Januari 31, 2014

WAK MISRAN



                Aku menyusuri jalan dari Ledang ke Johor Baharu.  Jalannya lurus berturapkan tar goreng bagi memendekkan satu perjalanan.  Perjalanan tersebut memang lurus, tapi telah membawa padah.  Mana tak padah, kalau sudah jatuh ditimpa tangga?  Rumahku memang tidak bertangga.  Itulah yang menyenangkan orang masuk di rumah, sepeninggalanku ke Johor Baharu.  Orang tak ada di dalam rumahku. Apa susahnya menyelongkar benda-benda dalam rumah.  Habis benda-benda dalam rumah dilarikan.  Gayanya, macamlah  cerita arahan Allahyarham P Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk.  Aku bukanlah ada duit dan berharta.  Pergilah rumah orang kaya-kaya.  Duitku buat belanja pasar habis dituangnya dalam pundi gula oleh pencuri-pencuri.  MasyaAllah, penyamun terbus.  Sampainya hati kamu berbuat demikian.  Aku ke Johor Baharu kerana pembedahan buah pinggang.

S M SALIM



Muzik Latar           :               Gurindam Jiwa (kalau boleh)
Pembaca Coretan                :               Nyanyikan sepotong senikata Lagu Gurindam Jiwa

Intai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Intai kami antara nampak

Esok jangan rindu-rinduan



Pembaca Coretan              :               Mula Membacakan Coretan

                Aku dah intainya sejak dulu.  Aku dah rindunya semasa zaman kanak-kanakku membuka kekudup bunga.  Intai dan rinduku hanya ilusi kanak-kanak hingusan sahaja.   Segala-galanya itu tidak terbawa-bawa dalam mimpi.   Ianya hanya tinggal sebagai satu bunga jambangan yang tidak dihiraukan tetamu.  Kegagalanku ini kerana tidak ada kasih dan sayang dalam rindu. Rinduku bagai embun menitik yang dibelai oleh matahari pagi.  Titisannya menyejukkan dan kekeringan tanpa disedari, apabila matahari mula menjenguk diri.

OMAR



            Aku mengaminkan selepas solat berjemaah zohor.  Selepas itu aku bersalaman dengan imam dan koriah masjid.  Pak Omar menyapaku dengan mengangkat mata.  ‘ Bila balik?’.  Setelah menunaikan solat sunat, aku merapati Pak Omar.  ‘ Semalam, balik dari Trengganu.  Kan rumah Pak Haji Ridzuan nak kerja kahwin.  Tak datang, putus sahabat dan jiran. Pak Omar sihat?  Sahir tinggal di mana sekarang?  Dah lama tak jumpa dia, bila masing-masing dah berumahtangga dan mempunyai keluarga ‘.

KAK NENG 2



            Al-Fatihah buat Allahyarhamah.  Sesungguhnya, Laut Cina Selatan menjadi halangan kita berjumpa buat kali terakhir.  Kerinduanmu, bukannya satu kepura-puraan.  Kerinduanmu telahkau rasakan nyawa bercerai badan.  Memang telah aku sangkakan sejak kita bertemu.  Matamu memandang tegak ke arah syiling rumah tanpa berkelip-kelip.  Tapak kakimu kugaru-garu tidak memberikan reaksi.  Sekali-sekali nafasmu membuatkan aku cemas.  Seringkali turun naik, macam orang hendak menghembuskan nafas terakhir.  ‘ Telefonkan pakcik engkau.  Apakah salah emak kepadanya?  Emak rindu dengannya.  Rindu orang tua nak ‘, kata Kak Neng semasa masih boleh bercakap lagi.

SUBUH



            Subuh cuba membentisku berjalan pantas.  Aku hampir terjatuh dalam menyusun langkah.  Di pertengahan jalan kalimah Subhanallah tidak lagi bergamit di mulutku.  Mungkin terbenam sahaja di dalam hati.  Bukankah janji aku masih sesegar seperti lagu klasik Malar Segar.  Sesungguhnya solat dan ibadahku, hidup dan matiku, hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekelian alam.  Memang, matinya lafazku nanti tiada bernisan.  Tetapi, ianya tetap subur setelah aku terjumpa perkataan ‘Solat’ lebih 70 kali dalam Al-Quran.

CINTA SALJI



                Istana tua di musim sejuk menitiskan air mata salji.  Kepiluan terus mengetuk qalbuku menguntumkan bebunga kasih berkembang semula.  Tak sangka lebih separuh dekad  aku telah membenamkan cinta jauh di sudut  hati. Cinta tak boleh ditampi lagi, kalau cinta itu pertama dan terakhir untuk membuat pilihan.  Cinta juga tak pernah berkubur.  Ianya datang mengetuk qalbu bila tingginya meyapu  awan dan  dalamnya mencecah ke perut bumi.  Gegarannya telah mengejutkan  aku terlena dari tidur hampir  usia mencapai tujuh puluh tahun.  Nampaknya bulan tidak lagi menyuluh perjalananku yang sudah berbelit-belit.  Hanya bintang-bintang di langit sahaja yang berkelip-kelip memujuk aku bahawa sinarnya yang ada lagi.

TUA



            Gelisah semakin tua mengocak jiwaku di waktu senja. Lelangit merah menyembunyikan perasaanku yang semakin lesu.  Sajian alam yang dihidangkn oleh Yang Maha Kuasa dipandang dengan seribu erti oleh insan yang mula sujud dan rebah ke bumi.   Pintu-pintu alam yang semakin sempit kurasakan, dalam kepekatan usia manusia yang menjulurkan diri masing-masing di celah-celah lubang.  Aku meraba-raba dalam senja merah yang garang itu, mencari pintu masuk.  Semua manusia menggempur pintu masuk yang cuma satu itu supaya sampai ke satu tempat yang ditujui.  Jangkaan manusia tersalah andaian rupanya, bila  senja menebarkan kegelapan yang tiada berbayang lagi.  Teori klasik manusia hanya digunapakai buat sedetik waktu sahaja.  Sepatutnya sebelum kehadiran senja, manusia telah bersedia seperti yang ditintakan oleh Maha Yang Berkuasa.