September 09, 2013

ABD RAHIM ABD RAHMAN - TINGKATAN 5



                Sekolah rendah 6 tahun.  Sekolah menengah 5 tahun.  Tak jumpa 43 tahun.  Pertemuan hanya 11 tahun sahaja.  Perpisahan 43 tahun lamanya. Pertemuaan dulu sungguh menggamit kenangan.  Perasaan pilu membasahi kertas tisu yang disediakan oleh Dollah.  Bukan mengesat mulut setelah kenyang.  Tapi mengesat air mata, bila pertanyaan liar dikemukakan sahabat.  Mana Salleh, Ramlan, Zaleha Radziah dan Somali dan rakan-rakan lain yang tidak nampak muka?  Mereka pergi dulu meninggalkan kita ke alam yang kekal abadi.  Seorang rakan mengepali rakan-rakan membisikkan Al-Fatihah kepada rakan-rakan yang tiada.

Majlis yang dianjurkan Dollah agak besar dan meriah.  Ada tahlil, marhaban dan perjumpaan mata bertentang mata.  Tamat sahaja tahlil dan marhaban, jamuan dihidangkan kepada jemputan.  Hidangan kami agak istimewa kerana kami dilonggokkan dalam beberapa hidangan yang tercatat di atas meja.  Walau bagaimana, kami masih bebas memilih tempat duduk.  Tempat duduk tinggal tempat duduk.  Kami mengheret kerusi di meja yang kami suka.  Empat puluh tiga tahun, kami terbuang jauh.  Ingatan kami tetap mala segar terhadap sahabat-sahabat.
Seorang atau satu keluarga masuk ke rumah yang ditujui, seperti SMS dalam telefon bimbit.  Kami tak sampai serentak.  Mana boleh serentak kalau datang dari Kuala Lumpur, Seremban, Klang, Ipoh, Kuantan, Alor Star, Bangi dan sekitar Johor.  Dollah menyambut kawan-kawan dengan berpeluk-pelukan.  Rakan-rakan yang lain menyerbu rakan-rakan yang datang tanpa bertanya hal.  Ada yang masih kenal kerana wajahnya sama sahaja semasa tingkatan lima.  Ada yang tidak cam kerana wajahnya berubah langsung.  Dialog pertemuan tersebut sama sahaja.  ‘ Kita dah berubannn sekarang.  Rambut kita dah jarang-jaranggg. Kau tinggal di mana sekaranggg? ‘, kata rakan-rakan.
Empat puluh tiga tahun telah mempertemukan orang-orang tua. Sudah berpelukan. Sudah bergesel pipi, tapi nama-nama sahabat masih tak tahu lagi.  Bila sejarah persekolahan dibuka satu-satu, segala-galanya kembali seolah-olah baru berlaku. Siapa yang letak gula-gula getah di kerusi kawan-kawan?  Siapa yang memancitkan basikal kawan-kawan perempuan?  Siapa yang selalu ponteng kelas waktu ilmu hisab dan bahasa Inggeris?  Siapa yang bercinta monyet dalam kelas dan selalu disindir oleh cikgu? Segala-galanya hanya Zainal yang tahu.  Zainal ketua tingkatan kita.  Dia senyum sendirian bila mendengar pertanyaanku. Dialah kena penampar guru tingkatanku.  Nak jadi lanun setelah tamat tingkatan 5 apabila diajukan pertanyaan oleh cikgu.  Serta-merta penampar cikgu singgah di pipi Zainal. 
Sebelum ini, kami menumpang sekolah rendah waktu petang.  Kamilah kumpulan pertama sekolah menengah tersebut.  Padang sekolah belum siap lagi.  Kami bermain bola sepak macam kerbau bertemu londang.  Main tak seberapa, berkubang dalam lumpur yang lebih.  Kami terpaksa mandi dan membersihlah diri sebelum masuk kelas.  Ramai tak masuk kelas kerana Encik Linggan sedang menanti kami dengan rotan.  Siapa yang masuk kelas, sudah tentu dibalon oleh cikgu Linggam.  Kesannya, ramai yang tidak lulus bahasa Inggeris dalam MCE. Cakap boleh, tapi tulis tak boleh.  Cikgu Muhamad pula selalunya senang hati.  Periksa buku rampaian ilmu hisab semuanya betul.  Mana tak betul, kalau tiru murid peremuan.  Pagi-pagi dah tercongok dalam kelas.  Kawan-kawan lelaki meniru bulat-bulat murid perempuan yang pandai.  Tiru sahaja tanpa bertanya.  Nasib hanya menyebelahi kami dalam keputusan MCE.  Singgah juga tujuh dan lapan dalam keputusan periksa dan membolehkan kami berkerja kerajaan.
Apabila menjelang sukan, kami diarahkan oleh cikgu Hassan merentas desa.  Malu rasanya bila teringat masa itu.  Budak lelaki dan perempuan pakai seluar pendek sahaja.  Budak lelaki pula melenggeng tak pakai baju. Semua peha dan betis kami menampakkan rebus ubi yang selalu dibekalkan ibu.  Besar-besar dan empuk-empuk belaka. Semua tak kisah seperti Aiman tak kisah.  Kami terpaksa mengambil bahagian dengan undang-undang cikgu rumah.  Ambillah seberapa yang terdaya.  Asalkan murid bahagian A bersukan.  Macam mana nak ikut undang-undang kalau murid lelaki dan perempuan kurang sepuluh orang dalam rumah sukan.  Ada yang murid lelaki dan perempuan terpaksa bergabung sahaja dalam sukan.  Ada juga kami merasakan sukaneka sahaja kerana sekolah tidak ada padang dan cikgu tidak ada kemahiran buat garisan di padang.
Nasi bairani yang disediakan oleh Dollah dijamah sedikit sahaja.  Semuanya jaga kesihatan agaknya.  Maklumlah umur dah masuk 60han.  Dollah membawa ubi rebus panas dengan sambal tumis.  Masing-masing mengambil ubi rebus ke dalam piring yang disediakan.  ‘ Ini baru sedap.  Makanan kita yang dibekalkan mak semasa pergi sekolah.  Ada ubi rebus.  Ada ubi goreng.  Ada bermacam-macam cerita ubi.  Tak pernah bawa bawa balik ke rumah.  Licin selicinnya dimakan oleh kawan-kawan.  Itulah zaman kita ‘, kata Din yang bersiut-siut mencecah ubi dengan sambal tumis. ‘ Cili padi lagi sedap.  Macam Radio Klasik selalu.  Kecil-kecil cili padi ‘, kata Rashid disambut dengan ketawa.
 ‘ Radio Klasik tu untuk                                   Sesuai orang macam kita yang dah bersara.  Sebut sahaja rancangan nastolgia, Hati Ke Hati dan Malar Segar semuanya mendengar radio, sambil terlentang dan meniarap.  Menambah syok lagi agaknya.  Kadang-kadang rodio yang dengar sendau kita, terutamanya rancangan Malar Segar.  Nasib baik ada isteri yang tutupkan radio.  Kalau tidak sampai subuhlah, radio cakap seorang diri.  Penat DJ Nur Liza Y Abdullah bercoleteh, semasa kita sudah berada di kayangan.  Lebih-lebih lagi telah didodoikan oleh lagu Puteri Gunung Ledang.  Yang hairannya waktu subuh terjaga dengan sendiri menunaikan sembahyang subuh ‘, Kata Mail menambahkan gomel Din.
Dollah terkial-kial mengheret pundi gula pasir.  “ Kau nak beri kami makan gula pasir ke?  Pedas sangat ke sambal tumis Dollah.  Sampai Dollah bawa sepundi gula.  Dah tua-tua ni kecing manis Dollah nanti.  Marah nanti Amelin ‘, kataku yang masih tidak mengerti.  ‘Ini durian belakang rumah.  Kau ingat tak durian sebelah sekolah dulu.  Kitalah pencurinya.  Panjat pagar sekolah ambil buah durian tersebut.  Sekarang  tak payah curi-curi lagi.  Makan sahaja durian ini sepuas-puasnya.  Isinya macam kunyit ‘, kata Dollah bersungguh-sungguh. ‘ Dulu kalau tak tiga empat biji bukan kami namanya.  Cukuplah seulas dua sahaja sahaja Dollah ‘, kata Manaf menyerah kalah.
Jam di tangan menunjukkan pukul  2 pagi.  Beraya dah tak ada sempadan lagi .  Tuan rumah dah nak tidur kerana kepenatan.  Masing-masing mulut  mula sangap dan kekenyangan.  Sebelum balik, Dollah mengingat-ingatkan kawan-kawan.  ‘ DJ Radio Klasik selalu berpesan. ‘ Ceritamu adalah Ceritaku jua ‘.  ‘ Suka  semua,  semua suka ‘.  Tak apalah sahabat.  Sahabat-sahabatku memamg baik-baik belaka macam  dulu juga. Biarlah, kalau aku menjadi penjual suara kali ini.  Tahun depan mungkin kita bertemu di Seremban atau Kuantan pula.  Manisnya ditambah lagi dan pedasnya dibawa mati ‘, kata Dollah bersalaman dengan sahabat-sahabat dengan linangan air mata seorang lelaki.

ABD RAHIM ABD RAHMAN
Johor
Pembaca coretan dicadangkan                 -                ABD RAHMAN ISMAIL (Penghayatannya baik semasa membacakan coretan Fifi Perindu)
Ahmad Jais                                                         -              BERDENDANG SAYANG
Ahmad Jais & Ayati Tasrip                             -              ITULAH SAYANG
Ahnad Jais                                                           -              HIDUPKU UNTUK CINTA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan