Januari 31, 2014

TUA



            Gelisah semakin tua mengocak jiwaku di waktu senja. Lelangit merah menyembunyikan perasaanku yang semakin lesu.  Sajian alam yang dihidangkn oleh Yang Maha Kuasa dipandang dengan seribu erti oleh insan yang mula sujud dan rebah ke bumi.   Pintu-pintu alam yang semakin sempit kurasakan, dalam kepekatan usia manusia yang menjulurkan diri masing-masing di celah-celah lubang.  Aku meraba-raba dalam senja merah yang garang itu, mencari pintu masuk.  Semua manusia menggempur pintu masuk yang cuma satu itu supaya sampai ke satu tempat yang ditujui.  Jangkaan manusia tersalah andaian rupanya, bila  senja menebarkan kegelapan yang tiada berbayang lagi.  Teori klasik manusia hanya digunapakai buat sedetik waktu sahaja.  Sepatutnya sebelum kehadiran senja, manusia telah bersedia seperti yang ditintakan oleh Maha Yang Berkuasa.

            Senja itu bukan lagi semerah darah, membakar semangat manusia berjuang untuk hidup. Manusia telah mati atau hampir mati dalam hidupnya yang berbaki lagi.  Lelangit kelabu mengiringi satu tangisan manusia tua apabila seorang demi seorang pergi meninggalakan satu kehidupan dengan rela.  Mereka sejak dulu lagi telah didedahkan dengan kepura-puraan dunia dalam satu persinggahan yang dinamakan kehidupan.  Tanpa disedari, aku terikut-ikut kegelojohan manusia yang berlumba-lumba mengumpulkan kekayaan yang pasti akan ditinggalkan.  Mereka tertipu  dengan bukit-bukau atau gunung-ganang yang sentiasa tersegam megah.  Tingginya hanya penglihatan mata sahaja.  Mereka tetap tergolong dalam makhluk Allah, yang dicipta sengaja menggabuni mata manusia.
            Aku sengaja melurutkan umur senja yang liat di pohon yang bernama usia. Dedaun yang telah kering itu, hanya satu gubahan pelukis sahaja yang mewarani sebuah lukisan yang bernama tua. Ketuaannya telah menolak semua baja, merimbunkan dedaun muda semula tumbuh.    Kekenyangan  pengalaman manusia tidak berdeku dan mengalirkan setitik air liurpun.  Tak mudah selera akan kembali terbuka walaupun disuapkan oleh jejari lembut bidadari.  Adakah makanan itu sesuai dibungkus sahaja di tempat  baru?   Keenakan  hidup akan pasti ditinggalkan.  Di sana hidangannya hanya dirasakan terus oleh jiwa dan qalbu, setelah jasad manusia berterbangan ditiup oleh angin senja.  Lantas, terfikir lagi benda-benda yang akan aku bawanya bersama.  Sememangnya. hati tidak berdetikpun meratapi benda-benda yang akan ditinggalkan.
            Aku melambat perjalanan di waktu senja.  Nafas tercungap-cungap mengheret tapak kaki.  Rasanya telah dekat tapi masih jauh lagi. Jauh dan dekat adalah permainan alam bagi insan yang sedang lemas.   Insan tidak merasakan lemas kalau tidak mencari qalbu yang sedang hanyut. Setiap langkahku bertubi-tubi menjawap pertanyaan tentang ke mana dan di mana?  Pertanyaan tersebut akan menggaru kepala yang tidak gatal.  Memang kepala ini baru disyampu dengan hidayah yang datang dengan tiba-tiba. Hadiyah yang terpancul bila sahabat-sahabatku pergi mengikut giliran.  Bersedialah supaya itik tidak mati di kepuk padi dan itik tidak mati di air.
Perasaan kasih sayang itu akan berputik dan berkelopak apabila  satu perjumpaan telah bertemu. Dia memang tidak melahirkan cinta kalau kita sendiri tidak mengukirkan cinta kepadanya.  Perasaan cinta itu terbongkar juga apabila aku menyelaknya sehelai demi sehelai dedaun hidup.  Pada masa sebelum bertemunya, mata dan hatiku telah ditakdirkan buta.  Muka dan hati terpandang bagai cermin muka yang memperlihatkan objek dan bayangan yang tidak sama.  Sepatunya kecantikan insan itu sama di muka dan di hatinya.  Lukisan qalbu yang terhiasai lama di bilik hatiku terpaksa kurenung dari jauh dan dekat.  Aku terpaksa menutup sebelah mataku untuk melihat makna yang tersurat dan tersirat. 
Tapi langsir yang terselak menyebabkan aku terpandang di luar jendela.  Ketahananku hampir goyah kerana disinari oleh suria pagi di waktu senja.  Aku tidak nampak kedut dan herotnya untuk bekalan aku sampai di sana.  Hidangan yang terbuka  di dunia diaminkan dengan kalimah yang sungguh tenat.  Nikmat hidup yang hanya sekali sahaja mengharuk-pikuk perjalananku di waktu senja. Sebenarnya, hati tidak boleh diikut-ikutkan sangat. Pintu taubat memang sentiasa terbuka setelah mengenali diri kedatangan hidayah yang mengetuk pintu hati. Bagaimana aku meluluskan diri, kalau pintunya alih-alaih tertutup rapat. Badan akan binasa dimamah api walaupun kulit badanku gebu dan berbau wangi.
            Bayangkan kehidupan aku dikembalikan dalam kematian.  Perasaan tetap menyelinap dan membungkar kenangan yang menggamit dan digamit oleh diriku.   Kematian entah bila bertemu satu kehidupan yang kekal abadi, setelah jasad dibaringkan seorang diri.  Nasib yang terbiar keseorangan, memang pasti dirasai oleh manusia walaupun sekarang dikelilingi oleh orang ramai yang terdekat. Peluh tidak lagi menyimbah untuk memadamkan api ketakutan yang sedang marak.  Segala-galanya telah terputus pertolongan, walaupun rasa kesayangan masih bercambah lagi.  Masa itulah doa daripada anak yang soleh membuka pintu masuk melelapkan mimpi yang berpanjangan buat seketika. Gelap gelita tetap menyelubungi bilik yang sekangkang kera sepanjang masa yang tidak diberitahu.
            Kemerahan senja telah bertukar rupa dengan kekalbuan yang mula pekat.  Aku berpeluang menyelek langit tujuh melihat rahsia alam.  Sebenarnya tidak ada rahsia kalau hendak menujunya dengan cepat dan pantas.  Segala perbualan Muhamad dan Jibril aku letakkan bingkai dalam Warkah Lukisan Qalbu.  Jibril telah menjawab cetusan rasa Muhamad terhadap peristiwa yang akan berulang ke atas umatnya. Kesedihan manusia akan berlaku sekelip mata sahaja, tetapi manusia akan merana dan menerima pembalasan Tuhan mungkin buat selama-lamanya. Gambaran-gambaran nyata yang dilakonkan oleh manusia di pentas dunia ini, satu ulangan siaran saja.  Tepuklah dada kalau kita masih berselera lagi.  Sepatutnya manusia akan berhenti makan sebelum kekenyangan dirasakan, kerana kekenyangan yang berlebihan itu menyebabkan perjalanan lebih lambat menuju ke destinasinya.
Kesayuan hati diraba-raba setiap inci tubuh.  Bulu roma mencacang berdiri ketika azan maghrib mengapai aku meneruskan perjalanan.  Ketika itu rohani dan jasmani bertemua semula setelah sesat dalam monologku di ambang senja.  Persoalan tentang di mana dan ke mana masih membelit jiwaku sebelum aku terbiar keseorangan.  Aku terus terjerat dengan senikata lagu-lagu itu secara tersirat.    Ya Allah.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang Engkau telah anugerakan nikmat ke atas mereka itu, bukan jalan orang-orang jalan yang engkau murkai atas mereka itu dan bukan jalan orang-orang yang sesat. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

AZMAN BIN JAFFAR
MUAR


R ISMAIL                              -           DI AMBANG SENJA

BN DATO' AHMAD JAIS    -           DI MANA KE MANA

BN DATO’AHMAD JAIS    -           TERBIAR KESEORANGAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan