September 09, 2013

LIPAT MAUT - TAKRAW



            Lumrah dunia.  Yang hilang menggamit kenangan.  Yang baru tersemat di hati.  Hujung dan pangkal sama sahaja.  Tiba masanya akan lesap.  Aku mengejanya beberapa kali dan bercakap seorang diri.  SEAP dan melarat pula kepada SEA. macam budak kecil dulu belajar mengeja.  Air mataku berjurai bila lagu Negaraku dimainkan.  Aku bukan sahaja berhempas pulas di gelanggang, tetapi ingin menyanyikan senandung Negaraku sehingga nyawa bercerai badan.  Bukan mudah aku berdiri di pentas juara sambil melambai-lambaikan tanganku. Leherku berkalong pingat kemenangan, manakala tanganku mendakap cenderamata iringan.

Tak mudah sahabattt.  Jaguh kampung hanya kail panjang sejengkal.  Nak jejak satu-satu peringkat kembung perut.  Macam-macam lipat yang dipamerkan.  Tak pikat juga.  Akhirnya mati katakkkklah jaguh kampung.  Aku sentiasa dijeling-jeling oleh seorang lelaki muda sedikit daripadaku.  Bila aku tak tenguk, dia pandang aku.  Bila aku tenguk dia jeling aku. Pandang-pandang jeleng-jeleng, macam lagu S M Salim.  Akhirnya aku dan dia sama-sama pandang antara satu sama lain lantas ketawa.  Gelagat kami sama tapi tak serupa niatnya.
            ‘ Abang kaki lipat.  Saya dengar abang kaki lipat kata orang kampung.  Pantang sahaja abang dapat peluang.  Lipat maut.  Nak adangpun tak boleh.  Bolos  sahaja buat hadangan.  Buatlah tipu helah.  Konon-konon buat pakatan menangkap abang.  Bisik-bisik di telinga. Berpegang-pegang erat seia-sekata.  Terhanggunk-hanggunk macam faham.  Tindak-tanduk itu tidak mendatangkan faedah.  Abang terus terbang dan membuat lipat maut ‘, katanya memulakan perbualan.
            Akuuuu kaki lipat.  Berapa ramai orang aku lipat?  Tak pernah polis tangkap aku.  Kenapa mesti bolos?  Aku tak ada ilmu hitam.  Mandi basah.  Makan kenyang.  Tidur lena.  Tapi orang di penjara takut denganku.  Takut bila aku melawat mereka.  Mana-mana penjara yang aku bertugas kecut perut.  Masa tu misai aku tak putih lagi macam pakcik misai putih.  Kalau misaiku putih, mungkin tiap-tiap hati mereka sambut Krimis. Puas aku memikirkan kata sahabat tadi.  Kalau itu maksudnya, aku memang malas membuka sejarah lama.  Tahun 60han hingga sekarang tentu dah jadi ‘Peristiwa Bujang Lapuk’.  ‘ Apa salahnya ‘, katanya lagi merayu aku macam suara S M Salim dalam lagu ‘Janganlah Marah-Marah’.
            Aku sebenarnya bernasib baik.  Bekerja dengan kerajaan.  Kalau tidak, menjadilah  jaguh kampung.  Bakatku diperhatikan semasa Pertandingan Antara Jabatan Malaysia.  Pemerhatian jurulatih terpikat memilih aku dalam latihan pusat.  Seronok tapi sakit.  Sedap tapi rindu.  Mana tak sakit dan rindu, kalau aku baru berumahtangga.  Mana tak rindu kalau anakku baru pandai mengajah.  Bukan peluh sahaja berjurai tapi air mata juga tempias di tengah malam.  Nasib baiklah kain selimut dan tilam tak basah dengan air mata.  Begitulah nasib diriku menjalani latihan pusat berbulan-bulan di negeri dalam Malaysia.,
            Masa main sepaktakraw dulu, aku dibawah payang Penjara Malaysia.  Tipu helah aku telah dibaca oleh rakan-rakanku daripada pasukan lain.  Mana tak baca, kalau mereka itu bersama-samaku mewakili Malaysia.  Nak matikan bola bukan lipat maut.  Letak sahaja di tempat kosong.  Terkapai-kapai lawanku mengambil bola.  Mata pengadil sepaktakraw tajam.  Dia tahu tangan ke, badan ke atau kaki ke yang menyentuh bola semasa permainan.  Kadang-kadang aku menjunamkan bola dengan tangan semasa menanduk bila.  Perbuatan ini menyebabkan aku dipanggil pengadil dan diberikan amaran.  Jangan tipulah pengadil.  Kalau tak cekap sudah tentu tak jadi pengadil.
            Berdasarkan latihan pusat, aku terpilih sebagai pemain utama pasukan Malaysia.  Menyarung jersi Malaysia menjadikan diriku ada nilai tambah.  Aku memanjat jawatan dari setakuk ke setakuk sehingga aku bersara.  Merasalah satu paku di bahu aku sebagai Pegawai Penjara Daerah.  Aku ganti bos menguruskan penjara yang aku bertuga.  Kadang-kandang aku terpaksa membuat keputusan apabila bos bercuti panjang dan menghadiri sesuatu kursus. Perkara ini hampir sama dengan permainan sepak takraw.  Nak lipat maut atau nak letak bola sahaja.  Kadang-kadang letak sahaja bola menyebabkan musuh salah dugaan dan terpaku serta terkapai-kapai.  Kitalah yang melakar strategi dan mengatur permainan musuh.  Tekong mesti membaca permain yang lemah.  Jadi mangsalah pemain itu bila bola dihalakan kepadanya sahaja.  Dia tidak dapat melambungkan bola dengan baik dan sukar rakannya membuat lipatan.
Sorakan penonton amat penting.  Terutamanya bermain di tempat sendiri.  Penonton menghitung dengan gamat sekali. Satu, dua, tiiiiigaaa.   Satu... Duaaa.  Tiiigaaaaaa.  Suara penyokong mengamatkan suasana.  Kami di gelanggang gementar sekiranya timangan bola tidak  betul dan kesudahan mematikan bola terkandas di tempat sendiri.  Hitungan penyoykong hingga tiga itu sudah cukup mematikan bola dan menambahkan mata pasukan kami. Sesekali bola dihantar oleh tekong di tengah-tengah gelanggang.  Apit kanan, kiri dan tekong berebut-rebut mengambil bola dan ketiga-tiganya terpaku semuanya dengan harapan rakan-rakan mengambil bola.
Biasanya aku tidak bermain dalam regu pertama.  Aku diletakkan oleh jurulatih dalam regu kedua atau ketiga.  Bermain sebagai regu kedua cukup siksa kalau regu pertama kalah.  Harapan yang besar diletakkan kepada regu kami untuk menebus kekalahan.  Kalau kalah bermakna pasukan Malaysia cepatlahh sampai ke Kuala Lumpur, setelah menamatkan pusingan pertama. Berdasarkan rekod, biasanya Malaysia tidak berjumpa dengan musuh tradisi.  Perjumpaan kami mengikut corak permainan berapa buah negara yang terlibat.  Bila regu kami menjadi harapan rakyat Malaysia, cermat dan berwaspada sahaja tak cukup menentukan persamaan mata. Kami semua mesti ada azam dan keyakinan menentang musuh.  Biar kami tinggal mata sedepa, tapi azam dan keyakinan boleh merapatkan mata.  Kalau Allah telah menentukan kami menang, maka kami menang dan dapat mengikat mata 1 – 1.
Kadang-kadang pula, regu kami tidak diturunkan apabila regu pertama dan kedua telah menang.  Ada kalanya regu kami bermain juga untuk memanaskan badan untuk berjumpa dengan musuh tradisi nanti.  Bermain dalam regu ketiga pula cukup menyeksakan kami.  Mata kami dan lawan, hambat-mengambat dengan rapat.  Kemenangan regu pertama atau regu kedua tidak memberi sebarang makna kalau regu kami kalah akhirnya.  Sejak kami bersara menyarung jersi Malaysia, pasukan negara selalu kecundang kepada pasukan lawan.  Bukan kerana tidak kuat, tapi psikologi pemain mesti amat kuat.  Dulu sesuatu pasukan menggunakan kekuatan menumbangkan lawan.  Tapi zaman telah berubah.  Pasukan lawan yang turun ke gelanggang sudah menakutkan kita, terutamanya kita telah kalah dengan teruk semasa berjumpa dengannya dulu.
Tiba-tiba bola sepak takraw bergolek-golek di depanku.  Aku melihatnya sahaja tanpa memberikan kepada pemain.  Ambil atau membiarkan saja ianya bergolek. Bola tersebut kuambil akhirnya dan kucium beberapa kali sebelum mencampaknya kepada pemain yang sedang beradu.  Penonton melihatku dengan kehairan dan mentertawakannya. Aku selamba saja mendengar pekikan orang. Siapa yang tidak terkenang, kalau lipatku dulu menyapu awan? Siapa yang tidak gentar, kalau jatuhnya pula menjunam ke bumi.
           

LIPAT MAUT 
Batu Pahat.

Wawasan 2020
Nyalakan Tekad
Keranamu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan