September 09, 2013

ADI ADIDI - PAK USU



            Azan Hari Raya membuka tirai subuh.  Sayunya mengguris kalbu sehingga lukanya berdarah semula.  Lagi pula orang tua semacam aku ini, cepat tersentuh memberikan makna yang berlainan.  Syukurlah kepada Allah kerana dapat berkumpul pada hari raya tahun ini.  Tahun lepas, aku berada di US pada pertengahan puasa dan raya.  Tahun sebelumnya aku berada di China sebelum menjelang raya.  Tahun ini, majikan agaknya kesian melihatku asyik berada di rantau orang.

            Biasalah anak kampung pulang ke kampung pada hari raya.  Subang Jaya yang sentiasa sibuk dengan kenderaan, samalah seperti geroda yang telah menyerang perumahan kami.  Seolah-olah geroda telah berpesan supaya bunyi suara dimatikan buat seketika sebelum penghunainya kembali semula bertugas.  Adik-beradikku seramai sebelas orang dan anak-menantu, berkumpul di rumah abang.  Penuh sesak rumah abang terdamparnya manusia dihanyutkan oleh arus Syawal.
            Abang tetap menjadi ketua keluarga.  Kami adik beradik berkongsi kereta ke perkuburan abah dan emak kira-kira 8 KM dari rumah.  Kubur abah dan emak terpisah kira-kira 20 langkah.  Setelah menabur Yasin dan mendiruskan doa kedua-dua kubur, kami ke kubur lain keluarga yang terdekat, menghadiahkan Al-Fatihah.  Aku dalam barisan yang terakhir sedang melemparkan perbualanku pada kubur abah.  ‘ Kau mesti pakat adik-beradik.  Selalu berjumpa dan bertanya khabar berita.  Jangan jadikan kesibukan kamu adik beradik berpatah arang ‘, bisik abah menambahkan kesunyian kubur yang menikam celah-celah pokok dengan cahaya pagi.
            ‘ Janganlah ikut adik beradik abah.  Ramai sahaja tidak berguna.  Masing-masing pentingkan diri sendiri.  Tak bertegur sapa sehingga mati.  Bukannya mereka berebut harta pusaka atuk.  Mereka terkehel apabila adik beradik yang tua menasihatkan yang muda.  Mereka tak makan nasihat.  Mereka anggap yang tua itu hampas kelapa.  Tiada santan lagi selepas diperah.  Buang sahaja ke tanah.  Biar ayam-ayam peliharaan memenuhkan temoloknya.  Bukan senang nak sembelih ayam yang tidak bereban.  Kejar-kejar bagai nak gila.  Ayam tetap menggila lari, walaupun jagung di tangan sudah habis ditaburkan ‘, kata abah lagi semasa menghadapi juadah raya.
            Cakap abah tak lekang dengan sepupunya.  Pak Long, Pak Ngah, Pak Uda, Mak Cik dan Pak Usu.  “ Mereka semua pakat adik beradik.  Yang muda segan dan hormat yang tua.  Mereka semua minta pandangan Pak Long bila menyenceng lengan memulakan kerja , kata abah lagi.  Kata abah itu memang aku saksikan sendiri.  Mereka semua beraya di rumahku setiap hari raya kedua.  Mereka menggangap abahku sebagai abang.  Kalau mereka tidak datang, abah sekeluarga pula yang mengunjungi rumah mereka.  Abah mesti utamakan rumah saudara dulu daripada rumah sahabat. Abah tidak mahu tali persaudaraan kami genting dan putus talinya.  Emak pula mengukuhkah pendirian abah.  Kuih-kuh raya yang ada di rumah dibungkuskannya kepada sepupu abah tiap-tiap seorang.
            Abah tetap mengheretku ke rumah sepupunya.  Nanti kau kenal sepupu abah.  Kau juga dapat bermain-main dengan dua pupu engkau.  Tapi umur dua pupu aku tak panjang.  Mereka,  yang sudah berkahwin atau bujang telah meninggal dunia ketika berusia 20 – 40 tahun.  Yang tinggal hanyalah anak-anak Pak Ngah, Pak Uda dan Mak Cik sahaja.  Abah tetap bermalam di rumah Pak Long.   Mak Long hanya masak sayur pisang, ikan kering dan sambal belacan.  Kalau makan ikanpun, hanyalah ikan sardin.  Tiba-tiba Pak Ngah menjojol datang.  Pak Long membawa keluar kerusi sambil duduk di laman rumah.  Pak Ngah menyelimutkan Pak Long dengan kain.  Lepas itu Pak Ngah mula mengunting rambut Pak Long.  Pak Long memejamkan mata kerana terlena.  Lepas siap bergunting, Pak Ngah pula duduk di kerusi.  Aku sangkakan Pak Ngah hendak berehat. Tapi, Pak Long pula mengguntingkan rambut Pak Ngah.  Kejadian tersebut masihku bayangkan di depan mata.
            Lepas itu, abah membawa kami ke rumah Pak Uda.  Pak Udaku pula serius orangnya tak macam Pak Long dan Pak Ngah.  Orang rumahnya hidang kami dengan air Kopi O dan biskut mayat.  Aku malas nak patah-patahkan.  Rendam sahaja sekeping dalam cawan kopi.  Semasa kami nak balik, Pak Uda merasa-rasa atas belebas rumah.  Tangannya merayap di belebas rumah yang tinggi sambil berdoncit.  Duit-duit syiling, dua puluh sen jatuh ke lantai.  Dia memberikan kami sekeping seorang setiap adik beradikku.  ‘ Beli ice krem ya.  Ini yang Pak Uda ada.  Ada rezeki Pak Uda beri banyak sedikit ‘, kata Pak Uda tersenyum.  Itulah kami semua melihat Pak Uda tersenyum.  Hatinya hati malikat, walaupun rupanya agak serius.
            Kalau tak pergi rumah Pak Ngah memang tidak sah.  Pak Ngah selalu ajak kami duduk di celah kain pelekat yang dipakainya.  Dia sebur doa di ubun-ubun kepala adik beradikku tiap-tiap orang.  Apa yang dibaca oleh Pak Ngah tidak kami ketahui hingga sekarang.  Mungkin dia berdoa supaya kami jangan nakal.  Belajar pandai-pandai setinggi yang boleh.  Jangan jadi macam abah dan adik beradiknya yang tidak berpelajaran.  Pesan Pak Ngah disambut oleh anggukan adik beradikku.  Rumah Mak Cik pula tidak dapatku jengah.  Mak Cik tiada di rumah kerana bekerja kilang.  Abah seret kami pula berkunjung ke ruman Pak Usu.  Pak Usu suka budak-budak.  Semua adik beradikku diciumnya.  Tapi akulah yang paling banyak kali dicium oleh Pak Usu dan Mak Usu.  Perangai mereka bukanlah  luar biasa padaku.  Pak Usu dan Mak Usu tidak dikurniakan anak.  Mereka selalu berpesan kepada abah supayanya tidak lupa membawa anak-anak bila berkunjung ke rumah mereka.  Pak Usu dan Mak Usu hanya hendak menumpang kasih sahaja.
            Esoknya, kami pulang semula ke rumah Pak Long kerana mengumpulkan kain baju dalam beg.  Mak Long sibuk ke dapur mencari sesuatu.  Mataku mengekuri Mak Long.  Mak Long menceduk beras dalam tempayan dan membungkus sedikit kopi dan gula.  Dia menghulurkan kepada emak sambil diperhatikan oleh Pak Long.  ‘ Ambillah kak.  Inilah buah tangan yang mampu daripada kami.  Buatlah  nasi dan minunan kepada anak-anak kakak ‘, kata Mak Long kepada emak sambil berpesan membawa anak-anak bila datang lagi. Pesan-pesan Mak Long menyebabkan aku terkejut daripada lamunan.  Kejadian yang berlaku 50 tahun dulu seolah-olah baru berlaku pada hari semalam.  Aku mencapai telefon yang berdering sejak lama tadi.  Anak Pak Ngah memberitahu aku, yang Pak Usu baru meninggal pada pagi 1 Syawal.  Mayatnya akan dikebumikan selepas sembahyang hari raya.  Mataku terpukau pada hujan lebat yang menikam bumi bertalu-talu.  Hujan bukannya mencuruh di luar sahaja.  Tetapi ianya mencuruh di pipiku yang pernah dicium oleh  Pak Usu dulu.

ADI ADIDI
Subang Jaya
Selangor

Dibaca oleh                             -           JAMSARI AHMAD
Rahim Omar                           -           BERSENDIRIAN
P Ramlee                                 -           SUARA TAKBIR
Rahim Omar                           -           MALAM TERAKHIR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan