkan oleh subuh yang baru mengenali pagi. Daun-daun yang berubah warna kekuningan cokelat akan terus melayang-layang gugur ke bumi.
            Matahari baru panjang sejengkal bila kubuka jari tanganku. Aku berdiri dengan tawaduk merendahkan diri semasa Duha menjemputku memohon rezeki yang sudah tak terkira lagi.  Begitu pemuruh Dia menghidangkan rezeki kepada isteri, anak-anak dan cucuku.  Dia terus menyeruku semasa aku terasa kekenyangan.  ‘ Wahai orang yang beriman!  Jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan  tapak penderian kamu. Dia menambah lagi bila aku sedawa dan menguap sambil memejam mata.  ‘ Dirikan olehmu solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan dirikanlah solat subuh, sesungguhnya subuh itu disaksikan (ada keistimewaannya) ‘.
            Memang tak mudah aku menyusur akar kalau kail panjang sejengkal. Gunakanlah akar kalau rotan belum dipunyai lagi.  Rotan yang keras boleh dijadikan tongkat oleh manusia.  Mata dan hati tidak lagi melengkapkan seluruh tubuh badan manusia.  Di hujung tongkat itulah diletakkan mata dan hati oleh si buta yang meraba-raba dalam kegelapan. Kegelapan hidup akan tersingkap juga akhirnya, di balik daun-daun hijau yang disirami oleh embun subuh.  Curahannya tak sederas hujan yang mencurah-curah.  Tapi cukup membelai manusia menunggu kerinduan di waktu subuh sambil memanjangkan doa kepada Ilahi.


SUARA SUBUH
JOHOR
Dibacakan oleh Suara Hatiku -           DJ EBBY HALIM.

 

AHMAD JAIS                            -           DI AMBANG SENJA

AZIZ JAAFAR                            -           INIKAH SURATAN HIDUP

JAMAL ABDILLAH                    -           SEPI SEORANG PERINDU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan