Januari 31, 2014

WAK MISRAN



                Aku menyusuri jalan dari Ledang ke Johor Baharu.  Jalannya lurus berturapkan tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.  Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah.  Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa tangga?  Rumahku memang tidak bertangga.  Itulah yang menyenangkan orang masuk di rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.  Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda dalam rumah.  Habis benda-benda dalam rumah dilarikan.  Gayanya, macamlah  cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk.  Aku bukanlah ada duit dan berharta.  Pergilah rumah orang kaya-kaya.  Duitku buat belanja pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri.  MasyaAllah, penyamun terbus.  Sampainya hati kamu berbuat demikian.  Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah pinggang.
            Aku redha sahaja perbuatan pencuri itu. Kalau Allah nak bayar ganti rugi, aku boleh dapat berganda-ganda lagi. Nak bising-bisingpun dah kena curi.  Barang-barang yang lesap terus lesap.  Duit yang hilang terus hilang tanpa berganti.  Di manakah kucari ganti seperti kata Allahyarham P Ramlee.  Aku maafkan sahaja kepada pencuri.  Biarlah hatinya terbuka luas menginsafi perbuatannya mengikut jalan pendek. Mereka hendak senang walaupun salah tindakan mereka.  Bukankah memaafkan seseorang itu mulia dan disuruh agama Islam?  Hairan juga jika pencuri memilih rumuhku.  Bukan ada apa-apa.  Kalau lapar masak saja beras dalam tong.  Tiada lauk, patahkan sahaja lada dengan kicap.  Tak pedas juga petik sahaja cili padi yang kutanam di hujung rumah.  Nak sedap lagi bubuhlah ikan bilis yang baruku beli di pasar tani.
Kesedihanku yang bertimpa-timpa itu menyebabkan aku terduduk di atas katil sakit.  Mana tak sedih kalau aku dikhabarkan tentang kakak sulungku meninggal dunia.  Tempat yang sakit bertambah sakit.  Tempat yang tak sakit pula jadi sakit.  Mati hidup ditentukan Allah. Aku sedih kerana tak jumpa dengan kakakku. Macam mana pula kalau aku pula meninggal dunia? Kehilangan kakak, bermakna kehilangan tempat mengadu.  Ada masalah, aku mengadu dengan kakak.  Kakak beri nasihat begini dan begitu dengan titisan air mata.  Dengan ketiadaan kakak lagi, aku terpaksan menanggung segala-galanya. 
Nasib baiklah aku bertemankan Radio Klasik.  Isteriku yang membawa radio kecil.  Dia tahu sahabat sejatiku.  Aku buka perlahan-lahan mendengar Radio klasik.  Bukan naik motorsikal saja dengar Radio Klasik.  Nak kena bedahpun mesti dengar Radio Klasik. Aku boleh senyum sendiran apabila DJ memutarkan lagu-lagu lama menggamit kenanganku. DJnya bercoleteh seolah-olah Radio Klasik aku yang punya dengan menyebut namaku.  Aku dah tua.  Tak macam pendengar-pendengar Radio Klasik lain.  Tapi namaku agak popular juga di Radio Klasik.  Siapa tak kenal Wak Misran?  Ada dalam MKI.  Ada dalam Permintaan Hati Ke Hati.  Ada dalam Nostolgia.  Adu tak pernah komen.  Aku sibuk-sibuk sahaja.  Kerana itulah orang mengatakan aku tak sakit.  Nama Wak Misran disebut-sebut oleh sesiapa.  Itulah untungnya meletakkan gelaran Wak di depan namaku.  Aku jadi sihat bugar.  Sedangkan aku mengerang kesakitan di Hospital Johor Baharu.
Pengalaman aku yang tak seberapa ini dapat dikongsikan bersama sahabat-sahabat Radio Klasik.  Bila masuk hospital maka semangat mesti kuat.  Kalau boleh macam tembuk dan dinding hospital.  Aku tak mahu jadi pelakon tambahan yang beria-ia benar menahan kesakitan.  Lihatlah semasa rakan-rakanku melawatku di hospital atau rumah.  Sahabat-sahabat lain tentu mengatakan aku terlalu ceria.  Sebenarnya Allah sahaja yang tahu.  Aku menyorok kesakitan supaya sahabatku riang semasa menziarahiku.  Sekembali mereka, aku menangis keseorangan.  Kawan ketawa senang didapati, kawan menangis payah dicari.  Isteriku risau apabila melihat aku menangis.  Tak siapa yang turut risau bila melihat orang lelaki menangis.  Hodoh benar rupanya Wak Misran.  Aku menangis memanglah menahan kesakitan.  Aku tak malu terisak di depan isteriku apabila aku cuba membezakan makna rakan dan sahabat.
Keadaan aku menjalani pembedahan janganlah meletakkan aku pulih atau sihat selepasnya.  Batu karang menjalar ke tubuh-tubuhku selagi ianya tidak menamatkan riwayatku. Dengan itu, aku telah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali sebelum ini.  Apa makna bedah kalau aku mengerang kesakitan.  Aku masih mengerang kesakitan memberi pertanda yang batu karangku masih ada lagi.  Dokorkan telah buang batu karang di hempedu, pundi kecing dan salur kencingku.  Bagaimana dengan pula buah pinggang?  Dapatkan manusia hidup dengan satu buah pinggang?  Teka-teki aku terjawab apabila Doktor di Muar memujuk aku ke Hospital Johor Baharu pada 10 haribulan.  Doktor tak main tebuk lagi.  Leser jauh sekali.  Doktor akan membuang sebutir buah pinggangku yang didapati rosak dan tak berguna lagi.  Tidak ada organ palsu atau yang didermakan oleh orang ramai.  Aku menunggu dengan hiba kerana Wak Misran akan meneruskan hidup dengan satu buah pinggang sahaja. Aku masih dapat membayangkan lagi kesakitan yang kualami semasa ditebuk, dilaser dan menanggung kesakitan semasa pembedahan sembuh. Keadaanku macamlah banjir di pantai Timur Semenanjung.  Jangan katakan banjir tak melanda lagi kalau keadaan banjir telah surut.  Dengan pantas, aku dibawa ke Rumah Sakit Johor Baharu dengan menaiki ambulan.  Dalam ambulan, aku digamit kenangan kenangan seorang Doktor yang merawat aku di sebuah hospital swasta di Melaka.  Rahsia ini hanya aku dan sepupuku yang tahu.  Sakit batu karangku dah teruk sebenarnya.  Cuma aku masih degil dan berusaha dengan perubatan kampung.
            Sebelum aku dibedah buat kali yang keempat, terimalah salamku sebagai sahabat Radio Klasik.  Doakan aku sama ada dari jauh atau dekat, supaya pembedahana aku berjaya dan selamat.  Sesungguhnya, Allah memakbulkan doamu, kalaulah itulah doa ikhlas daripadamu. Masa itu, aku terbayang Allahyarham Ahmad Jais mendendangkan sebuah lagu yang melegakan aku dalam kesakitan.  Lagu Doa Ikhlas Mereda Tangisan, membuatkan aku berada dalam dunia yang asing menjalani pembedahan.


WAK MISRAN
Ledang, Jahor.

SITI ZAITON                 -           Malang Selalu
A HALIM                      -           Nasibku
J SHAM                        -           Resam Dunia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan