Puasa datang lagi. Ketibaannya
tenang dan berkocak-kocak dalam mindaku.
Riaknya seperti satu bulatan. Macam batu
tercampak di air. Tempat yang jatuh kurasakan kuat riaknya. Semakin jauh, riaknya semakin pelahan dan terus
hilang. Aku cuba mencantumkan
perca-perca puasa untuk dijerumat dan dicantum-cantumkan menjadi sebuah coretan
untuk dikongsi bersama. Kisah hidup ini digalas
oleh adik-beradikku semasa bulan puasa di kampung.
Bulan puasa seminggu lagi. Soalan daripada mulut abah kutunggu. Soalan yang serupa akan ditanyakan abah,
macam cerita Nujum Pak Belalang yang ditanyakan oleh Radio Klasik. Walaupun aku dah lulus ujian abah tapi aku
tetap nantikan. ‘ Cuba baca niat
puasa. Abah nak dengar sahaja. Tahun lepas kau baca lancar. Macam mana tahun ini? ’, kata abah yang
bersandar di dinding. Aku baca dengan
yakin sambil diperhatikan kakak-kakaku. ‘ Ini bukan niat puasa. Yang kau baca
tu doa berbuka puasa. Kan abah dah ajar.
Niat puasa ada dua. Tiap-tiap hari sebelum
masuk tidur atau selepas sembahyang tarawih.
Satu lagi niat puasa sebulan ramadhan. Aku baca lagi sehingga abah yakin
aku boleh membaca niat puasa.
Puasaku memang tak penuh semasa umurku enam
tahun. Aku tahan tak makan nasi. Tapi tekakku sentiasa haus. Emak benarkan aku tak puasa mengikut
acuannya. Aku berbuka pukul 10 pagi. Lepas tu mak cuba pula pukul 12 tengah hari. Apa makna minum air kalau tak makan nasi. Semua periuk bertelungkup di para. Masa umurku meningkat tujuh tahun, aku dah
pandai curi makan. Makan jajan yang dibeli
di warung Pak Dollah semasa dalam perjalanan balik sekolah.
Mak senyum bila melihat aku keletihan
semasa memijak naik tangga. ‘ Nanti mak belah kelapa
muda. Tadi Pak Mail beri kelapa muda
buat kita berbuka. Kau jangan
gagah-gagahkan minum air kelapa muda semasa buka nanti. Mak dengar, orang-orang
tua kita tak mengizinkan minum banyak air kelapa muda. Nanti kau letih sepanjang malam. Tak ikutlah abah pergi sembahyang tarawih ‘,
kata ibu yang masih tidak mengerti lagi keadaan yang sebenar. Aku berpuasa penuh sejak usiaku lapan
tahun. Matlamatku telah jelas dengan
ibadah puasa yang datang setahun sekali.
Pasar Ramadhan tak mengenal lagi kampungku dalam
tahun 60an. Orang kampung tetap sambut
kedatangan Ramadhan dengan kemampuan masing-masing. Tapi kuih-kuih basah tetap memenuhi lantai
dapur rumah semasa kami berbuka puasa.
Aku dan kakak tergelak bila membuka sapu tangan yang membalut juadah berbuka puasa yang diberikan oleh
jiran. ‘ Sama mak. Kita ada kuih yang sama diberi oleh
jiran. Lepat ubi seperti mak buat. Mungkin bentuknya sama, tetapi rasanya
berbeza. Kenapa mak tak cakap kepada
jiran? Jiran tentu buat kuih lain. Lamaaa dah tak makan ubi goreng ‘, kataku
dengan syukur seperti yang diajar oleh bapaku tetekala menerima rezeki daripada
Allah.
‘ Besok mak nak buat apa? ’, kataku lurus bendul sambil
disambut abah dengan menggeleng kepala.
Air selasih yang kuminun dahlah tak ada air batu. Emak memang berjimat gula supaya telap gula
tahan seminggu. Emak cuba elakkan
kencing manis melanda kami pada bulan puasa.
Emak melihat abah. Abah tidak
menjawab pertanyaanku. Abah seperti
biasa susah nak jawab. Mana nak jawab
kalau poket bocor selalu. Aku tak
percaya. Aku selok poket abah. Tak bocor pun. Mak dan ketiga kakakku ketawa berdekah-dekah. ‘ Sekarang musim tengkujuh. Abahkan tak ke laut. Itu sebablah poket abah bocor ‘, kata kakakku
merenung muka abah. Abah senyum sinis
kerana tidak berupaya menjamu keluarga menyambut puasa.
‘ Man, Mannnnn.
Mana pergi budak ni. Pergi hantar
kuih ini ke rumah Pak Mail, Pak Andak,
Ucu Limah, Mak Teh Zainab dan Mak Jarah.
Ajak kakakkau nanti, takut jatuh pulak kuihnya di tengah jalan. Setengah jam lagi nak buka puasa. Aku terjaga daripada tidur ayam. Letih dan haus kurasakan. Memang abah suruh aku tidur. Perut mesti puasa. Mulut pula kena jahit, Jangan bercakap
mengata orang lain. Maklumlah baru lima hari kita berpuasa. ‘Apa yang mak
bungkus dalam piring ni? Sampai lima
piring hantar ke rumah jiran. Mak buat
apa?, kataku sambil mencapai piring kuih.
‘ Mak buat onde-onde ubi dek ‘, kata kakakku mencebet piring berbungkus
sapu tangan. ‘ Ubi lagi. Hari tu lepat ubi. Hari ni onde-onde ubi. Entah-entah mak ni dilahirkan ‘ bulan ubi ‘,
kataku sambil diperhatikan oleh emak macam tak dengar.
Rezeki kita ubi.
Mak buatlah kuih ubi. Ini pesanan
abah sebelum dia ke laut kepada mak. ‘
Hantar makanan kepada jiran-jiran bila buat kuih. Jangan lokek dan kedekut. Tak ada yang malu,
bila hantar kuih yang berteraskan ubi kepada jiran-jiran. Mungkin jiran tak balas apa-apa pada hari
ini. Tapi jiran selalu terkenang
kita. Jiran doakan kita bahagia di dunia
dan akhirat ‘, kata kakak mengajukkan cakap abah. Abah hendak bau masakan di rumah kita
dirasakan oleh jiran kita. Walaupun yang direbus oleh mak hanya
merupakan seketul batu. Hati gajah sama
dilapah dan hati kuman sama dicecah dek.
Hidangan di atas meja mengukirkan senyuman. ‘ Kenapa senyum bang? Saya beli tak banyak. Lauk dua macam. Kuih sejenis.
Tak mahu membazir. Nanti bila
anak-anak sekeluarga balik, saya masak
sendiri. Penuh meja ini semasa kita
berbuka puasa. Lagipun di rumah ini kita
berdua sahaja. Hana rasa tidak ekonomi
kalau masak sendiri. Hana ikut nasihat
abang. Jangan membazir. Orang membazir tu saudara syaitan. Bulan puasa ni syaitan dan iblis telah
dirantai oleh Allah. Hana takut syaitan
jelmaan manusia sahaja. Tenguk semua
sedap. Tapi mesti ingat. Sekarang abang tak kerja lagi. Kena padankanlah orang dah bersara dan
tua. Warga Emas katakan. Aku menghirup kuah tomyam yang dibeli oleh
orang rumahku. Pedasnya. Mungkin dia bubuh cili padi. Kecil-kecil cili padi, kalau tak pedas tak
sedap. Biarlah pedasnya naik ke telinga.
AZMAN BIN JAFFAR
Muar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan