Januari 31, 2014

KAK NENG 2



            Al-Fatihah buat Allahyarhamah.  Sesungguhnya, Laut Cina Selatan menjadi halangan kita berjumpa buat kali terakhir.  Kerinduanmu, bukannya satu kepura-puraan.  Kerinduanmu telahkau rasakan nyawa bercerai badan.  Memang telah aku sangkakan sejak kita bertemu.  Matamu memandang tegak ke arah syiling rumah tanpa berkelip-kelip.  Tapak kakimu kugaru-garu tidak memberikan reaksi.  Sekali-sekali nafasmu membuatkan aku cemas.  Seringkali turun naik, macam orang hendak menghembuskan nafas terakhir.  ‘ Telefonkan pakcik engkau.  Apakah salah emak kepadanya?  Emak rindu dengannya.  Rindu orang tua nak ‘, kata Kak Neng semasa masih boleh bercakap lagi.

SUBUH



            Subuh cuba membentisku berjalan pantas.  Aku hampir terjatuh dalam menyusun langkah.  Di pertengahan jalan kalimah Subhanallah tidak lagi bergamit di mulutku.  Mungkin terbenam sahaja di dalam hati.  Bukankah janji aku masih sesegar seperti lagu klasik Malar Segar.  Sesungguhnya solat dan ibadahku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.  Memang, matinya lafazku nanti tiada bernisan.  Tetapi, ianya tetap subur setelah aku terjumpa perkataan ‘Solat’ lebih 70 kali dalam Al-Quran.

CINTA SALJI



                Istana tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.  Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang semula.  Tak sangka lebih separuh dekad  aku telah membenamkan cinta jauh di sudut  hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan.  Cinta juga tak pernah berkubur.  Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya meyapu  awan dan  dalamnya mencecah ke perut bumi.  Gegarannya telah mengejutkan  aku terlena dari tidur hampir  usia mencapai tujuh puluh tahun.  Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh perjalananku yang sudah berbelit-belit.  Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku bahawa sinarnya yang ada lagi.

TUA



            Gelisah semakin tua mengocak jiwaku di waktu senja. Lelangit merah menyembunyikan perasaanku yang semakin lesu.  Sajian alam yang dihidangkn oleh Yang Maha Kuasa dipandang dengan seribu erti oleh insan yang mula sujud dan rebah ke bumi.   Pintu-pintu alam yang semakin sempit kurasakan, dalam kepekatan usia manusia yang menjulurkan diri masing-masing di celah-celah lubang.  Aku meraba-raba dalam senja merah yang garang itu, mencari pintu masuk.  Semua manusia menggempur pintu masuk yang cuma satu itu supaya sampai ke satu tempat yang ditujui.  Jangkaan manusia tersalah andaian rupanya, bila  senja menebarkan kegelapan yang tiada berbayang lagi.  Teori klasik manusia hanya digunapakai buat sedetik waktu sahaja.  Sepatutnya sebelum kehadiran senja, manusia telah bersedia seperti yang ditintakan oleh Maha Yang Berkuasa.

UPSR



Esok akan diumumkan.  Anak Azi pasti mengukir senyuman lebih panjang daripada ibunya. Doa ibu bapanya telah menjadi seutus kalong azimat  setiap hari.  Azi tetap meminta aku berdoa semoga mereka sekeluarga boleh melemparkan senyuman seperti orang lain.  Doa sahaja tak cukup.  Aku panjangkan pula dalam Solat Hajat.  Nadiah adalah cucuku.  Aku ingin Nadiah menjadi macam ibunya.  Biarlah Nadiah memulakan satu contoh yang terbaik dalan keluarga Azi.  Lain kali, adik-adik Nadiah akan mengikut jalan-jalan yang telah dipancangkan oleh Nadia.

PISANG



                Tak cukup tangan dibuatnya.  Ada sayur kampung.  Ada ikan pekasam. Ada pisang dan lain-lain lagi.  Kesian isteriku.  Sampai genting-genting jari membimbit beg plasik.  Aku bukan tak mahu ikut.  Nak dengar songel Penerbit Radio Klasik.  Tak ikut salah.  Ikut merana badan.  ‘ Buat apa tu bang?  Kenapa abang suka minum air manis.  Takuttt bang.  Dah bersara ni, baru dapat kencing manis.  Selisih Malikat 44.  Dah potong sana-sini, barulah abang menyesal.  Tak guna lagi.  Nasi telah menjadi bubur ‘, kata isteriku sambil merasa air dalam cawanku.

SUNGAI BRISBANE



            Semester universiti tamat seketika.  Musim cuti yang panjang telah aku bahagi-bahagikan di New Zealand dan Australia.  Bakinya aku terperap di apartmen bersama kawan-kawan.  Sekali-sekali aku melontar pandangan keluar jendela ke Sungai Brisbane yang berdekatan dengan Universiti Queensland.  Di Queensland pun banjir kalau hujan lebat.  Bila air di kuala sungai penuh dan melempah, tempiasnya terkena juga Universiti Queensland.  Kadang-kadang banjir berlaku juga apabila empangan Sungai Brisbane dibuka oleh pihak berkuasa.  Air melempah menyebabkan universitiku juga turut banjir.  Begitulah agaknya peringatan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Sekiranya antara kita masih tidak melafazkan kesyukuran, tunggulah dan lihatlah nanti. Aku mengambil kesempatan menyedarkan bangsaku di Malaysia, bahawa banjir berlaku di mana-mana sahaja dengan kehendak Allah sebagai satu ujian.